Teks dalam bentuk pdf, klik ini: https://drive.google.com/file/d/0B9Jv2M1UEoDyZXFuOHNKbktzU0k/view?usp=sharing
BELANJAWAN 2017 NEGERI SELANGOR
MEMBANGUN BANGSA, MEMAKMUR NEGERI
A. PENDAHULUAN
Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
1. Kita menutup tirai 2016 dengan pelbagai
kegembiraan untuk rakyat dan negeri. Pada 31 Ogos 2016, tatkala negara
menyambut Hari Kemerdekaan, rakyat Selangor bergembira mendapat berita bahawa
DYMM Sultan Selangor selamat diijabkabulkan dengan Tengku Permaisuri Selangor,
Tengku Permaisuri Norashikin. Marilah kita mendoakan semoga Duli-Duli Yang Maha
Mulia Tuanku akan kekal bahagia dan terus bersemayam di atas takhta Negeri
Selangor.
2. Dua minggu yang lalu, rakyat Negeri Selangor
sekali lagi meraikan Istiadat Menjunjung Duli sempena Pemasyhuran Gelaran Duli
Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj
sebagai Raja Muda Selangor ke 7 yang mewarisi Takhta Kesultanan Selangor.
Majlis yang penuh dengan istiadat dan warisan ini menjadi tumpuan generasi muda
tentang kelangsungan institusi kesultanan Melayu Negeri Selangor.
3. Kerajaan Negeri berikrar mempertahankan
institusi Raja Berperlembagaan. Selagi ada bulan dan matahari, begitulah
kesetiaan rakyat kepada Raja dan Negara kekal abadi.
4. Institusi Raja Melayu bagaikan sauh, agar
bahtera bangsa tidak dihanyutkan oleh taufan dan badai. Raja dan rakyat
berpisah tiada. Institusi Raja Berperlembagaan adalah payung kestabilan dan
kemakmuran Negeri Selangor untuk kekal sebagai sebuah negeri maju yang peduli
rakyat.
5. Di bawah naungan ini, kita bertemu sekali lagi
untuk membuat persiapan menghadapi tahun hadapan. Pertemuan pagi ini turut
dihadiri oleh Imam-Imam dari semua daerah, Penghulu dan Ketua-Ketua Kampung,
Ahli-Ahli Majlis, wakil-wakil NGO yang mewakili budayawan dan penggiat seni,
Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) dan aktivis masyarakat.
Muafakat membawa berkat.
6. Kita akan membentangkan belanjawan dalam serba
keyakinan. Kita telah mencipta kejayaan demi kejayaan. Pada 30 Oktober 2015
yang lalu, saya membentangkan belanjawan defisit sebanyak RM 630 juta untuk
menjana pembangunan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri. Kita
bersyukur sehingga 14 Oktober 2016 kedudukan kewangan negeri berada pada tahap
lebihan sebanyak RM 351.38 juta.
7. Kutipan hasil negeri sudah mencecah 96.9
peratus, sementara belanja pembangunan sudah mencapai tahap 60.0 peratus
manakala belanja mengurus pula pada tahap 77.1 peratus. Sehingga 14 Oktober
2016, rizab negeri berada pada tahap RM 3.62 bilion.
8. Kejayaan hari ini bukan helah untuk mengambil
sikap selesa. Berkat kewangan yang kukuh, kita merangka Belanjawan 2017 untuk
membangun bangsa dan memakmur negeri. Dasar mesra pasaran telah meningkatkan
pelaburan domestik dan luar negara.
9. Pelabur mahukan kepimpinan yang mempunyai visi
yang jelas, dasar yang tuntas dan berpegang kepada prinsip integriti dan
kebertanggungjawaban dalam urus tadbir negeri.
10. Sementara Kerajaan Negeri bersikap mesra
pasaran, kita tidak percaya tangan ghaib pasaran boleh membawa kemakmuran yang
merata. Bahkan pasaran bebas yang tidak terkawal akan menyebabkan kesenjangan
pendapatan dan peminggiran golongan berpendapatan rendah. Fenomena ini akan
menyemai benih konflik sosial. Maka, kerajaan mempunyai peranan strategik untuk
mencapai keadilan sosial sebagai asas pembangunan bangsa dan kemakmuran negeri.
11. Pelaksanaan GST telah menguncupkan pendapatan
isi rumah dan menyumbang kepada ketidakupayaan melebarkan domestic consumption.
12. Sebagai sebuah Kerajaan yang peduli rakyat,
Belanjawan 2017 akan memperkenalkan beberapa inisiatif untuk meringankan
bebanan kos sara hidup rakyat khususnya di kalangan kumpulan isi rumah
berpendapatan 40 peratus terendah (B40).
