Tuesday, February 2, 2010

Miskin Tegar Berjaya Dibasmi Selepas Setahun Memerintah - Tahniah KM Pulau Pinang

Sumber: Harakahdaily.net

PETALING JAYA, 3 Feb: Kerajaan negeri Pulau Pinang berjaya membasmi kemiskinan tegar di negeri itu selepas satu tahun ia ditadbir oleh Pakatan Rakyat.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam wawancara eksklusif dengan Harakahdaily di ibu pejabat DAP dekat sini berkata, tindakan itu berjaya dibuat selepas semua penduduk Pulau Pinang melepasi pendapatan RM500 sebulan mulai tahun lalu.

Miskin tegar, katanya, ditakrifkan sebagai keluarga yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM400 sebulan.

"Jadi saya cakap, ini tak boleh. Kita harus hapuskannya dan kita berusaha dan menyatakan usaha kita untuk membasmi miskin tegar dalam masa setahun dengan memastikan setiap keluarga boleh mendapat pendapatan sebulan sekurang-kurangnya RM500 sebulan iaitu lebih tinggi daripada tahap miskin tegar iaitu RM400.

"Sesudah setahun, kita bersyukur kerana kita berjaya menghapuskan miskin tegar dengan mereka mendapat sekuarang-kurangnya RM500 sebulan. Kalau pendapatan RM300 kita akan tambah RM200 sampai cukup RM500.

"Saya rasa itu adalah satu kejayaan kerana 90 peratus daripada golongan miskin tegar datang dari satu kaum iaitu Melayu," kata Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP kepada Harakahdaily.

Selain itu, Lim berkata, pihaknya telah memberikan perhatian yang terbaik untuk menjaga kepentingan Islam di Pulau Pinang.

Selain menjadikan Khalifah Islam, Umar Abdul Aziz, Lim juga telah menaikkan perutukan untuk Jawatankuasa Hal Ehwal Islam dari RM12.5 juta pada tahun 2008 (dibawah BN) kepada RM20.5 juta tahun 2009 dan RM24.3 juta untuk tahun 2010.

Kerajaan negeri juga, katanya, memberikan sumbangan khas kepada para penghafal al Quran di negeri sebagai tanda pengiktirafan kerajaan negeri atas kelebihan mereka.

Beliau juga yakin orang Melayu di Pulau Pinang berdaya maju jika diberikan galakan dan kebolehan untuk bertanding pada papan yang sama rata.

"Sekarang kita gunakan sistem tender terbuka melalui komputer untuk kerja-kerja kerajaan. Kalau dahulu mereka perlukan kabel politik, sekarang ini mereka perlukan kabel komputer sahaja," kata beliau.

No comments:

Post a Comment