Showing posts with label Artikel. Show all posts
Showing posts with label Artikel. Show all posts

Wednesday, November 13, 2013

Ujian getir menunggu Mukhriz di Sg Limau




Oleh: Ubaid Hj Abd Akla

KETIKA kedua-dua parti, Umno dan PAS sedang bersiap siaga menghadapi Perhimpunan Agung Umno dan Muktamar Sanawi PAS, Pilihan Raya Kecil (PRK) N.20 Sg Limau bakal menjengah selepas pemergian tokoh yang disayangi rakyat Kedah, Almarhum Tan Sri Ust Azizan Razak.


Rata-rata menjangkakan PRK kali ini sebagai medan ujian getir kepada MB Kedah yang baru, Dato' Paduka Mukhriz Mahathir dan juga Pesuruhjaya PAS Kedah yang baru, Datuk Mahfuz Omar yang menggantikan Almarhum Tan Sri Azizan yang uzur selepas PRU-13. Ujian pertama ini penting bagi kedua-dua pihak bagi menunjukkan kebolehan masing-masing dalam menerajui kepimpinan parti di peringkat negeri Kedah.

Walau bagaimanapun, PAS dilihat memiliki kelebihan dan peluang yang cerah berbanding Umno dalam PRK kali ini kerana penyandang yang lepas, Almarhum Tan Sri Azizan memenangi kerusi Dun tersebut (13,294 undi)  dengan majoriti undi yang tinggi iaitu 2,774 undi berbanding sepupunya sendiri yang juga seorang arkitek, Ar. Mohd Fadzillah bin Mohd Ali yang mendapat 10,520 undi.

Penguasaan PAS dapat dilihat apabila memenangi 13 peti undi daripada 20 peti undi termasuk 1 peti undi pos yang sememangnya sinonim dimenangi oleh parti pemerintah. Ini merupakan isyarat jelas bahawa pengundi Dun Sg. Limau condong kepada PAS pada PRU-13 walaupun beberapa analisis lepas menyatakan Almarhum Ust Azizan bakal menghadapi cabaran getir apabila ditentang oleh sepupunya sendiri dan undi keluarga mereka akan berpecah.

pengundi berulang

Undi PAS juga dilihat kukuh apabila 9 daripada 13 peti undi yang dimenangi mampu menang di setiap saluran walaupun pengundi saluran 1 tinggi bilangannya iaitu 5,295 pengundi iaitu lebih 20% jumlah pengundi keseluruhan. Walaupun undi saluran 1 di peti-peti undi lain tidak memihak kepada PAS tetapi jumlah undi yang diterima tetap tinggi iaitu 2737 undi (melebihi 52% undi keseluruhan saluran 1). Ini menunjukkan para pengundi berulang tidak jemu-jemu menyokong PAS selama 5 penggal berturut-turut.

Ini merupakan fakta dan hakikat yang menjadikan UMNO dalam keadaan trauma dan buntu untuk merangka strategi merampas Sg Limau. Mereka perlu bekerja keras walaupun Parlimen Jerai dan dua Dun (Guar Cempedak dan Gurun) milik mereka pada PRU-13.
Selain itu, kekalahan Mukhriz Mahathir dalam perebutan jawatan Naib Presiden Umno sedikit sebanyak mencalarkan imej beliau sebagai MB Kedah yang baru. Kempen hebatnya seolah-olah tidak menyebelahinya walaupun banyak sepanduk beliau digantung di Pahang dan negeri Pantai Timur dengan natijah hanya memperoleh 91 undi, kurang 9 undi untuk mengatasi pencabar terdekatnya, Hishamuddin Tun Hussein yang memperoleh 100 undi.

Adakah ini petanda rakyat sudah menunjukkan reaksi muak pada politik beliau yang tidak menguntungkan rakyat? Ia juga dibayangi oleh bapanya, Tun Mahathir sebagai ‘tongkat’ kepada karier politiknya. Oleh itu, PRK yang bakal menjengah pasti meresahkan beliau kerana sedikit sebanyak akan mempengaruhi undi rakyat Sg Limau kerana kegagalannya melakukan transformasi dalam parti yang dianggap gagal oleh bapanya sendiri. Selain itu, rakyat mula tertanya-tanya apakah kejayaan-kejayaan yang hendak dicanangkan olehnya dalam kempen PRK kali ini selepas 4 bulan lebih menjadi MB Kedah? Adakah lebih baik daripada kerajaan sebelum ini atau bagaimana?

ketokohan Ustaz Azizan

Selain itu juga, ketokohan Almarhum Ustaz Azizan yang juga MB Kedah sebelumnya memberi kelebihan kepada PAS untuk mengekalkan kemenangan di Sg Limau. Kejayaan beliau mempertahankan kerusi DUN tersebut selama 5 penggal berturut-turut bukan satu perkara biasa. Ini menunjukkan bahawa ketokohan beliau di kalangan masyarat amat disenangi penduduk Sg. Limau. Beliau juga mencipta sejarah, apabila MB Kedah pertama yang menetap di rumah sendiri yang amat sederhana walaupun mempunyai Rumah Rasmi MB di Seri Mentaloon.

Faktor 'Kekalkan Kemenangan Sg. Limau' sebegini patut menjadi 'tagline' bagi PAS untuk PRK kali ini sebagaimana PRK N.01 K.Besut yang menggunakan tagline '16-16: Kuala Besut Cipta Sejarah'. Walaupun PAS tidak berjaya di Besut namun, tagline ini berjaya menjadi mimpi buruk kepada Umno dan BN Terengganu dengan berjaya mengurangkan majoriti kemenangan Umno.

Peluang PAS juga cerah jika berjaya menonjolkan calon yang tepat dan hampir menyamai keperibadian Almarhum Ustaz Azizan yang sinonim dengan wakil rakyat turun padang, mesra rakyat, tokoh agamawan dan berkepimpinan Islam. Walaupun Almarhum diberi persepsi buruk semasa menjadi MB Kedah oleh media BN, namun, penduduk Sg Limau tidak terpengaruh dengan propaganda tersebut kerana beliau amat disegani masyarakat lebih 20 tahun menjadi wakil rakyat dan pemimpin PAS Kedah.

Hanya selepas Almarhum menjadi MB Kedah, imej beliau digembar gembur tidak baik walhal selama beliau menjadi Adun Sg Limau pemberitaan tersebut tidak berlaku sama sekali. Ini menunjukkan penduduk dan pengundi Sg Limau sangat yakin dengan kepimpinan Almarhum. Ketokohan beliau sudah merentasi parti kerana sanak saudaranya yang Umno pun menyokong beliau walaupun beliau pemimpin kanan PAS. Maka, tokoh seperti Almarhum wajar ditonjolkan menjadi calon agar pengundi seolah-olah merasakan jelmanya “Ust Azizan Junior” dan mungkin lebih baik ketokohannya di mata masyarakat pengundi Sg. Limau.