B. SENARIO EKONOMI
13. Malaysia mengakhiri tahun 2015 dengan
merekodkan pertumbuhan sebanyak 4.6 peratus didorong oleh prestasi positif
dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan. Keadaan ekonomi negara pada
suku tahun pertama pula telah merekodkan pertumbuhan sebanyak 4.2 peratus namun
mengalami penurunan kepada 4.0 peratus pada suku tahun kedua kesan dari
kemerosotan permintaan dalam pengeluaran eksport bersih dan pengeluaran stok
yang besar.
14. Pertumbuhan ekonomi negara bagi keseluruhan
tahun 2016 pula dijangka mengalami penurunan dengan kadar pertumbuhan yang
diunjurkan pada 4.0 – 4.5 peratus, bukan sahaja ekoran ekonomi dunia yang
berkembang pada paras lebih sederhana kesan daripada ketidaktentuan pasaran
kewangan di peringkat global tetapi kegagalan Putrajaya menangani masalah
struktural seperti hutang awam, keyakinan pelabur dan daya saing ekonomi
negara.
15. Walaupun Putrajaya gagal menangani isu
fundamental, prestasi ekonomi Negeri Selangor bagi 2017 dijangka kekal pada
landasan pertumbuhan antara 5.0 – 5.5 peratus iaitu pada kadar yang sama
sebagaimana tahun 2016.
16. Keyakinan ini didorong oleh jangkaan
pertumbuhan sederhana di peringkat global, asas ekonomi negeri yang kukuh
melalui permintaan domestik yang berdaya tahan dan berterusan, sumber
pertumbuhan yang pelbagai dan kadar pengangguran yang rendah, dipacu oleh
perbelanjaan sektor swasta. Sektor perkhidmatan dan pembuatan dijangka akan
terus kekal sebagai penyumbang utama pertumbuhan ekonomi di Negeri Selangor.
17. Kerajaan Negeri senantiasa berusaha untuk
mengekalkan pelaburan sedia ada dan tuntas meningkatkan jumlah pelaburan asing
dan domestik di Negeri Selangor. Berdasarkan statistik terbaharu daripada
Malaysia Investment Development Authority (MIDA), Negeri Selangor sehingga Jun
2016 mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM 3.04 bilion daripada 130 projek
yang telah diluluskan.
18. Antara daya tarikan untuk mengekalkan Selangor
sebagai destinasi pelaburan adalah tadbir urus yang baik, kecekapan pentadbiran
dan dasar ekonomi proaktif yang mesra pasaran.
19. Jabatan Perangkaan Negara dalam laporan
bertarikh 30 September 2016 mengesahkan bahawa Negeri Selangor bukan sahaja
kekal sebagai penyumbang utama kepada KDNK negara, namun bagi tahun 2015,
sumbangan Negeri Selangor telah meningkat kepada 22.6 peratus. Inilah Selangor,
kekal sebagai gedung kuasa ekonomi negara.
C. PRESTASI KEWANGAN NEGERI SELANGOR
Kedudukan
Kewangan
20. Jumlah wang awam Kerajaan Negeri Selangor yang
terdiri dari wang tunai dan pelaburan yang dipegang bagi ketiga-tiga Kumpulan
Wang Disatukan iaitu Akaun Hasil Disatukan, Akaun Amanah Disatukan dan Akaun
Pinjaman Disatukan pada 31 Disember 2015 adalah berjumlah Ringgit Malaysia Tiga
Bilion Dua Ratus Lima Puluh Lapan Juta Enam Ratus Sepuluh Ribu Dan Empat (RM
3,258,610,004) berbanding Ringgit Malaysia Tiga Bilion Dua Ratus Juta Sembilan
Ratus Sebelas Ribu Sembilan Ratus Sebelas (RM 3,200,911,911) pada 31 Disember
2014.
21. Kumpulan Wang Disatukan atau rizab negeri pada
tahun 2015 telah mencatatkan peningkatan sebanyak 1.8 peratus atau RM 57.7 juta
berbanding tahun 2014. Prestasi kewangan semasa Kerajaan Negeri pada 14 Oktober
2016 kekal kukuh dengan lebihan semasa berjumlah RM 351.38 juta.
22. Alhamdulillah, kita bersyukur, rizab negeri
sehingga 14 Oktober 2016 telah melonjak kepada RM 3.62 bilion berbanding RM
3.26 bilion pada 31 Disember 2015.
D. BELANJAWAN 2017
Anggaran Hasil
23. Kutipan sebenar hasil negeri bagi tahun 2015
adalah Ringgit Malaysia Dua Bilion Lima Ratus Dua Puluh Tujuh Juta Enam Ratus
Sembilan Puluh Ribu Lapan Ratus Tiga Puluh Sembilan (RM2,527,690,839). Hasil
Cukai mencatatkan kutipan sebanyak RM 607.16 juta, Hasil Bukan Cukai sebanyak
RM 1.70 bilion dan Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM 218.43 juta.
