Wednesday, November 13, 2013

Ujian getir menunggu Mukhriz di Sg Limau




Oleh: Ubaid Hj Abd Akla

KETIKA kedua-dua parti, Umno dan PAS sedang bersiap siaga menghadapi Perhimpunan Agung Umno dan Muktamar Sanawi PAS, Pilihan Raya Kecil (PRK) N.20 Sg Limau bakal menjengah selepas pemergian tokoh yang disayangi rakyat Kedah, Almarhum Tan Sri Ust Azizan Razak.


Rata-rata menjangkakan PRK kali ini sebagai medan ujian getir kepada MB Kedah yang baru, Dato' Paduka Mukhriz Mahathir dan juga Pesuruhjaya PAS Kedah yang baru, Datuk Mahfuz Omar yang menggantikan Almarhum Tan Sri Azizan yang uzur selepas PRU-13. Ujian pertama ini penting bagi kedua-dua pihak bagi menunjukkan kebolehan masing-masing dalam menerajui kepimpinan parti di peringkat negeri Kedah.

Walau bagaimanapun, PAS dilihat memiliki kelebihan dan peluang yang cerah berbanding Umno dalam PRK kali ini kerana penyandang yang lepas, Almarhum Tan Sri Azizan memenangi kerusi Dun tersebut (13,294 undi)  dengan majoriti undi yang tinggi iaitu 2,774 undi berbanding sepupunya sendiri yang juga seorang arkitek, Ar. Mohd Fadzillah bin Mohd Ali yang mendapat 10,520 undi.

Penguasaan PAS dapat dilihat apabila memenangi 13 peti undi daripada 20 peti undi termasuk 1 peti undi pos yang sememangnya sinonim dimenangi oleh parti pemerintah. Ini merupakan isyarat jelas bahawa pengundi Dun Sg. Limau condong kepada PAS pada PRU-13 walaupun beberapa analisis lepas menyatakan Almarhum Ust Azizan bakal menghadapi cabaran getir apabila ditentang oleh sepupunya sendiri dan undi keluarga mereka akan berpecah.

pengundi berulang

Undi PAS juga dilihat kukuh apabila 9 daripada 13 peti undi yang dimenangi mampu menang di setiap saluran walaupun pengundi saluran 1 tinggi bilangannya iaitu 5,295 pengundi iaitu lebih 20% jumlah pengundi keseluruhan. Walaupun undi saluran 1 di peti-peti undi lain tidak memihak kepada PAS tetapi jumlah undi yang diterima tetap tinggi iaitu 2737 undi (melebihi 52% undi keseluruhan saluran 1). Ini menunjukkan para pengundi berulang tidak jemu-jemu menyokong PAS selama 5 penggal berturut-turut.

Ini merupakan fakta dan hakikat yang menjadikan UMNO dalam keadaan trauma dan buntu untuk merangka strategi merampas Sg Limau. Mereka perlu bekerja keras walaupun Parlimen Jerai dan dua Dun (Guar Cempedak dan Gurun) milik mereka pada PRU-13.
Selain itu, kekalahan Mukhriz Mahathir dalam perebutan jawatan Naib Presiden Umno sedikit sebanyak mencalarkan imej beliau sebagai MB Kedah yang baru. Kempen hebatnya seolah-olah tidak menyebelahinya walaupun banyak sepanduk beliau digantung di Pahang dan negeri Pantai Timur dengan natijah hanya memperoleh 91 undi, kurang 9 undi untuk mengatasi pencabar terdekatnya, Hishamuddin Tun Hussein yang memperoleh 100 undi.

Adakah ini petanda rakyat sudah menunjukkan reaksi muak pada politik beliau yang tidak menguntungkan rakyat? Ia juga dibayangi oleh bapanya, Tun Mahathir sebagai ‘tongkat’ kepada karier politiknya. Oleh itu, PRK yang bakal menjengah pasti meresahkan beliau kerana sedikit sebanyak akan mempengaruhi undi rakyat Sg Limau kerana kegagalannya melakukan transformasi dalam parti yang dianggap gagal oleh bapanya sendiri. Selain itu, rakyat mula tertanya-tanya apakah kejayaan-kejayaan yang hendak dicanangkan olehnya dalam kempen PRK kali ini selepas 4 bulan lebih menjadi MB Kedah? Adakah lebih baik daripada kerajaan sebelum ini atau bagaimana?

ketokohan Ustaz Azizan

Selain itu juga, ketokohan Almarhum Ustaz Azizan yang juga MB Kedah sebelumnya memberi kelebihan kepada PAS untuk mengekalkan kemenangan di Sg Limau. Kejayaan beliau mempertahankan kerusi DUN tersebut selama 5 penggal berturut-turut bukan satu perkara biasa. Ini menunjukkan bahawa ketokohan beliau di kalangan masyarat amat disenangi penduduk Sg. Limau. Beliau juga mencipta sejarah, apabila MB Kedah pertama yang menetap di rumah sendiri yang amat sederhana walaupun mempunyai Rumah Rasmi MB di Seri Mentaloon.