Namun, PAS perlu berhati-hati dengan strategi Umno yang bakal disusun. Strategi mereka mungkin sudah dijangka, tetapi apakah senjata ampuh jentera PAS menghadapinya?

strategi BN

Ini dapat dihidu apabila PRK Sg Limau diadakan seiring dengan pengumuman Bajet Negara 2014 yang akan dibentangkan pada 25 Oktober iaitu 2 hari selepas penamaan calon. Sudah jelas lagi bersuluh, Umno-BN akan menggunakan sepenuhnya pembentangan Bajet sebagai gula-gula pilihanraya sebagaimana biasa dan lebih merisaukan lagi, gula-gula bertukar menjadi candu! Ini boleh diperhatikan jika BR1M 3.0 diumumkan dengan amaun yang lebih banyak. Sudah pasti para penerima ternanti-nanti dan pastinya pengundi Sg. Limau bakal menjadi penerima pertama!

Maka, cabaran buat PAS bagaimana hendak menangkis strategi ‘tunai ditangan’ yang terbukti memenangkan BN pada PRU-13.

Selain itu, pengaruh Jamil Khir yang merupakan anak jati Dun Sg. Limau bakal digunakan sepenuhnya oleh jentera Umno. Beliau mendapat undi kedua tertinggi selepas Mustapa Mohamed iaitu 186 undi yang menunjukkan golongan agamawan mula diterima oleh akar umbi Umno. Imej dan ketokohan beliau yang petah berforum, mesra rakyat dan bekas penjawat awam amat mempengaruhi undi sehinggakan beliau merampas Parlimen Jerai daripada PAS dengan majoriti 1,196 undi. Ini jelas menjadi indikator pertimbangan utama bagi jentera Umno untuk menjadikan beliau sebagai ‘anchor’ kepada penguasaan Umno sepanjang kempen PRK kali ini.

Signifikannya, saingan PRK kali ini amat dinanti-nanti oleh semua pihak untuk melihat PAS mara kehadapan selepas tewas di PRK N.01 Kuala Besut baru-baru ini. Tewas di Kuala Besut bukan pengakhiran buat PAS, mungkin kemenangan di Sg Limau bakal menyemarakkan keteguhan PAS  untuk mara lebih jauh dalam arena politik negara disamping dapat meniup semangat para perwakilan dalam Muktamar Tahunan PAS yang bakal berlangsung hujung bulan November.

Sg Limau: Potensi PAS tawan semula Kedah PRU14


Pilihanraya kecil N.20 Sg Limau sudah melabuh tirainya. Kedua dua jentera parti bertanding 'all out' berkempen dalam usaha mencapai misi masing masing. PAS dengan motto Kekal Kemenangan dan BN dengan slogan Berani Berhijrah.

Kemuncaknya, PAS berjaya mengekalkan kemenangan walaupun dengan majoriti yang merosot, namun bagi percubaan pertama oleh seorang anak muda, bagi saya ia satu pencapaian yang sangat baik kerana jentera PAS bukan hanya berhadapan jentera BN, tetapi jentera kerajaan yang dimanipulasi oleh kerajaan BN.

Kita pula jangan lupa, perlawanan padang yang tidak rata sebeginilah yang mencabul semangat demokrasi yang dilaung-laungkan oleh parti pemerintah. Setiap kali berhadapan pilihanraya umum dan kecil, pasti jentera kerajaan akan dikerah tanpa rela untuk memenangkan parti pemerintah sehingga jutaan kantung Negara dikikis. Jika pada PRK N.01 Kuala Besut sebanyak RM476juta dilaburkan (jumlah tertinggi dicatatkan dalam sejarah PRK), PRK N.20 Sg Limau tidak kurangnya, apabila lebih kurang RM15juta dilaburkan dengan ‘gula-gula’ pilihanraya oleh jentera kerajaan samada melalui projek pembangunan dan pinjaman modal kepada usahawan tani melalui MARA, TEKUN, Agrobank dan sebagainya.

Usaha sebegini murni jika diberi sebelum PRK, tetapi menjadi ‘gula-gula’ dan ‘umpan’ apabila diumumkan semasa kempen rancak berlangsung. Dimana integriti dan semangat demokrasi parti pemerintah? Adakah di Parlimen dan dihadapan rakyat berdegar-degar laungkan mendukung demokrasi tetapi dari segi pelaksanaan tidak langsung ambil peduli? Sangat retorik.

Kempen Mukhriz tidak berjaya

Dari segi strategi kempen, mana-mana lokasi di Sg Limau meriah dan penuh dengan orang ramai samada orang tempatan dan orang luar yang membantu jentera masing masing sebagaimana pilihan raya-pilihan raya kecil yang lepas. Kreativiti kedua-dua parti dalam berkempen juga menghangatkan lagi suasana yang sedia panas cuacanya daripada pagi hingga ke petang. Cuma hujan kadang kala pada lewat petang hingga ke malam hari, namun sambutan tetap meriah di sekitar Sg Limau.

Selepas penamaan calon, tidak banyak poster, banner, bendera dan bunting calon dilihat, namun ia semakin rancak dipasang, digantung dan dipacak oleh jentera masing-masing selepas beberapa hari kempen. Bunting dan poster Mukhriz Mahathir selaku MB Kedah tidak juga banyak kelihatan digantung di merata tempat sehinggakan ramai yang agak keliru, siapakah yang bertanding sebenarnya? Gambar profil dan imej Mukhriz yang kelihatan warak, berjubah dan berkopiah, seolah-olah menjadi pertaruhan jentera BN bagi menawan hati pengundi Sg Limau yang sinonim dengan kehidupan Islamik. Maka, slogan Berani Berhijrah dipertaruhkan oleh BN bagi menampakkan imej Islam bagi menambat pengundi.

Namun, BN terlupa bahawa sekarang dunia di hujung jari. Informasi mudah diperoleh hanya dengan menyentuh papan telefon pintar sahaja. Masyarakat Sg Limau boleh menilai yang mana permata dan yang mana kaca. Mereka tidak susah hendak menduga dan mengetahui adakah imej Mukhriz kali ini hanya topeng semata-mata. Siapa tidak tahu yang ahli keluarga Mukhriz yang memiliki saham dalam syarikat arak terkemuka, San Miguel di Filipina? Siapa yang tidak tahu yang ahli keluarga Mukhriz yang lantang melaungkan kebebasan hak asasi bagi golongan LGBT melalui Seksualiti Merdeka? Apakah layak dikategorikan keluarga Mukhriz sesuai dengan imej warak yang ditonjolkan? Pastinya penduduk Sg Limau tidak mudah tertipu dengan imej tempelan sedemikian.

Calon PAS, Ust Mohd Azam pula memperoleh kredit sangat besar dengan penampilan pemuda yang benar-benar berpegang pada ajaran Islam dalam erti kata sebenar. Tidak perlu dihurai panjang kepada masyarakat Sg Limau kerana mereka sinonim dengan keluarga Ust Azam yang soleh dan taat pada agama.

Ketika mana ceramah pengisytiharan calon PAS di Sg Limau Dalam oleh Tuan Guru Presiden PAS, audiens yang hadir sudah menjangkakan Ust Azam akan bertanding dan raut wajah mereka ceria tanda puas setelah mendengar pengumuman itu.



Ini menjadikan para pengundi menyenangi imej serta perwatakan beliau yang semula jadi Islamik dan tidak bermuka-muka. Walau pun demikian, tidaklah dikesampingkan calon, Dr Sohaimi dalam soal imej ini, tetapi strategi kempen BN lebih ke arah menonjolkan imej “Islamik” Mukhriz berbanding calon bertanding. Nyata, Mukhriz gagal menambat undi dengan strategi ini, malah memberi kelebihan pada PAS yang sentiasa tidak lari dengan imej Islamik.

