Sunday, July 29, 2012

Soal jawab Mengenai Puasa


Soalan 1: Apakah hukum keluar air mazi ketika berpuasa?


Jawapan: Puasanya tidak terbatal kerana perkara membatalkan puasa adalah keluar/mengeluarkan air mani secara sengaja. Namun, jika air mani terkeluar secara tidak sengaja seperti tidur dan bermimpi tidak juga batal puasa. Maka, orang yang berpuasa perlu mandi hadas besar/mandi wajib selepas itu.





Soalan 2; Apakah hukum memeluk dan mencium isteri ketika puasa?

Jawapan: Tidak batal puasa kerana air mani tidak terkeluar ketika memeluk/mencium isteri. Sebagaimana perlakuan Rasulullah yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a:

"Rasulullah s.a.w biasa mencium dan memeluk isterinya dalam keadaaan berpuasa. Tetapi baginda adalah orang paling kuat menahan nafusnya" - Riwayat Muslim dan Abu Daud -



Soalan 3: Apakah hukum mandi wajib selepas masuknya waktu Subuh ketika bulan puasa? Adakah puasa diterima?

Jawapan: Puasa diterima walaupun mandi wajib selepas masuk waktu Subuh. Antara sunnah Rasulullah s.a.w adalah melewatkan mandi wajib sebelum azan Subuh dilaungkan. Kadangkala, baginda mandi wajib tatkala azan Subuh dilaungkan.  Ini sebagaimana diriwayatkan oleh Aisyah dan Ummu Salamah r.a:

"Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah berada dalam keadaan junub/hadas besar dengan salah seorang isterinya sedangkan waktu Subuh telah masuk. Kemudian, baginda terus mandi junub/wajib dan meneruskan puasa. - Riwayat al-Bukhari dan Muslim -

Soalan 4: Adakah batal puasa jika muntah ketika sedang berpuasa?

Jawapan: Puasa akan terbatal jika muntah secara sengaja iaitu seperti menjolok jari ke dalam mulut untuk mengeluarkan sesuatu sehingga berasa loya dan muntah. Jika muntah seperti mabuk kenderaan dan sebagainya tidak mengapa kerana ia bukan berlaku secara sengaja. Sabda Nabi s.a.w:

"Sesiapa yang muntah (secara tidak sengaja)  dalam keadaan berpuasa, dia tidak perlu menqqadaknya tetapi sesiapa yang sengaja memuntahkannya, dia wajib menqqadak puasanya." - Riwayat Sahih Abu Daud -

Friday, April 6, 2012

Tafsir Surah Al-Hujurat ayat 6: Pedoman buat orang-orang yang beriman




يَأُيُّهَا الَّذِيْنَ ءَامَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيْبُوا قَومًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

"Wahai orang-orang beriman! Jika datang kepadamu orang fasik yang membawa sesuatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan(kejahilan), yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu."

Surah ini diturunkan di Madinah yang mana sebahagian ulamak memberi nama lain bagi surah al-Hujurat ialah surah al-Akhlak.

Ayat ini diturunkan apabila diriwayatkan dalam satu hadith: Setelah perang Bani Mushthaliq dinyatakan selesai, Rasulullah saw membahagi-bahagikan ghanimah(harta rampasan perang) dan tawanan kepada kaum muslimin. Tawanan itu diserahkan untuk menjadi hamba. Tawanan yang menjadi hak Rasulullah adalah Juwairiyah, anak pemimpin Bani Musthaliq. Dan Rasulullah saw tidak menjadikan Juwairiyah sebagai hamba, tetapi Rasulullah menikahinya. 

