Tuesday, December 27, 2011

SELAMATKAN FELDA


Memikirkan nasib 112,635 orang peneroka seluruh negara di 317 Skim Penempatan Felda dengan keluasan 905,448 hektar, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) mendesak supaya YAB Perdana Menteri membatalkan penyenaraian Felda Global Ventures Holding Snd. Bhd. (FGVH) di Bursa Malaysia.

GAMIS berpendirian tindakan tersebut adalah suatu tindakan yang sangat merugikanHal ini bakal berlaku melalui perjanjian pajakan 99 tahun antara Felda Holding Berhad (FHB) dan FGVHB kerana FHB telah bersedia untuk memajak tanahnya seluas 360,000 hektar kepada FGVHB sedangkan syarikat itu tiada hak ke atas tanah tersebut dan 500,000 hektar tanah yang dimiliki oleh peneroka.

Dalam rekod, FGVH hanya memiliki 42 ribu hektar tanah dan penyenaraian ini akan menyaksikan penyusutan saham Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF) dalam anak-anak syarikat FHB susut kepada 30% sahaja dan baki 70% lagi akan didagangkan kepada pelabur luar. Di samping itu, ahli-ahli KPF bakal kehilangan majoriti 55% dalam saham FHB selain pendapatan RM 2 billion FELDA bakal menjunam kepada RM508 juta.

GAMIS membantah penyenaraian tersebut kerana :
  1. FGVH yang mempunyai rekod prestasi buruk (mengalami kerugian dan menanggung hutang) sudah pasti tidak mampu memberikan pulangan yang lebih baik kepada peneroka.
  2. Penyenaraian tersebut yang akan membuka ruang kepada orang luar (bukan bumiputera) menjadi pemegang saham akan menjejaskan kepentingan hak Melayu ke atas Felda.
GAMIS juga berpandangan, penyenaraian di Bursa Malaysia yang kononya bertujuan untuk menarik pelabur bagi menambah modal adalah tidak tepat pada keadaan ekonomi sekarang yang berkemungkinan besar akan mengorbankan kepentingan peneroka. ‘Durian runtuh’ yang ditawarkan kepada peneroka adalah keuntungan yang bersifat jangka pendek. Isu jangka panjang yang lebih besar ialah kemampuan FGVH untuk bersaing dengan syarikat gergasi yang lebih senior di peringkat global.

Berkenaan dengan isu yang melanda KPF pula, GAMIS menuntut daripada Perdana Menteri atau Menteri Di Jabatan Perdana Menteri beberapa penjelasan berikut :
  1. KENAPA Tan Sri Isa Samad yang bukan peneroka FELDA atau keluarga peneroka atau kakitangan FELDA dan juga belum genap dua (2) tahun menjadi ahli KPF dilantik sebagi Pengerusi KPF sedangkan ia bertentangan dengan Undang-Undang Kecil KPF dan Seksyen 43 Akta Koperasi 1993.
  2. KENAPA Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah FELDA untuk membincangkan perlantikan Tan Sri Isa Samad diadakan pada (25 Ogos 2011) ketika ketiadaan Dato’ Zulkifli Abd. Wahab yang sedang menunaikan umrah.
  3. KENAPA Dato’ Zulkifli Abd. Wahab disingkirkan sebagai Pengerusi KPF sedangkan beliau dilantik secara sah melalui Mesyuarat Agung KPF 2011.
  4. KENAPA Dato’ Zulkifli Abd. Wahab diarah bercuti dalam tempoh 6 hingga 9 bulan bermula 25 November 2011 yang lalu.
  5. KENAPA Perdana Menteri campur tangan dalam hal ehwal dalam KPF yang mempunyai undang-undangnya sendiri dan tertakluk kepada Akta Koperasi dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
Persoalan-persoalan di atas memperlihatkan seolah-olah terdapat konspirasi tertentu yang dirancang oleh pihak-pihak tertentu. Keadaan ini  sekiranya tiada penjelasan dan tidak diselesaikan segera akan menyebabkan keadaan bertambah buruk jika penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia diteruskan.