Selain itu, ceramah-ceramah kelompok yang dianjurkan oleh Pas tetap mendapat sambutan walaupun hujan renyai-renyai membasahi bumi Sg Limau dengan menampilkan pimpinan-pimpinan kanan Pas yang turut padang bagi memastikan kemenangan Pas kekal di Sg Limau setelah dipertahankan oleh Al Marhum Tan Sri Ust Azizan selama 5 penggal berturut-turut. Prestasi yang amat jarang diperoleh melainkan wakil rakyat tersebut merupakan tokoh yang cukup disegani dan dihormati oleh  lawan dan kawan.

Namun, ceramah BN kelihatan hambar melainkan dengan menambah nilai kepada ceramah mereka dengan pengisytiharan projek dan peruntukan untuk menarik ramai audien hadir. Karnival Rakyat dianjurkan tiga hari berturut-turut dengan menawarkan barangan konsumer serendah RM1. Gula, tepung, minyak masak, serbuk pencuci kain dan lain-lain barangan dijual harga murah bagi memancing perhatian pengundi. Ditambah dengan kehadiran artis-artis popular bagi menambat kehadiran pengundi.

Tanpa sedar, ini menampakkan kelemahan BN kerana mereka lupa jika ‘umpan’ terlalu banyak, pengundi boleh membayangkan ada udang disebalik mee. Umpama ikan dalam kolam akan terkejut jika banyak umpan diberi oleh pemancing. Pasti ikan akan keliru dan berhati-hati memilih umpan untuk disambar.

Justeru, kelihatan pengundi Sg Limau lebih berwaspada dengan janji-janji yang boleh diragui dan secara mengejut subsidi gula ditarik. Penarikan subsidi ini memberi kesan psikologi mendalam bagi masyarakat luar Bandar kerana gula merupakan perkara asas dalam kehidupan mereka. Jika harga gula meningkat, pelbagai barangan berkaitan akan meningkat seperti air minuman dan makanan seperti kuih-muih. Ini menjejaskan budaya “sembang kedai kopi” yang menjadi aktiviti harian bagi penduduk kampung.

Selain itu, penarikan subsidi gula disaat kempen sedang berlangsung menampakkan Mukhriz disabotaj dan di’anaktiri’ oleh PM Najib Razak. Mengapa tidak menarik subsidi selepas PRK berakhir? Adakah ini cubaan sabotaj kepada Mukhriz? Peruntukan projek dan bantuan mee segera juga tidak banyak apabila hanya memperoleh sekitar RM15 juta sahaja berbanding Kuala Besut menjangkau setengah billion ringgit! Walhal kerusi DUN N.01 tersebut BN menang selesa pada PRU-13 dengan majoriti lebih 2,000 undi. Mengapa pelaburan besar di Kuala Besut tetapi tidak di Sg. Limau? Pastinya, Mukhriz tidak selesa dan panas punggung menerima kegagalan ketiga beliau kali ini.

Tawan kembali Kedah 

Jika dilihat kesungguhan dan strategi yang disusun, PAS Kedah berpeluang menawan kembali Kedah pada PRU14 dengan syarat mengekalkan momentum sedia ada. Setiap UPU telah menjalankan tugas yang baik dengan lengkap senarai pengundi yang telah lengkap dicula. Petugas tempatan yang dibantu dengan petugas daripada kawasan dan negeri bantu sangat memainkan peranan yang penting dan bekerjasama dengan baik untuk memastikan kemenangan calon PAS.

Sudah tidak timbul pergeseran dalaman dan isu-isu yang dimainkan oleh BN dijawab dengan baik walaupun di saat-saat akhir, isu patung Al-marhum Ust Azizan dan pemuda PAS menumbuk Puteri UMNO dimainkan begitu kuat sekali. Namun, jentera PAS yang dikemudi oleh Pesuruhjaya PAS Kedah yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, tetap gagah melawan tanggapan negatif yang dilontar BN di media perdana. Pastinya media alternatif dan media sosial banyak membantu jentera PAS dalam meluaskan sebaran maklumat dengan pantas.

Walaupun terdapat penganalisis dan blogger politik mengatakan BN berjaya menafikan majoriti PAS yang lepas, bagi saya ia merupakan kejayaan pada PAS kerana Sg. Limau merupakan percubaan pertama PAS Kedah selepas gagal pertahankan negeri Kedah pada PRU-13. Ini bukti jentera PAS Kedah sudah kembali bangkit dan pulih. Kedua, situasi PRK Sg. Limau dilihat seperti PRK Permatang Pasir yang mana PAS menjadi penyandang sejak 1999.

Pemergian Al-Marhum Ustaz Hamdan yang menyandang kerusi itu menjadi cabaran besar PAS Pulau Pinang bagi mempertahankan kerusi dibawah Parlimen Permatang Pauh sehinggakan mempertaruhkan Ustaz Salleh Man, Pesuruhjaya Pulau Pinang sebagai calon. Walaupun calon yang diletakkan sudah ‘well-knowned’ di kawasan tersebut, namun PAS hanya memperoleh undi 9,618 undi dengan majority 4,551 undi pada PRK itu berbanding penyandang, Al-Marhum Ustaz Hamdan telah mendapat 11,004 undi dengan majoriti 5,433 undi pada PRU-12. Penurunan yang mendadak majoriti PAS pada PRK Permatang Pasir ketika itu.

Namun, pada PRU-13 yang lepas, kerusi tersebut telah dipertahankan oleh Ustaz Salleh Man dengan peningkatan majoriti yang mendadak dan ketara iaitu sebanyak 6,826 undi majoriti. Suatu pencapaian yang sangat baik kepada PAS Pulau Pinang kerana hanya 1 ADUN tunggal PAS yang ada di Pulau Pinang!

Situasi sama juga boleh dilihat di DUN Manek Urai apabila pada PRU-12, PAS memenangi majoriti yang selesa iaitu 1,352 majoriti undi melalui calon Ismail Yaacob, namun pada PRK Manek Urai, PAS Kelantan hanya menang dengan 65 undi majoriti melalui calonnya Ustaz Mohd Fauzi Abdullah. Kemenangan yang sangat tipis atas beberapa faktor lain yang ramai melihat PAS Kelantan gagal mengekalkan majoriti dengan lebih selesa, namun tetap mempertahankan kemenangan di Manek Urai. Akan tetapi, pada PRU-13, PAS Kelantan dengan mengekalkan calon yang sama, majoriti kemenangan PAS meningkat mendadak kepada 1,633 undi, melebihi majoriti undi yang diperoleh pada PRU-12. Bagi saya, ia satu pencapaian sangat baik oleh PAS Kelantan di saat ramai penganalisis politik meramalkan Kelantan tumbang pada PRU-13!