Tindakan Rasulullah ini mendorong para shahabat kemudian membebaskan para budak yang berasal dari Bani Mushthaliq. Dan di sisi lain, tindakan Rasulullah saw menikahi Juwairiyah binti al-Harits ini membuat al-Harits bin Dirar merasa mendapatkan penghormatan yang sangat tinggi. Maka ketika al-Harits ini mengunjungi Rasulullah saw, beliau mengajaknya untuk masuk Islam. Berbeza dengan sikap sebelumnya, al-Harits mudah saja untuk menerima tawaran Rasulullah saw untuk masuk Islam.
Sesudah masuk Islam Rasulullah saw memerintahkan al-Harits untuk mengajak kabilahnya masuk Islam dan membayar zakat. Al-Harits pun menyatakan kesediaan dan kesanggupannya. Kepada Rasulullah, Al-Harits menyatakan, “Saya akan pulang ke kampung saya untuk mengajak orang untuk masuk Islam dan membayar zakat dan bila sudah sampai waktunya, kirimkanlah utusan untuk mengambilnya.” 

Namun ketika kaum Bani Musthaliq sudah menerima Islam, dan zakat sudah banyak dikumpulkan sedang waktu yang disepakati oleh Rasul untuk mengambil zakat telah tiba, ternyata utusan beliau belum juga datang. Maka Al-Harits merasa bimbang kalau-kalau ada sesuatu yang tidak berkenan di hati Rasulullah saw. yang menyebabkan beliau tidak kunjung mengirimkan utusan. Al-Harits bimbang kalau persoalan ini akan memberi persepsi buruk terhadapnya dan kaumnya.

Setelah melalui musyawarah dengan tokoh-tokoh Bani Musthaliq, al-Harits merasa harus berjumpa Rasulullah saw, bukannya menanti kedatangan utusan beliau yang akan mengambil zakat. Dan keberangkatan ke Madinah dipimpin sendiri oleh al-harits dan diikuti oleh serombongan tokoh bani Musthaliq, untuk menyerahkan zakat itu kepada Nabi.

Sementara itu, dalam waktu yang hampir bersamaan Rasulullah saw. mengutus Al-Walid bin Uqbah untuk mengambil zakat yang telah dikumpulkan al-Harits. Di tengah Jalan al-Walid melihat al-Harits beserta sejumlah orang berjalan menuju Madinah. Atas dasar permusuhan semasa jahiliyah antara dirinya dengan al-Harits, timbul rasa gentar di hati Al-Walid, jangan-jangan al-Harits akan menyerang dirinya. Karena itulah kemudian ia berbalik kembali ke Madinah dan menyampaikan laporan yang tidak benar.

Al-Walid melaporkan kepada Rasulullah saw bahwa Al-Harits tidak mahu menyerahkan zakat, bahkan ia akan dibunuhnya. Rasulullah saw tidak langsung begitu saja percaya, beliau pun mengutus lagi beberapa sahabat yang lain untuk menemui Al-Harits. Ketika utusan itu bertemu dengan Al-Harits, ia berkata,
“Kami diutus Rasulullah saw untuk bertemu denganmu.”
Al-Harits bertanya, “Ada apa?”
Utusan Rasulullah itupun menjawab, “Sesungguhnya Rasulullah saw telah mengutus Al-Walid bin Uqbah, untuk mengambil zakat, lalu ia mengatakan bahwa engkau tidak mahu menyerahkan zakat bahkan mahu membunuhnya.”
Al-Harits menjawab, “Demi Allah yang telah mengutus Muhammad dengan sebenar-benarnya, aku tidak melihatnya dan tidak ada yang datang kepadaku.”
Maka ketika mereka sampai kepada Nabi saw., beliau pun bertanya, “Apakah benar engkau menolak untuk membayarkan zakat dan hendak membunuh utusanku?”
“Demi Allah yang telah mengutusmu dengan sebenar-benarnya, aku tidak berbuat demikian.”
Maka turunlah ayat tersebut untuk membenarkan pengakuan al-Harits.
Kefahaman Ayat.