GAMIS menuntut supaya :
  1. Mahkamah menghalang Mesyuarat Agong Khas KPF yang dijadualkan akan berlangsung pada 5 Januari 2012 daripada diadakan bagi menyekat pelupusan pegangan saham ahli KPF kepada FGVH dilakukan.
  2. YAB Perdana Menteri membatalkan penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia.
  3. Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menentukan status sebenar Tan Sri Isa Samaddalam KPF.
Sekiranya tiada penjelasan diberikan dan tuntutan tidak dilayan, GAMIS akan menggerakan mahasiswa, khususnya dikalangan anak-anak FELDA, untuk bertindak sebagai third force dengan menterjemahkan bantahan dan kekecewaan mereka terhadap kerajaan melalui kertas undi dalam Piliharaya Umum yang akan datang.

EIKHWAN ALI
Penulis merupakan aktivis mahasiswa yang proaktif menangani isu-isu mahasiswa & masyarakat Malaysia masa kini. Beliau merupakan mantan Presiden Mahasiswa Kejuruteraan UIAPJ, mantan Presiden Kelab Ma'ruf UIAM Gombak dan sekarang merupakan Naib Presiden GAMIS, Bahagian Koporat dan Antarabangsa. Beliau seorang idealis, karasmatik dan futuris dalam mendepani sebarang isu. Blog beliau: http://engineermemali.blogspot.com/  Sekarang beliau menuntut di Kuliyyah Kejuruteraan di UIAM Gombak, Tahun 3.

Sunday, December 18, 2011

Kemana Hala Tuju Dakwah Masa Kini?