Contoh sebegini sangat rapat dengan PRK Sg Limau. Kita juga maklum bahawa, padang pilihanraya kecil dan pilihanraya umum amat berbeza. Jentera BN 100% fokus bagi merampas dengan apa jua cara pada PRK. Para pengundi pun ditinjau meramal perkara yang kerana mereka berkata dengan loghat Kedah, “jika pilihanraya besaq, insyaAllah PAS menang macam biasa tetapi pilihanraya kecik, tak tahu macam mana, depa (BN) bawa turun macam-macam pada kami”. Mereka (pengundi) seolah-olah menjangka impak akan terkesan pada pengundi dengan ‘gula-gula’ dan ‘umpan’ pilihanraya diberikan terutama kepada pengundi atas pagar.

Melihat situasi sebegini, seharusnya kredit dan pujian wajar diberikan kepada PAS Kedah dan seluruh jentera membantu kerana medan PRK sangat mencabar berdasarkan fakta dan hujah diatas, berbanding PRU. PAS telah mengemukakan calon yang paling sesuai dan saya meramalkan pada PRU-14 jika jentera sedia ada masih kekal momentumnya, YB Ustaz Azam akan mengekalkan kemenangan di Sg. Limau dengan majoriti yang lebih selesa. Para pengundi akan mula sedar bahawa pada PRK yang lalu mereka telah di’gula-gula’kan oleh BN apabila situasi PRU tidak menjanjikan projek mee segera dan bantuan ekspress sebagaimana PRK. Pada waktu itu, pengundi atas pagar akan buka mata bahawa BN hanya meng’umpan’ mereka sahaja demi kepentingan politik.

Dan berita paling menggembirakan buat PAS Kedah untuk terus mara dan gagah menyusun langkah menuju PRU14 ialah Mukhriz sekarang menjadi modal dan ‘punching bag’ kerana gagal di percubaan ketiga selepas kalah dalam pemilihan Naib Presiden UMNO yang lalu. Beliau juga gagal dalam usaha merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia pada tahun 2009. Ini jelas, kepimpinannya ditolak bukan sahaja di peringkat parti malah di kalangan masyarakat Kedah terutamanya. Terang lagi bersuluh, beliau hanya mengharapkan populariti ayahandanya untuk kekal di persada politik tanah air. Prestasi beliau sebagai MB Kedah setelah 5 bulan memegang tampuk kuasa juga tidak menunjukkan pencapaian yang membanggakan selain hanya selesa di Wisma Darul Aman.

Peluang-peluang sebegini wajar menjadi ‘lauk kenduri’ kepada PAS Kedah bagi menumbangkan Mukhriz Mahathir dan regim BN pada PRU14 akan datang. Selain itu, strategi dan kemantapan jentera wajib terus dikekalkan dan ditingkatkan momentumnya sehingga menjelang PRU-14 ataupun mungkin pilihanraya-pilihanraya kecil akan datang. Syabas dan tahniah kepada Pesuruhjaya PAS Kedah, jentera Pilihanraya PAS Kedah dan seluruh jentera membantu!

Sunday, December 18, 2011

Kemana Hala Tuju Dakwah Masa Kini?

Kemana Hala Tuju Dakwah Masa Kini?
Oleh: Ubaid Abd Akla

Mari mulakan pembacaan nukilan ini dengan suatu renungan daripada Allah s.w.t ;
وَلاَ تَمْشِيْ فِي الأَرْضِ مَرَحًا
Dalam ayat ini jelas isyarat daripada Allah s.w.t agar makhluk di atas muka Bumi Allah supaya tidak bongkak atau tidak angkuh ketika berjalan mahupun menjalani kehidupan di atas dunia yang sementara. Kaitan yang sangat jelas boleh kita ambil sebagai seorang pendakwah agama Allah agar lebih mesra dan tawaduk dalam konteks memenangi hati para mad’u[1]. Para pendakwah bukan sahaja perlu menunjukkan akhlak Islamiyyah yang baik seperti disarankan oleh Rasulullah s.a.w bahkan perlu lebih daripada itu dengan approach ‘mesra’ dan ‘friendly’ kepada masyarakat hari ini.
Perkara sebegini kekadang sangat sukar dilaksanakan oleh para pendakwah dengan didatangi pelbagai 1001 alasan yang dicipta samada sengaja mahupun tidak. Namun, sifat seorang pendakwah tidak boleh wujud ruang mencipta alasan kerana hadaf [2] dalam lapangan dakwah ini bukan semata-mata meluaskan agama Islam sahaja bahkan lebih besar daripada itu iaitu menegakkan khilafah Islamiyyah[3] pada suatu hari nanti.
Maka halatuju seorang pendakwah perlu tertumpu dan fokus dengan hadaf yang jelas sebagaimana kehendak mad’u semasa. Realiti kini, anak muda lebih banyak menghabiskan masa dengan media-media baru seperti facebook, youtube, blog, dan lain-lain. Golongan lebih berusia banyak menghabiskan masa selepas letih bekerja bersama keluarga di rumah mahupun bersiar-siar untuk menghilang tekanan kerja dan seumpamanya.
Oleh itu, pendekatan atau approach yang digunakan perlu bersifat semasa dan memenuhi selera mad’u masa kini yang kian dahagakan pengisian. Soal kemampuan kita tolak ketepi buat sementara tetapi soal mahu perlu difikirkan. Adakah kita mahu berubah memenuhi citarasa masyarakat sekarang?
Kita juga sedia maklum, pendekatan sedia ada seperti sekarang bukanlah tidak relevan langsung seperti memberi risalah dengan penuh artikel berat, gambar yang kurang jelas, karikatur kurang menarik, berjumpa dan bercerita tentang topik yang ingin disampaikan. Namun, method seperti ini semakin kurang popular untuk mendekati golongan sasar seperti dinyatakan di atas. Perlunya islah[4] dalam pendekatan / approach sedia ada agar dakwah yang ingin disampai dapat diterjemahkan dalam erti kata sebenar dengan meresapi para mad’u dalam bentuk amalan seharian.
Hari ini, rata-rata anak muda tahu kewajipan solat, tetapi berapa ramai yang tunaikan solat? Ibu bapa juga tahu hubungan antara lelaki dan perempuan sebelum berkahwin tidak elok dan dilarang dalam Islam tetapi makin ramai ibu bapa yang membenarkan anak-anak mereka berpacaran tanpa ditemani muhrim[5]. Maka kita dapat lihat, dakwah yang selama ini berjaya disampaikan, namun tidak dapat diresapi dan dijiwai dengan baik oleh golongan mad’u dalam bentuk tindakan.
Oleh itu, secara ringkasnya dapat disimpulkan 2 perkara yang perlu diperhalusi oleh golongan pendakwah:
1.        Gerak kerja dakwah melalui media baru mesti diperhebat. Tidak lagi timbul soal tidak tahu/tidak pandai dalam penggunaan teknologi kini kerana itu akan mewujudkan alasan seperti dinyatakan seperti diatas.
Method ini sangat sesuai diaplikasi untuk generasi muda agar dakwah yang ingin disampaikan lebih segar dan aternatif kepada method yang sedia ada sekarang.
Cuma, para pendakwah perlu dan mesti melengkapkan diri dengan tools media baru agar tidak ketinggalan dalam arus masakini.
2.        Dakwah turun ke lapangan secara efektif. Ini bermaksud para pendakwah bukan sekadar hanya berjumpa masyarakat dengan bercerita dan menyampaikan sesuatu topik sahaja tetapi perlu approach berbeza iaitu lebih mesra dan merakyat.
Mesra dan merakyat boleh difahami disini ialah dakwah yang mahu disampaikan bersifat menjiwai golongan sasar seperti contoh jika bertemu dengan orang Bandar, mungkin penyampaian bahasa yang tersusun, berpakaian kemas, topik yang teratur dan ringkas. In fact, ada yang sanggup bayar untuk mendengar apa yang ingin kita katakan!
Bagi golongan luar Bandar seperti di kampung-kampung, pendekatan bersahaja, sederhana dan ramah amat diperlukan untuk memastikan mesej sampai kepada golongan sasar. Jiwa pendakwah juga perlu bersama-sama mereka dalam apa jua aktiviti seperti solat berjemaah, gotong-royong, kelas fardhu ain dan lain-lain sebagai qudwah[6] untuk diteladani mereka walaupun ruang masa yang ada terhad.
Kesannya, kita akan dapat lihat hala tuju dakwah akan lebih terpandu dan memenuhi citarasa masyarakat semasa tanpa dikesampingkan hadaf dan mesej yang ingin disampaikan kepada golongan sasar.