Secara mudah untuk kita faham bahawa ayat ini memerintahkan orang-orang beriman untuk menyelidik, memeriksa dan tidak terburu-buru melontarkan tuduhan jika mereka di bawa khabar atau cerita oleh seseorang yang fasik. Tindakan menyiasat terlebih dahulu sesuatu berita perlu agar kita tidak menjadi orang bodoh atau jahil sebagaimana ditimbulkan di akhir ayat ini supaya menjauhi kejahilan ini kerana kelak pada suatu masa kita akan menyesal dengan perbuatan kita dengan sepenuh sesalan.

Namun, timbul pula persoalan tentang siapa yang dikatakan atau yang mempunyai ciri-ciri fasiq? Fasiq menurut para ulama’ ialah mereka yang melakukan dosa-dosa besar dan sudah tentu orang kafir tergolongan dari kalanagn fasiq kerana secara nyata mereka menyekutukan Allah s.w.t
Begitu juga dengan persoalan penyesalan dalam ayat ini. Apakah begitu besar atau dahsyat penyesalan bagi yang akan dialami akibat daripada menyebarkan berita kurang pasti atau dengan lebih mudah kita faham berita palsu? Ya, dalam hadith yang dinyatakan di atas telah disebut bahawa persepsi negatif dalam diri akan memakan diri dan menampakkan keburukan orang sesama muslim di mata muslim yang lain.

Nah, ini suatu kezaliman atas sahabat atau muslim yang lain!

Pengajaran daripada ayat ini boleh disimpulkan kepada beberapa perkara:

1. Jangan mudah mempercayai berita-berita atau bahasa moden sekarang adalah gosip yang mudah sampai kepada kita terutamanya melibatkan aib seseorang.

2. Berita yang seakan yakin akan kebenarannya perlu diteliti dan mendapat kepastian dari sumber yang sah bukannya disebarkan berita tersebut dengan tujuan mencari simpati, publisiti atau sengaja/tidak sengaja mencari kesalahan orang lain dengan niat yang pelbagai seperti hasad dengki, amarah, tidak puas hati dan seumpamanya.

3. Jika wujud keraguan dalam berita/khabar angin/rumours tentang sesuatu perkara hendaklah dijauhi dan dibuang jauh-jauh kerana ianya akan menjerumus kepada perpecahan dan penyesalan. Contoh mudah adalah apabila kita mensyaki seseorang berzina tetapi tidak ada cukup 4 orang saksi dan orang kita syaki melakukannya pun tidak pernah mengakuinya, mengapa harus kita buruk sangka dan menyebarkan berita yang tidak tentu betul? Sudah tentu akan menimbulkan persengketaan antara muslim dan mewujudkan biah atau suasana yang tidak kondusif dalam masyarakat Islam. Ingat kebenaran tertegak, jika ia betul-betul terjadi.!

4. Segeralah menyesal dan memohon ampun kepada Allah jika tersilap dalam berbicara atau menyebarkan berita yang salah atau fitnah. Juga jangan lupa memohon maaf kepada tuan punya badan kerana perbuatan memfitnah lebih keji daripada membunuh! Pepatah orang tua mengatakan: Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Kesimpulannya, Rasulullah menyeru kita supaya kurangkan bercakapa hal orang lain terutamanya melibatkan aib sesama muslim. Gosip atau berita yang datang boleh menjadi fitnah jika tidak mempunyai bukti atau asas yang kukuh. Yang lebih baik, kita menjauhi perbuatan bercakap hal orang. Orang Islam perlu kehadapan dengan melakukan perkara yang berfaedah dan memajukan Islam itu sendiri daripada menyebarkan gosip tidak tentu fasal yang akhirnya merugikan diri dan mencemarkan Islam sebagai cara hidup kita.