Faktor 'Kekalkan Kemenangan Sg. Limau' sebegini patut menjadi 'tagline' bagi PAS untuk PRK kali ini sebagaimana PRK N.01 K.Besut yang menggunakan tagline '16-16: Kuala Besut Cipta Sejarah'. Walaupun PAS tidak berjaya di Besut namun, tagline ini berjaya menjadi mimpi buruk kepada Umno dan BN Terengganu dengan berjaya mengurangkan majoriti kemenangan Umno.

Peluang PAS juga cerah jika berjaya menonjolkan calon yang tepat dan hampir menyamai keperibadian Almarhum Ustaz Azizan yang sinonim dengan wakil rakyat turun padang, mesra rakyat, tokoh agamawan dan berkepimpinan Islam. Walaupun Almarhum diberi persepsi buruk semasa menjadi MB Kedah oleh media BN, namun, penduduk Sg Limau tidak terpengaruh dengan propaganda tersebut kerana beliau amat disegani masyarakat lebih 20 tahun menjadi wakil rakyat dan pemimpin PAS Kedah.

Hanya selepas Almarhum menjadi MB Kedah, imej beliau digembar gembur tidak baik walhal selama beliau menjadi Adun Sg Limau pemberitaan tersebut tidak berlaku sama sekali. Ini menunjukkan penduduk dan pengundi Sg Limau sangat yakin dengan kepimpinan Almarhum. Ketokohan beliau sudah merentasi parti kerana sanak saudaranya yang Umno pun menyokong beliau walaupun beliau pemimpin kanan PAS. Maka, tokoh seperti Almarhum wajar ditonjolkan menjadi calon agar pengundi seolah-olah merasakan jelmanya “Ust Azizan Junior” dan mungkin lebih baik ketokohannya di mata masyarakat pengundi Sg. Limau.

Namun, PAS perlu berhati-hati dengan strategi Umno yang bakal disusun. Strategi mereka mungkin sudah dijangka, tetapi apakah senjata ampuh jentera PAS menghadapinya?

strategi BN

Ini dapat dihidu apabila PRK Sg Limau diadakan seiring dengan pengumuman Bajet Negara 2014 yang akan dibentangkan pada 25 Oktober iaitu 2 hari selepas penamaan calon. Sudah jelas lagi bersuluh, Umno-BN akan menggunakan sepenuhnya pembentangan Bajet sebagai gula-gula pilihanraya sebagaimana biasa dan lebih merisaukan lagi, gula-gula bertukar menjadi candu! Ini boleh diperhatikan jika BR1M 3.0 diumumkan dengan amaun yang lebih banyak. Sudah pasti para penerima ternanti-nanti dan pastinya pengundi Sg. Limau bakal menjadi penerima pertama!

Maka, cabaran buat PAS bagaimana hendak menangkis strategi ‘tunai ditangan’ yang terbukti memenangkan BN pada PRU-13.

Selain itu, pengaruh Jamil Khir yang merupakan anak jati Dun Sg. Limau bakal digunakan sepenuhnya oleh jentera Umno. Beliau mendapat undi kedua tertinggi selepas Mustapa Mohamed iaitu 186 undi yang menunjukkan golongan agamawan mula diterima oleh akar umbi Umno. Imej dan ketokohan beliau yang petah berforum, mesra rakyat dan bekas penjawat awam amat mempengaruhi undi sehinggakan beliau merampas Parlimen Jerai daripada PAS dengan majoriti 1,196 undi. Ini jelas menjadi indikator pertimbangan utama bagi jentera Umno untuk menjadikan beliau sebagai ‘anchor’ kepada penguasaan Umno sepanjang kempen PRK kali ini.

Signifikannya, saingan PRK kali ini amat dinanti-nanti oleh semua pihak untuk melihat PAS mara kehadapan selepas tewas di PRK N.01 Kuala Besut baru-baru ini. Tewas di Kuala Besut bukan pengakhiran buat PAS, mungkin kemenangan di Sg Limau bakal menyemarakkan keteguhan PAS  untuk mara lebih jauh dalam arena politik negara disamping dapat meniup semangat para perwakilan dalam Muktamar Tahunan PAS yang bakal berlangsung hujung bulan November.

No comments:

Post a Comment