[1] Segolongan manusia samada beragama Islam atau tidak yang ingin disampaikan mesej dakwah
[2] Objektif atau tujuan sesuatu perkara dilaksanakan
[3] Pemerintahan Islam tanpa wujud sentiment kenegaraan, kebangsaan dan lain-lain, diketuai oleh Khalifah
[4] Perubahan
[5] Saudara seibu sebapa / seibu / sebapa. Mudah untuk difahami, saudara yang tidak boleh dikahwini dan suami/isteri
[6] Contoh teladan yang baik dari segi akhlak menepati kehendak Islam


Sunday, January 16, 2011

Mahasiswa Kian Tidak ‘Tenang’



Sebagai mana kita ketahui Pilihan raya Kecil DUN Tenang bakal menjengah beberapa hari lagi. Pelbagai isu ditimbulkan oleh mana-mana parti yang bakal bertanding di kerusi itu, tidak kira dari pihak Kerajaan mahupun Pakatan Rakyat. Kedua-dua pihak mengatur strategi bagi menawan kerusi ‘tenang’ tersebut kerana rekod pilihan raya yang lepas-lepas, Dun Tenang merupakan kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional. Andai terkulai barisan kubu tersebut di tangan Pakatan Rakyat, ia merupakan isyarat jelas kepada angin perubahan rakyat negeri Johor kepada Pakatan Rakyat.



Namun, dicelah ketidaktenangan kedua-dua pihak, jentera mahasiswa jua kian tidak ‘tenang’ dengan tempoh jangka masa 2 minggu dari sekarang. Hal ini kerana Pilihan raya Kampus bakal muncul lagi dalam diari mahasiswa pada sesi kali ini.



Bahang Pilihanraya Kampus sesi kali ini pasti lebih hangat dari biasa kerana jika benar analisis kebanyakan penganalisis politik mengatakan Pilihan raya Umum bakal menjengah pada tahun ini, tahun 2011 sebagai angka keramat kepada PM Dato Sri Najib, maka kemenangan jentera Pro-Mahasiswa di seluruh kampus IPTA mahupun IPTS merupakan isyarat jelas kepada Kerajaan bahawa anak-anak muda bakal menolak Kerajaan sedia ada sekarang.



Indikator seperti ini bakal merungsingkan lagi jentera pihak Pro-Aspirasi yang pastinya bakal menyusun strategi untuk menumbangkan jentera Pro-Mahasiswa yang kian terkesan dikalangan mahasiswa berbanding agen-agen Pro-Aspirasi yang hanya menjadi ‘pak turut’ pihak pentadbiran universiti.



Bahang kali ini ditambah dengan tuntutan seluruh jentera Pro-mahasiswa kepada pihak universiti untuk memberi autonomi dan autoriti penuh kepada mahasiswa untuk mengendalikan pilihan raya andai mereka benar-benar telus dan ikhlas memberi ruang kebebasan kepada mahasiswa. Di samping mendapat pantauan dari badan bebas seperti Pemantau Pilihan raya Bersih dan Adil (Mafrel) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang diberi kebenaran dan kebebasan untuk menjadi pemerhati dalam pilihan raya kampus kali ini.



Dan umum mengetahui, pencabulan terhadapa mahasiswa telah pun berlaku setelah system e-voting diperkenalkan beberapa tahun yang lalu. Maka tuntutan seperti ini wajar dalam menuntut Pilihan raya Kampus yang adil dan telus.



Walau bagaimanapun, tindakan mewujudkan system e-voting dilihat kurang bijak kerana memakan diri sendiri apabila jentera Pro-Mahasiswa berjaya juga menawan kampus-kampus seperti di UIA dan UM pada sesi yang lepas. Isyarat ini jelas bahawa mahasiswa sudah jelek dengan strategi kotor oleh mereka dalam menyekat kemaraan mahasiswa di peringkat universiti mahupun nasional.



Di samping itu, Pro-Mahasiswa di Lembah Klang meramalkan Pilihanraya Kampus bakal berlaku selaras di seluruh kampus pada hujung Januari atau awal Februari depan. Kebanyakan Majlis Perwakilan Pelajar di setiap kampus bakal membubarkan sesi kepimpinan bermula minggu ini sehingga hujung bulan ini.



Situasi ini pasti bakal menggentarkan Pro-Aspirasi untuk berhadapan seluruh mahasiswa dalam Mesyuarat Agung Tahunan kerana banyak manisfesto yang ditabur di kampus-kampus yang mereka kuasai hanya tinggal omongan kosong. Tiada apa yang boleh dibanggakan dengan janji-janji kosong oleh pihak mereka. Kebajikan mahasiswa tetap terabai!