Sabda Rasulullah saw;
أَلَا أُنَبِّئُكُمْ بِأَكْبَرِ الْكَبَائِرِ قَالَ قَوْلُ الزُّورِ أَوْ قَالَ شَهَادَةُ الزُّورِ
“Mahukah kalian aku beritahukan tentang dosa besar yang paling besar, lalu beliau menjelaskan, kata-kata dusta atau kesaksian dusta” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Anda Buat Anda Dapat! Selamat Beramal! J

Thursday, March 15, 2012

PAS WPKL: Pakat-pakat hadir


Lajnah Penyelidikan Dewan Ulama PAS Pusat; Menilai Kembali Pengurusan Zakat di Malaysia


Entri ini dipetik daripada: http://ulamak.pas.org.my
Bangi, 16hb Mac 2012. Dengan memetik ucapan Tuan Guru Presiden PAS, yang disiarkan dalam Harakah, antara lain menyatakan: “Ibadat zakat sebagai contoh, sepatutnya orang yang mengendalikan wang zakat mengendalikan urusan bagaimana zakat itu sampai kepada sasaran, bagaimana zakat menyelesaikan kemiskinan. Bukan wang zakat dilaburkan untuk dapat untung sebanyak-banyaknya dan tak turun kepada sasaran. Bila zakat dijadikan modal untuk persaingan dalam perniagaan bukan menunaikan tanggungjawab, maka berlakulah pelbagai penyelewengan."

Bertolak daripada kenyataan di atas, Lajnah Penyelidikan Dewan Ulama PAS Pusat ingin mengemukakan beberapa noktah serta isu yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak terutamanya pihak berkuasa dalam melaksanakan amanah zakat yang dihukumkan sebagai salah satu rukun Islam yang lima.

Pertama: Pengurusan Zakat
Pengurusan zakat merangkumi dua aspek penting iaitu kutipan dan agihan. Permasalahan yang timbul ialah sejauh mana sumber perolehan zakat bertepatan dengan ketetapan asal syarak dan adakah mekanisma pengagihannya kepada asnaf selaras dengan nas syarak dan keperluan semasa ummah. Ketidakseimbangan di antara hasil kutipan zakat dan pengagihannya sering berlaku dalam perlaksanaan kedua apsek tersebut.

Kedua: Pelaburan Harta Zakat
Walaupun dalam masalah ini menjadi khilaf dan perbezaan pendapat di kalangan ulama, tetapi isu amanah dan keboleh kepercayaan amat penting menjadi asas. Untuk mengukuhkan lagi jawapan ini, dinukilkan dari Buku Fatwa Zakat Kontemporari, antara lain menyebut: Keputusan Majma’ Fiqh Islami Tahun 1986 ialah harus pada prinsipnya melantik untuk menambahkan lagi aset zakat dengan mempermilikkan kepada golongan yang berhak menerima zakat atau sebagai pelaburan di bawah agensi agama yang dipertanggungjawabkan untuk mengutip dan mengagihkan zakat. Walaupun begitu, hendaklah mempunyai keperluan yang mendesak serta adanya jaminan supaya selamat daripada sebarang kerugian.