Kemana Hala Tuju Dakwah Masa Kini?
Oleh: Ubaid Abd Akla

Mari mulakan pembacaan nukilan ini dengan suatu renungan daripada Allah s.w.t ;
وَلاَ تَمْشِيْ فِي الأَرْضِ مَرَحًا
Dalam ayat ini jelas isyarat daripada Allah s.w.t agar makhluk di atas muka Bumi Allah supaya tidak bongkak atau tidak angkuh ketika berjalan mahupun menjalani kehidupan di atas dunia yang sementara. Kaitan yang sangat jelas boleh kita ambil sebagai seorang pendakwah agama Allah agar lebih mesra dan tawaduk dalam konteks memenangi hati para mad’u[1]. Para pendakwah bukan sahaja perlu menunjukkan akhlak Islamiyyah yang baik seperti disarankan oleh Rasulullah s.a.w bahkan perlu lebih daripada itu dengan approach ‘mesra’ dan ‘friendly’ kepada masyarakat hari ini.
Perkara sebegini kekadang sangat sukar dilaksanakan oleh para pendakwah dengan didatangi pelbagai 1001 alasan yang dicipta samada sengaja mahupun tidak. Namun, sifat seorang pendakwah tidak boleh wujud ruang mencipta alasan kerana hadaf [2] dalam lapangan dakwah ini bukan semata-mata meluaskan agama Islam sahaja bahkan lebih besar daripada itu iaitu menegakkan khilafah Islamiyyah[3] pada suatu hari nanti.
Maka halatuju seorang pendakwah perlu tertumpu dan fokus dengan hadaf yang jelas sebagaimana kehendak mad’u semasa. Realiti kini, anak muda lebih banyak menghabiskan masa dengan media-media baru seperti facebook, youtube, blog, dan lain-lain. Golongan lebih berusia banyak menghabiskan masa selepas letih bekerja bersama keluarga di rumah mahupun bersiar-siar untuk menghilang tekanan kerja dan seumpamanya.
Oleh itu, pendekatan atau approach yang digunakan perlu bersifat semasa dan memenuhi selera mad’u masa kini yang kian dahagakan pengisian. Soal kemampuan kita tolak ketepi buat sementara tetapi soal mahu perlu difikirkan. Adakah kita mahu berubah memenuhi citarasa masyarakat sekarang?
Kita juga sedia maklum, pendekatan sedia ada seperti sekarang bukanlah tidak relevan langsung seperti memberi risalah dengan penuh artikel berat, gambar yang kurang jelas, karikatur kurang menarik, berjumpa dan bercerita tentang topik yang ingin disampaikan. Namun, method seperti ini semakin kurang popular untuk mendekati golongan sasar seperti dinyatakan di atas. Perlunya islah[4] dalam pendekatan / approach sedia ada agar dakwah yang ingin disampai dapat diterjemahkan dalam erti kata sebenar dengan meresapi para mad’u dalam bentuk amalan seharian.
Hari ini, rata-rata anak muda tahu kewajipan solat, tetapi berapa ramai yang tunaikan solat? Ibu bapa juga tahu hubungan antara lelaki dan perempuan sebelum berkahwin tidak elok dan dilarang dalam Islam tetapi makin ramai ibu bapa yang membenarkan anak-anak mereka berpacaran tanpa ditemani muhrim[5]. Maka kita dapat lihat, dakwah yang selama ini berjaya disampaikan, namun tidak dapat diresapi dan dijiwai dengan baik oleh golongan mad’u dalam bentuk tindakan.
Oleh itu, secara ringkasnya dapat disimpulkan 2 perkara yang perlu diperhalusi oleh golongan pendakwah:
1.        Gerak kerja dakwah melalui media baru mesti diperhebat. Tidak lagi timbul soal tidak tahu/tidak pandai dalam penggunaan teknologi kini kerana itu akan mewujudkan alasan seperti dinyatakan seperti diatas.
Method ini sangat sesuai diaplikasi untuk generasi muda agar dakwah yang ingin disampaikan lebih segar dan aternatif kepada method yang sedia ada sekarang.
Cuma, para pendakwah perlu dan mesti melengkapkan diri dengan tools media baru agar tidak ketinggalan dalam arus masakini.
2.        Dakwah turun ke lapangan secara efektif. Ini bermaksud para pendakwah bukan sekadar hanya berjumpa masyarakat dengan bercerita dan menyampaikan sesuatu topik sahaja tetapi perlu approach berbeza iaitu lebih mesra dan merakyat.
Mesra dan merakyat boleh difahami disini ialah dakwah yang mahu disampaikan bersifat menjiwai golongan sasar seperti contoh jika bertemu dengan orang Bandar, mungkin penyampaian bahasa yang tersusun, berpakaian kemas, topik yang teratur dan ringkas. In fact, ada yang sanggup bayar untuk mendengar apa yang ingin kita katakan!
Bagi golongan luar Bandar seperti di kampung-kampung, pendekatan bersahaja, sederhana dan ramah amat diperlukan untuk memastikan mesej sampai kepada golongan sasar. Jiwa pendakwah juga perlu bersama-sama mereka dalam apa jua aktiviti seperti solat berjemaah, gotong-royong, kelas fardhu ain dan lain-lain sebagai qudwah[6] untuk diteladani mereka walaupun ruang masa yang ada terhad.
Kesannya, kita akan dapat lihat hala tuju dakwah akan lebih terpandu dan memenuhi citarasa masyarakat semasa tanpa dikesampingkan hadaf dan mesej yang ingin disampaikan kepada golongan sasar.


[1] Segolongan manusia samada beragama Islam atau tidak yang ingin disampaikan mesej dakwah
[2] Objektif atau tujuan sesuatu perkara dilaksanakan
[3] Pemerintahan Islam tanpa wujud sentiment kenegaraan, kebangsaan dan lain-lain, diketuai oleh Khalifah
[4] Perubahan
[5] Saudara seibu sebapa / seibu / sebapa. Mudah untuk difahami, saudara yang tidak boleh dikahwini dan suami/isteri
[6] Contoh teladan yang baik dari segi akhlak menepati kehendak Islam