Tuesday, December 7, 2010

Harga Barang Naik Lagi: Kekecewaan Besar Buat Mahasiswa



Minggu lalu, rakyat Malaysia dikejutkan dengan kenaikan harga barang 4 dalam 1. Kenaikan yang tidak masuk akal ini menyebabkan bebanan yang besar kepada rakyat Malaysia apatah lagi musim persekolahan akan bermula pada awal januari hadapan. Pastinya rungutan dan rayuan rakyat tidak dan tidak akan didengari oleh Kerajaan Persekutuan. Lebih malang lagi, kesannya bakal dirasai oleh seluruh mahasiswa di Malaysia apabili semester baru akan dibuka menjelang hujung disember ini.
Alasan pengurangan subsidi harga barang amat tidak relevan apatah lagi kenaikan barang baru sahaja berlaku tidak sampai 6 bulan lepas iaitu pada 15 Julai yang lalu. Di sini, mahasiswa secara jelasnya mampu dan boleh berfikir dimana
prinsip 1 Malaysia yang dilaung-laungkan oleh Kerajaan selama ini. Jika betul rakyat didahulukan, kenapa kenaikan berlaku dalam masa 6 bulan? Hal ini menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati dikalangan rakyat terutamanya mahasiswa yang akan menempuh semester baru tidak lama lagi. Bagaimana hendak cukup biasiswa/pinjaman diberikan jika keperluan sara hidup semakin naik jika hendak dibandingkan pinjaman yang diberikan. ? Sepatutnya perkara seperti ini patut dimbil kira memandangkan lebih 300,000 ribu mahasiswa sedang berada di IPT seluruh negara sama ada di IPTA, IPTS, Kolej-kolej Komuniti, Politeknik dan sebagainya.
Kesannya, lebih ramai mahasiswa terpaksa ikat perut untuk meneruskan pengajian bahkan ada yang berkerja sambilan untuk menampung kos sara hidup dan lebih malang terdapat mahasiswa yang pengsan dek kerana 'exhausted' dan pengsan semasa bekerja untuk menampung keperluan diri di samping dalam pada masa yang sama perlu fokus dalam pengajian. Dalam pada masa yang sama akan berlaku kenaikan harga makanan di kampus pusat pengajian dan perkara ini memang tidak dapat dielak lagi kerana pengusaha kafe/kantin terpaksa menanggung kos pengankutan lebih dari biasa kerana kenaikan petrol dan diesel serta kos bahan makanan seperti gula.
Jika perkara ini berlaku secara berterusan, bagaimana Malaysia hendak melahirkan pelapis dan rakyat yang kompeten dari sudut akademik mahupun sahsiah jika mahasiswa tidak dapat fokus dalam pengajian mereka? Mahasiswa yang terus menerus menjadi mangsa seolah-olah ibarat anak dibuang dan kera disusukan. Hal ini dapat dilihat dengan tiada sebarang penarikan subsidi dilakukan kepada perunding-perunding asing dan kroni yang sewaktu dengannya. Walhal, siapa yang patut didahulukan dalam isu subsidi? sama ada kita rakyat Malaysia atau sebaliknya?
Jika terus menerus berlaku perkara seumpama ini, mahasiswa pastinya akan terus dizalimi demi menjaga kepentingan sesetengah pihak. secara total mahasiswa semakin keliru dengan agenda yang hendak dibawa oleh Kerajaan sama ada mendahulukan rakyat atau sebaliknya!

Sunday, January 24, 2010

Disebalik Anugerah Juara Lagu 24

04 Safar 1431H
Ihsan dari: ameer

Selepas anda gembira dan puas menonton Anugerah Juara Lagu ke 24, mengenai apa yang ada pada malam AJL 24 dengan tema Origami tersebut? Saya tidak mahu berkata mengenai dosa atau tidak diadakan program seperti itu kerana saya tahu anda lebih arif mengenainya. Apa yang membuatkan jari jemari saya menekan papan kekunci di laptop ini adalah untuk memberitahu dan berkongsi dengan anda illuminati sial ini memang sudah lama wujud di tanah air kita. Cuma sejak-sejak kebelakangan ini, mereka seolah sengaja menampakkan wajah mereka yang ditutupi ‘kain hitam’ itu.

Cadangan: Adalah lebih baik kalau anda boleh tonton kembali AJL 24 di website www.tv3.com.my selepas anda baca apa yang saya dapati dari siaran tv tersebut.

1) Pertama sekali, sila perhatikan gambar dibawah ini;

Apa persamaan dengan scene yang disnapshot ini?
Adakah ini satu kebetulan???


2) Yang kedua, anda juga mungkin dapat lihat apa persamaan penari-penari ini dengan salah satu dari kerabat-kerabat firaun yang dipercayai oleh mereka mempunyai suatu yang berkuasa?








Mungkin anda tidak hairan kerana sudah terlalu banyak kostum ala-ala bangsawan firaun selalu dipakai dalam acara-acara sebegini. Tapi, mengapa ingin dipertontonkan sangat si firaun yang telah dilaknat ini? Untuk mengetahui jawapannya, anda perlu buka fikiran anda dan fikirkan tentangnya..

3) Yang ketiga, Alyah yang merupakan finalis AJL 24 mengenakan gaun merah ala-ala lady in red.


Ingatkah anda lady in red? Mungkin ada diantara kita yang kurang tahu. Jom kita saksikan video di youtube apa itu lady in red.
Jadi apa yang dipakai oleh Alyah? Mungkin ada di antara kita kurang senang dengan persamaan ini, terpulang kepada anda. Bagi saya ini merupakan satu rancangan tertutup dan saya juga percaya yang di atas pentas itu juga tidak tahu menahu mengenai semua ini. Kebetulan? saya kata tidak.

Jom kita lihat apa yang seterusnya. Anda mungkin ada yang sudah tahu mengenai the Master Carpet, turut dikenali sebagai Checkered Floor, tetapi bagi yang belum tahu, sila ambil tahu. Ini adalah gambaran jelas mengenainya.


Adakah ia juga ada di AJL 24? Ya, memang ada.!!





* ketika persembahan Jeffry din
Kenapa dihamparkan juga? Ini juga terdapat di tali pengikat gitar yang dipakai oleh Bunkface dan beberapa orang guitarist yang lain. Cuba lihat gambar di atas!!

lihat pada background skrin!! checkered floor!!

Dan apa pula ini?
Apa persamaannya?


Ini adalah merupakan logo salah sebuah kumpulan nyanyian di Malaysia. Anda dan saya mungkin sudah sebati dengan nama Search. Terlalu ketara persamaannya. Saya tidak perlu menulis panjang kerana anda telah berfikir dan terfikir apa yang saya akan tulis.

Lihat ditangga turun naik di atas pentas ini. Terdapat susunan cahaya berbentuk piramid. Lihat snapshot di bawah


Pembaca sekelian, selalu dikatakan, ini hanya merupakan satu kebetulan sahaja. Tapi benarkah ia sebagai satu kebetulan? Kalau anda teruskan pandangan anda seperti itu, anda mungkin salah seorang mangsa makhluk perosak yahudi. Saya percaya bahawa apa-apa yang terjadi hari ini, bukan lagi kebetulan bahkan ia diatur sebaik mungkin. Untuk apa? bagi memperlihatkan kepada anda bahawa ia suatu kebetulan.
Bebaskan minda anda.!!

Friday, April 24, 2009

Islam & Demokrasi

ISLAM DAN DEMOKRASI
Oleh: Ubaid b
in Abd Akla


Mukadimah
Islam sebuah agama yang syumul yang semakin hari semakin ramai jumlah bilangannya. Sebuah kerajaan yang ditadbir berlandaskan hokum-hukum Islam pasti akan memacu ketamadunan sesebuah Negara atau bangsa seperti yang dibuktikan melalui sejarah bagaimana Khalifah Umar Al-khattab meluaskan empayar Islam sehingga menguasa lebih dua pertiga dunia. Jejak beliau diikuti oleh khulafa ar-rasyidin yang lain meneruskan kegemilangan pemerintahan Negara Islam sehingga terkuburnya Khilafah yang terakhir di era pemerintahan Turki Uthmaniyah pada 1924. Catatan sejarah merupakan bukti kukuh kepada pelaksanaan syariat Islam dalam sesebuah Negara. Namun dengan wujudnya ideology-ideologi yang ditumbuh pada masa kini menimbulkan buah persoalan sejauh mana ideology seperti demokrasi boleh diguna pakai dalam system pemerintahan sesebuah Negara.