Ketiga: Peraturan Pengurusan Zakat

Dr. Yusuf al-Qaradhawi membuat komentar tentang situasi pungutan dan agihan zakat di negara-negara umat islam. Antara lain katanya:
  1. Mengumpulkan penghasilan zakat yang sedikit tidak cukup untuk menangani kefakiran yang tersebar luas dan masalah-masalah sosial yang lahir akibat kefakiran tersebut.
  1. Kelemahan penghasilan ini berlaku kerana beberapa sebab.  Yang utamanya ialah lemahnya semangat beragama dan kesedaran orang ramai terhadap Islam hasil serangan pemikiran asing yang kufur. Keduanya, kerana rakyat mengelak diri daripada membayar zakat kepada negara disebabkan banyaknya bebanan cukai yang lain . Ketiganya, kerana hilangnya kepercayaan rakyat terhadap negara-negara yang memungut zakat disebabkan ia tidak menjalankan hukum yang diturunkan oleh Allah. Keempatnya, kerana mereka juga mempercayai bahawa kerajaan mereka tidak akan menyalurkan zakat tersebut pada bentuk yang dianjurkan sepertimana berlaku kepada kebanyakan cukai-cukai yang disalah gunakan penyalurannya.
  1. majoriti penduduk di negara itu tidak memiliki kekayaan dan tidak mempunyai penghasilan yang bernilai yang boleh menjadi sumber zakat. Inilah kesan daripada cara hidup yang dilalui oleh orang islam pada zaman ini, iaitu cara hidup orang-orang kafir yang dijejaki oleh orang islam sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta sehingga sekiranya mereka masuk ke dalam lubang biawak, nescaya akan diikutinya juga. Cara hidup tersebut ialah berlebih-lebihan dengan kemewahan, penampilan, perhiasan dan permainan haram yang bahan-bahannya diimport  dari negara-negara asing, yang melemahkan sumber-sumber dan kekuatan kita, yang tidak mendatangkan manfaat kepada agama dan keduniaan kita.
  1. Penghasilan zakat yang sedikit ini akan dibelanjakan sebahagiannya untuk kegunaan pejabat, peralatan dan para pegawai yang dikhaskan bagi menguruskan kerja mengumpul dan mengagihkan zakat. Ini kerana kerja pentadbiran dan tugas ini adalah sukar. Juga kerana para petugas lebih menitik beratkan kehebatan dan penampilan pengurusan yang menelan harta zakat itu sebelum sampai kepada orang-orang fakir.
  1. Ketika agihan zakat mula tidak terurus di mana kebanyakan orang-orang yang berhak terhalang mendapat zakat, manakala kebanyakan orang yang tidak berhak menerima zakat kerana lemahnya pendidikan, pudarnya iman dan hati yang berpenyakit -sama ada orang-orang yang menjalankan urusan zakat itu atau rakyat- akhirnya natijah zakat dengan sendirinya tidak mampu menutup keperluan orang-orang fakir.
  1. Seterusnya  timbullah kebencian masyarakat umum untuk mengeluarkan zakat dan merasakan ianya tidak berfaedah.
  1. Keadaan ini boleh menimbulkan keraguan masyarakat terhadap peraturan Islam seluruhnya.
  1. Dengan contoh ini, jelaslah kepada kita bahawa kemasukan peraturan asing masa kini dalam sebahagian pengajaran dan hokum-hakam Islam  tidak menyelesaikan masalah dan tidak merawat penyakit masyarakat dengan sempurna. Sesungguhnya peraturan Islam mewajibkan umatnya memelihara kekayaan dengan membelanjakannya untuk perkara yang bermanfaat.
Semoga respon yang ringkas ini sedikit sebanyak memberi kefahaman kepada kita untuk menjadi manusia yang benar-benar menjunjung perintah tuhan.

Lajnah Penyelidikan Dewan Ulama PAS Pusat
Ust. Dr. Azhari Ariffin dan Panel Penyelidik

Monday, February 27, 2012

SARA 1Malaysia: Menggalak Umat Islam Terlibat Dengan Amalan Riba



Kerajaan UMNO-BN telah menawarkan Skim Amanah Rakyat (SARA) 1 Malaysian dibawah gagasan 1 Malaysia mereka. Namun, skim ini langsung sama sekali tidak menjaga sensitviti umat Islam yang sedar akan bahayanya riba. Skim ini menawarkan pulangan pelaburan kepada rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah iaitu RM3,000 ke bawah dan jelas berasaskan konsep riba kerana memberi pulangan dividen yang tetap kepada para pelabur.

SARA 1Malaysia diperkenalkan kepada rakyat Malaysia dengan kerjasama Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan kerjasama institusi kewangan tempatan yang menawarkan pulangan sebanyak RM134 sebulan sehingga 5 tahun pelaburan.

Tawaran ini secara logik tidak masuk akal kerana memberi pulangan dividen hampir 2.6% sebulan atau 32% setahun kepada pelabur. Walhal, dividen yang diberi kepada pelabur dalam ASB sekitar 6%-8% sahaja setiap tahun.

