Tuesday, June 15, 2010

Perbicaraan kes 'bini puaka' disambung esok




KUALA LUMPUR, 15 Jun: Perbicaraan lima pelajar Universiti Malaya (UM) berhubung kes menconteng "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" yang ditujukan kepada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, akan disambung jam 9.30 pagi esok.

Hakim Mahkamah Syesen Jenayah, Rozana Ali Yusof membuat penangguhan tersebut selepas mendengar hujah dari kedua-dua belah pihak dalam perbicaraan yang disambung hari ini.

Dalam perbicaraan hari ini, lapan orang saksi dipanggil memberi keterangan dan akan disambung dengan saksi kesembilan esok.

Kelima-lima tertuduh adalah Shazni Munir Mohd Ithnin, Muhammad Aizat Roslan, Muhammad Saufi Jelani, Mohd Izzudin Hilmi dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli.

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut pada jam 4 pagi 24 Jun lalu di dewan kuliah utama API, beberapa jam sebelum Rosmah hadir untuk melancarkan kempen mengutip derma bagi kanak-kanak Palestin.

Siasatan dilakukan di bawah Seksyen-sekyen 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan.

Bagi Seksyen 427, mereka dituduh menyimbah petrol di atas permaidani yang bakal dilalui Rosmah dan menconteng di sebuah dewan akademi pengajian itu.

Manakala bagi Seksyen 436, ketiga-tiga dituduh melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api di tempat dan waktu yang sama.

Bagi Seksyen 447 pula, mereka dituduh melakukan pencerobohan jenayah pada tarikh dan masa yang sama.

Kelima-lima tertuduh diwakili oleh empat orang peguam yang diketuai oleh Mohamad Arfizi Mohd Ramli, manakala timbalan pendakwa raya, Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar.

No comments:

Post a Comment