Definisi Islam
Islam yang dijelaskan dalam Al-Quran: “Sesungguhnya agama yang benar disisi Allah adalah Islam” – Ali Imran:19. Pengertian Islam yang umum dan menyeluruh seperti yang digariskan oleh Islam ssendiri adalah al-Istislam Lillah ataupun al-Islam iaitu penyerahan diri kepada Allah. Selain itu, Islam bererti tunduk dan menyerah diri kepada Allah serta mentaatinya. Islam lahir daripada kesedaran dengan tidak dipaksa. Allah menjelaskan dalam surah Ali Imran, ayat 83: “Apakah mereka mencari agama yang lain selain dari agama Allah padahal kepadanya menyerah diri segala apa dilangit dan di bumi, baik dengan suka mahupun terpaksa dan kepada Allah mereka dikembalikan.”

Ketundukan dengan penuh kesedaran itulah hakikat Islam. Dalam kerendahan dan ketundukan sepaerti itu maka timbullah pahala dan dosa. Tanda dan bukti kita tunduk kepada Allah adalah reda dengan agamaNya dengan diiringi penuh kesedaran kerana hanya Islam, agama yang diredai oleh Allah. Perkara ini jelas dinyatakan oleh Allah dalam surah Ali-Imran, ayat 85: “Dan barangsiapa yang mencari selain daripada Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan dia di akhirat termasuk dikalangan orang-orang yang rugi.”
Islam juga merupakan peraturan dan perundangan lengkap bagi mengatur kehidupan manusia sebagai khalifah di muka bumi. Islam terdiri daripada peraturan-peraturan yang berbentuk akidah, akhlak dan muamalat. Segala berita perkhabaran yang disebut dalam Al-Quran dan As-Sunnah diperintahkan Allah kepada manusia merupakan peraturan dan perundangan yang hendaklah disebarkan kepada semua ummat manusia. Sebagaimana dijelaskan Allah dalam surah al-Maidah, ayat 67: “Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu oleh Tuhanmu dan jika kamu tidak kerjakan (apa yang diperintah itu) bererti kamu tidak menyampaikan risalah Allah dan Allah memelihara kamu daripada (gangguan) manusia.”

Kesyumulan Islam
Allah telah b
erfirman, "Wahai orang-orang beriman, masuklah kamu kedalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata kepada kamu." Perkara ini telah jelas dinyatakan Allah bahwa Islam mencakupi segala aspek dalam kehidupan seharian kita. Tiada ajaran yang selengkap Islam. Islam sebagai cara hidup manusia sejagat tanpa mengira bangsa, kaum, etnik dan negara. Islam sesuai untuk semua generasi tanpa mengenal zaman dan tempat. Maka, wajib ke atas umat Islam untuk mengimani bahawa apa jua yang dibawa Islam adalah datang dari Allah termasuk dari segi politik. Para rasul yang diutuskan oleh Allah sebagai pemimpin dan Rasulullah s.a.w sebagai utusan terakhir sebagai pembawa rahmat kesekalian alam dan memimpin manusia ke arah kebenaran sama ada dalam urusan pentadbiran, ekonomi, pendidikan, sahsiah, sosial, dan lain-lain.

Definisi Demokrasi
Istilah demokrasi berasal daripada perkataan Greek, iaitu demos dan kratos.Demos bermaksud ‘rakyat’ dan kratos bermaksud ‘pemerintahan’.Konsep demokrasi dikatakan telah diasaskan oleh kerajaan Greek Purba (abad ke-4 M).Konsep demokrasi ini dikembangkan pula oleh beberapa orang cendekiawan Greek seperti Socrates, Plato, Aristotle dan Pericles.

Di dalam teori politik, demokrasi digambarkan sebagai bilangan kecil berhubung menubuhkan sesebuah corak pemerintahan kerajaan dan juga dikaitkan dengan falsafah politik. Walaupun tiada definisi yang meluas atau lengkap tentang demokrasi tetapi terdapat dua prinsip asas yang seharusnya dalam setiap penafsiran demokrasi. Pertama, semua penduduk/rakyat mempunyai kuasa yang sama dan kedua, penduduk/rakyat/masyarakat sesebuah Negara menikmati kebebasan dan hak bersuara.

Terdapat berbagai bentuk demokrasi yang mana terdapat sesetengahnya memberi kesan baik dan ruang kebebasan kepada rakyat. Namun, jika terdapat bentuk demokrasi yang tidak ada perundangan yang mengawal selia, maka akan berlaku kuasa politik yang tidak stabil di dalam kerajaan itu sendiri. Contoh mudah yang dapat kita lihat untuk menghasilkan demokrasi yang telus ialah dengan pembahagian kuasa yang mana dikawal selia oleh system perundangan dan menjadi telus. Peraturan majority selalu dikaitkan sebagai karekteristik bagi demokrasi itu sendiri tetapi tanpa tanpa tanggungjawab dari pihak kerajaan, maka hak minoriti berkemungkinan dapat menghapusnya dengan majority “tyranny”. Proses asas untuk mewakili demokrasi ialah dengan pertandingan pilihan raya yang adil mengikut prosedur ditetapkan. Selain itu, kebebasan bersuara, kebebasan media dan kebebasan berpolitik adalah perlu bagi membolehkan rakyat mengetahui dan berupaya melaksanakan tugas mereka sebagai pengundi.

Demokrasi secara ekstrim boleh dilihat dalam sistem kerajaan seperti anarkisme dan komusnisme (menurut teori Karl Marx ia merupakan peringkat terakhir pembangunan sosial dimana demokrasi adalah diamalkan secara langsung , dan tiada kerajaan yang bebas dari kehendak rakyat).


Demokrasi moden mempunyai sifat-sifat dengan institusi-institusi berikut:

1. Perlembagaan yang menghadkan kuasa dan kawalan operasi formal kerajaan, samada secara tulisan, secara norma atau gabungan kedua-duanya. Lazimnya Perlembagaan akan memasuki dotrin pembahagian kuasa untuk memastikan seseorang itu tidak diberi lebih dari satu kuasa.

2. Pilihanraya untuk memilih pegawai-pegawai awam, yang dikelolakan secara bebas dan adil

3. Rakyat diberi hak mengundi.

4. kebebasan bersuara (berceramah, berhimpun dan sebagainya).

5. kebebasan akhbar dan akses kepada media lain

6. kebebasan persatuan.

7. Semua orang dalam masyarakat menikmati hak yang sama dari segi undang-undang. Salahsatu pra-syarat demokrasi ialah wujudnya Aturan Undnag-undang Rule of Law

8. Rakyat yang berpendidikan dan berpengetahuan tentang hak asasi manusia dan tanggungjawab sivik.

Demokrasi Sosial

Merupakan ideologi politik yang menggabungkan sosalisme dengan unsur-unsur kapitalisme yang dianggap sesuai. Ideologi ini juga ditakrifkan sebagai bentuk demokrasi yang mampu menyelesaikan masalah-masalah kapitalisme.

Demokrasi Liberal

Satu bentuk kerajaan demokrasi melalui perwakilan di mana perwakilan membuat keputusan yang berlandaskan undnag-undnag yang tertakluk kepada perlembagaan yang liberal. Perlembagaan ini melindungi hak-hak dan kebebasan rakyat dengan membataskan kuasa pihak majoriti untuk mengatasi kuasa minoriti.

Demokrasi Berparlimen

Sebuah kerajaan yang dilantik oleh ahli-ahli Parlimen yang telah menang di dalam Pilahan raya yang diadakan mengikut prosedur-prosedur yang ditetapkan. Di bawah demokrasi berparlimen, kerajaan ditadbir oleh delegasi (menteri) dan mereka akan melaksanakan dasar dan “check and balance” dilakukan oleh perundangan parlimen yang dipilih oleh rakyat.