Melalui skim ini, para peserta akan meminjam daripada bank sebanyak RM5,000 untuk dilaburkan dalam AS1M. Mereka akan membayar pinjaman kepada bank sebanyak RM84 setiap bulan selama 5 tahun dan diwujudkan kuota antara Bumiputra dan bukan Bumiputra.

Amalan riba dapat dilihat apabila PNB akan memberi dividen tetap sebanyak RM50 sebulan kepada pelanggan sehingga 5 tahun. Maka selepas 5 tahun simpanan, para pelabur akan menerima RM8,000. RM5,000 daripada wang asal pelaburan yang dipinjam daripada Maybank dan RM3,000 sebagai dividen tetap kepada pelanggan daripada PNB.

Nyata secara amalan riba dalam pelaburan ini yang nyata menggandakan lagi nasib malang pelabur Melayu yang beragama Islam. Mereka bukan sahaja terlibat dalam riba semasa membuat pinjaman bahkan riba dalam pelaburan yang mereka harapkan keuntungan.




Disini jelas kepada kepada kita amalan riba sememangnya haram disisi Islam sebagaimana firman Allah s.w.t:
وأحلَّ الله البَيْع وَحَرَّم الرِبَا[1]
“Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.”

Usaha ini salah dan tidak bertepatan dengan syariat Islam yang keras melarang umatnya terlibat dengan amalan riba. Tawaran terlalu bagus kerajaan UMNO-BN yang kononnya mahu mentransformasi taraf hidup rakyat nyata mengundang punca rezeki tidak halal kepada pelabur yang akan menjadi darah daging umat Islam.

Tindakan kerajaan UMNO-BN seolah-olah sedia menghalalkan apa jua cara bagi mencapai matlamat mereka yang ingin dilihat seolah-olah prihatin terhadap nasib rakyat. Malangnya, sebaliknya berlaku apabila mereka sangat jahil dalam agama mereka sendiri.

Oleh itu, gesaan kepada pihak Majlis Fatwa Kebangsaan untuk tampil memberi penjelasan dan menyatakan pendirian sebagai entiti berkuasa mengeluarkan fatwa secara rasmi kepada umat Islam di Malaysia.


[1] Al-Baqarah : 275

Tuesday, January 10, 2012

Deejay Ceria Pagi @ Suria Perlu Tingkatkan Sensitiviti



                Seluruh pendengar dan peminat Suria.fm maklum akan perubahan deejay khususnya untuk segmen pagi; Ceria Pagi @ Suria yang menampilkan Johan Raja Lawak Musim Ke-2, Nabil dan pelakon komedi yang sinonim dengan sitcom Puteri, Kencana Devi.
                Pemilihan mereka berdua bergandingan dengan Deejay Halim Osman yang sememangnya Otai dalam industry pengacaraan radio amat bertepatan dengan selera pendengar yang mahu mendengar celoteh tidak kering gusi daripada mereka ketika saat bergegas ke tempat kerja, di pejabat-pejabat, restoran-restoran mahupun para suri rumah.
                Kombinasi lagu-lagu dan celoteh mereka yang bersahaja serta sempoi mendapat sambutan yang amat baik daripada pendengar walaupun baru sahaja bersiaran 2 hari.
                Namun, sedikit dikesali terdapat perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya keluar dari mulut salah seorang mulut Kencana Devi berkenaan bersumpah dengan nama Allah. Walau bagaimanapun, atas kebijaksanaan Halim Osman perkara tersebut dapat ditangani dengan baik.
                Apapun, diharapkan barisan deejay radio tidak kira dari stesen apa pun dapat meningkatkan sensitivity mereka dalam apa jua isu sensitive walaupun tidak berniat demikian.
Lawak jenaka pun ada hadnya supaya tidak menjengkelkan para pendengar dan mencetus amarah yang tidak sepatutnya. Semoga mereka dapat membawa para pendengar ke arah kebaikan dan menonjolkan ikon & akhlak yang baik dikalangan peminat.