Monday, February 27, 2012

SARA 1Malaysia: Menggalak Umat Islam Terlibat Dengan Amalan Riba



Kerajaan UMNO-BN telah menawarkan Skim Amanah Rakyat (SARA) 1 Malaysian dibawah gagasan 1 Malaysia mereka. Namun, skim ini langsung sama sekali tidak menjaga sensitviti umat Islam yang sedar akan bahayanya riba. Skim ini menawarkan pulangan pelaburan kepada rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah iaitu RM3,000 ke bawah dan jelas berasaskan konsep riba kerana memberi pulangan dividen yang tetap kepada para pelabur.

SARA 1Malaysia diperkenalkan kepada rakyat Malaysia dengan kerjasama Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan kerjasama institusi kewangan tempatan yang menawarkan pulangan sebanyak RM134 sebulan sehingga 5 tahun pelaburan.

Tawaran ini secara logik tidak masuk akal kerana memberi pulangan dividen hampir 2.6% sebulan atau 32% setahun kepada pelabur. Walhal, dividen yang diberi kepada pelabur dalam ASB sekitar 6%-8% sahaja setiap tahun.

Melalui skim ini, para peserta akan meminjam daripada bank sebanyak RM5,000 untuk dilaburkan dalam AS1M. Mereka akan membayar pinjaman kepada bank sebanyak RM84 setiap bulan selama 5 tahun dan diwujudkan kuota antara Bumiputra dan bukan Bumiputra.

Amalan riba dapat dilihat apabila PNB akan memberi dividen tetap sebanyak RM50 sebulan kepada pelanggan sehingga 5 tahun. Maka selepas 5 tahun simpanan, para pelabur akan menerima RM8,000. RM5,000 daripada wang asal pelaburan yang dipinjam daripada Maybank dan RM3,000 sebagai dividen tetap kepada pelanggan daripada PNB.

Nyata secara amalan riba dalam pelaburan ini yang nyata menggandakan lagi nasib malang pelabur Melayu yang beragama Islam. Mereka bukan sahaja terlibat dalam riba semasa membuat pinjaman bahkan riba dalam pelaburan yang mereka harapkan keuntungan.




Disini jelas kepada kepada kita amalan riba sememangnya haram disisi Islam sebagaimana firman Allah s.w.t:
وأحلَّ الله البَيْع وَحَرَّم الرِبَا[1]
“Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.”

Usaha ini salah dan tidak bertepatan dengan syariat Islam yang keras melarang umatnya terlibat dengan amalan riba. Tawaran terlalu bagus kerajaan UMNO-BN yang kononnya mahu mentransformasi taraf hidup rakyat nyata mengundang punca rezeki tidak halal kepada pelabur yang akan menjadi darah daging umat Islam.

Tindakan kerajaan UMNO-BN seolah-olah sedia menghalalkan apa jua cara bagi mencapai matlamat mereka yang ingin dilihat seolah-olah prihatin terhadap nasib rakyat. Malangnya, sebaliknya berlaku apabila mereka sangat jahil dalam agama mereka sendiri.

Oleh itu, gesaan kepada pihak Majlis Fatwa Kebangsaan untuk tampil memberi penjelasan dan menyatakan pendirian sebagai entiti berkuasa mengeluarkan fatwa secara rasmi kepada umat Islam di Malaysia.


[1] Al-Baqarah : 275

No comments:

Post a Comment