Malaysia Sebuah Negara Demokrasi Berparlimen

Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Perlembagaan negara telah digubal dengan mengadakan syarat-syarat untuk pengalaman sistem ini. Salah satu syarat sistem Demokrasi Berparlimen adalah pembahagian kuasa kepada tiga bahagian di dalam pemerintahan, iaitu Perundangan, Kehakiman dan Pentadbiran atau Eksekutif.

Malaysia juga merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi berasaskan kepada sistem Persekutuan. Sehubungan dengan itu, ia bermakna negeri-negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak , Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Sabah telah bersetuju dengan konsep penubuhan Negara Malaysia.

Setiap negeri yang terbabit telah menyerahkan sebahagian kuasa masing-masing, seperti kewangan, pertahanan, pelajaran, luar negara dan lain-lain lagi seperti mana yang telah tercatat di dalam Perlembagaan Malaysia yang di tadbir oleh Kerajaan Pusat. Ada perkara-perkara yang dijadikan kuasa negeri dan negeri akan mentadbirkan kuasa.

Sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan, maka diperuntukan oleh Perlembagaan institusi Yang Di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu di sembilan buah negeri dan Majlis Raja-raja. Baginda adalah diberi kuasa untuk memelihara adat istiadat orang Melayu dan Pentadbiran Agama Islam di negeri masing-masing. Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, dan Wilayah-wilayah Persekutuan.

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong juga menjadi Kepala Utama Negara dan Baginda adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Negara. Baginda akan menjalankan tugas-tugas dibawah Perlembagaan mengikut nasihat Perdana Menteri atau Jemaah menteri . Raja-raja pula menjadi Ketua Negeri masing-masing dan menjalankan tugas mengikut nasihat Menteri-menteri Besar atau Ketua-ketua Menteri.

Parlimen Persekutuan mengandungi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, dan dua Dewan iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat.Perkara 55, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa hanya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sahaja yang boleh memanggil Parlimen untuk bersidang. Baginda juga mempunyai kuasa istimewa untuk memberhenti atau membubarkan Parlimen.

Dengan demikian Yang di-Pertuan Agong diperlukan oleh Perlembagaan untuk memanggil Parlimen bermesyuarat dalam masa enam bulan antara persidangan yang akhir dalam satu penggal yang kemudiannya.

Bagi Dewan Rakyat, Ketua atau Timbalan Ketua Majlis hendaklah menetapkan sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap penggal, tarikh-tarikh majlis akan bermesyuarat dalam penggal itu. Walau bagaimanapun , Ketua atau Timbalan Ketua Majlis boleh mengubah tarikh-tarikh yang ditetapkan itu dari masa ke semasa.

Parlimen Persekutuan merupakan badan perundangan yang tertinggi di Malaysia. Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu. Parlimen akan terus berjalan selama lima tahun, dari tarikh mesyuarat pertamanya selepas Pilihanraya Umum.

Pada penghujung tempoh lima tahun ini, Parlimen dengan sendirinya dibubarkan dan dalam masa 60 hari dari tarikh pembubaran Parlimen, Pilihanraya Umum bagi memilih wakil-wakil untuk Dewan Rakyat hendaklah diadakan, dan Parlimen dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh pembubarannya.

Struktur Parlimen Malaysia

Parlimen Malaysia terdiri daripada tiga komponen:-
1. Yang Di-Pertuan Agong

2. Dewan Negara


3. Dewan Rakyat




Perbezaan Demokrasi Dengan Islam

1. Hubungan agama dengan politik. Islam dengan politik tidak dapat dipisahkan kerana politik/siasah adalah salah satu cara hidup di dalam Islam itu sendiri. Hal ini dapat kita lihat selepas kewafatan Rasulullah s.a.w, tidak ditetapkan oleh Allah siapa yang sepatutnya menggantikan baginda. Islam meberi mandat kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka. Hal ini samalah yang disebut sebagaimana demokrasi. Namun demokrasi Barat tidak meletakkan syarat menjadi pemimpin mestilah berilmu, beragama dan berakhlak baik. Ini bertentangan kehendak yang digariskan dalam Islam.

2. Demokrasi barat tidak terikat dengan agama dan akhlak yang menjerumuskan para pemimpin dengan dipengaruhi hawa nafsu berbanding meletakkan sumber rujukan hakiki iaitu Al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan utama. Banyak contoh dapat kita lihat hasil demokrasi berlandaskan hawa nafsu seperti memberi lesen perjudian dan penjualan arak. Mereka tahu kedua-dua perkara ini akan merosakan tamadun manusia tetapi nafsu rakus yang menginginkan laba duniawi menyebabkan mereka tidak mempedulikan semua ini. Maka generasi kemudian menjadi mangsa hawa nafsu mereka dengan terlibat dalam aktiviti tidak sihat sperti dinyatakan.

3. Islam membawa perpaduan dan keharmonian kepada masyarakat berbanding demokrasi Barat. Ini dapat kita lihat demokrasi merupakan suara majoriti rakyat. Maka suara minoriti tidak akan didengari oleh pemimpin. Maka suara minoriti/pembangkang ini akan diketepikan berbanding di dalam Islam suara-suara ini amat penting dalam mewujudkan check and balance dalam sesebuah kerajaan Islam. Para pembangkang akan bertindak sebagai pemantau atau pengkritik untuk meningkatkan lagi kemajuan sesebuah negara. Selain itu, semangat perkauman tidak akan wujud didalam Negara Islam kerana umat Islam bersatu atas dasar Islam bukan taksub atau fanatik kepada sesebuah bangsa/kaum.

Penutup
Sistem demokrasi telah dapat mewujudkan suasana politik yang stabil, aman, dan makmur.Kewujudan seorang raja berpelembagaan telah mengekalkan kesinambungan tradisi pemerintahan di negara ini.Kerajaan yang dipilih oleh rakyat pula perlu bijak memenangi hati rakyat dan tidak boleh berat sebelah terhadap golongan minoriti kerana keadaan ini akan menjatuhkan kerajaan pemerintah pada masa akan datang. Namun, pelaksanaan perundangan Islam dalam sesebuah Negara merupakan penyelesaian terbaik dalam menangani korupsi yang pastinya wujud walau dalam apa jua sistem rekaan manusia yang dilaksanakan dalam pemerintahan. Ini berkait rapat dengan sunnatullah yang setiap perkara atau penciptaan dari makhluk hanya bersifat sementara dan wujud kelompangan atau kekhilafan.

Sumber Rujukan:
1. Abdul Hadi Awang, Inilah Akidah Muslim, PTS Publication, 2007.
2. Abdul Hadi Awang, Islam dan Demokrasi, PTS Publication, 2007.
3. Haron Din, Islam: Jihad sebagai survival insane, PTS Milennia, 2007.
4. Krishnamoorthy, M. (11 Disember 2005). "Dr M: Berdirilah dan bersuara". The Star (Malaysia).
5. Parlimen Malaysia
6. Wikipedia, the free encyclopedia
7. Powerpoint, The Hang Tuah Global, Pengajian Malaysia.