24. Sehingga 28 Oktober 2016, Kerajaan Negeri
mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM 2.27 bilion atau pencapaian sebanyak
101.2 peratus berbanding dengan anggaran hasil bagi tahun 2016 sebanyak RM 2.25
bilion.
25. Hasil Cukai mencatatkan kutipan sebanyak RM
556.64 juta (92.8 peratus), Hasil Bukan Cukai sebanyak RM 1.54 bilion (109.3
peratus) dan Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM 182.18 juta (74.6 peratus). Ini
membuktikan pentadbiran Kerajaan Negeri berjaya menutup segenap lubang
ketirisan dan memperteguh integriti.
26. Kutipan hasil bagi tahun 2017 dianggarkan
meningkat sebanyak 13.3 peratus kepada RM 2.55 bilion berbanding RM 2.25 bilion
bagi tahun 2016. Penyumbang utama kepada Hasil Kerajaan Negeri adalah daripada
premium tanah (54.2 peratus), hasil cukai tanah (19.5 peratus) dan urusniaga
berkaitan tanah (8.0 peratus). Kutipan hasil tersebut menyumbang sebanyak 81.7
peratus daripada keseluruhan anggaran hasil negeri bagi Tahun 2017.
27. Selain itu, hasil negeri turut disumbangkan
oleh keuntungan daripada pelaburan simpanan tetap (3.2 peratus), cukai hiburan
(2.2 peratus) dan cukai hasil hutan iaitu daripada pengeluaran kuari (1.9
peratus).
28. Usaha Kerajaan Negeri untuk mempelbagaikan
sumber pendapatan negeri bagi membiayai pembangunan akan terlaksana apabila
pelaksanaan kutipan cukai petak untuk hakmilik strata mula dilaksanakan pada
tahun 2018.
29. Pada tahun 2017 iaitu tempoh peralihan
pelaksanaan cukai petak ini, Kerajaan Negeri akan menyelesaikan masalah kutipan
cukai tanah tertunggak yang melibatkan pembangunan berstrata yang dijangka
berjumlah RM 8 juta yang mana tuan punya petak boleh membayar cukai bahagian
mereka sahaja. Ini akan menyumbang kepada peningkatan urusniaga dan bukan
urusniaga strata yang dijangka meningkat kepada 30 peratus daripada jumlah
kutipan semasa.
30. Pengenalan cukai petak bagi pembangunan
hakmilik berstrata akan memberi kemudahan kepada pemilik untuk melaksanakan
sebarang urusniaga ke atas hartanah mereka tanpa perlu terikat dengan
syarat-syarat yang tertakluk pada ‘master title’ selari dengan Akta Hakmilik
Strata (Pindaan) 2016.
31. Usaha mempelbagaikan sumber hasil negeri adalah
sebahagian daripada peranan DEIG bagi memperkukuhkan agenda keadilan sosial
khususnya program berpaksikan rakyat seperti perumahan, kesihatan dan
pendidikan. Untuk menjayakannya, adalah penting syarikat-syarikat anak kerajaan
negeri (GLC) melakukan kajian strategik terhadap semua kegiatan korporat dan
memaksimumkan pulangan pelaburan dan meningkatkan paras keuntungan. Kegagalan
melaksanakan ini bukanlah satu pilihan.
Anggaran Perbelanjaan
32. Berdasarkan kedudukan kewangan negeri yang
kukuh dan terus berdaya tahan, maka Kerajaan Negeri mencadangkan agar anggaran
perbelanjaan Tahun 2017 berjumlah Ringgit Malaysia Tiga Bilion Empat Ratus Lima
Puluh Juta (RM 3,450,000,000) bagi melaksanakan semua perancangan dan agenda
Kerajaan Negeri.
33. Daripada jumlah tersebut, Ringgit Malaysia Satu
Bilion Enam Ratus Lima Puluh Juta (RM 1,650,000,000) atau 47.8 peratus adalah
bagi peruntukan perbelanjaan mengurus dan Ringgit Malaysia Satu Bilion Lapan
Ratus Juta (RM 1,800,000,000) atau 52.2 peratus bagi perbelanjaan pembangunan.
Belanjawan 2017 dijangka akan mengalami defisit berjumlah Ringgit Malaysia
Sembilan Ratus Juta (RM 900,000,000) berpunca dari peningkatan substantif dalam
perbelanjaan pembangunan untuk memenuhi keperluan pembangunan mampan yang
berkualiti untuk rakyat.
34. Pembentangan belanjawan defisit ini
mencerminkan sikap jujur dan disiplin fiskal Kerajaan Negeri dalam membuat
perancangan. Pengalaman dua belanjawan yang lalu membuktikan usaha dan dedikasi
penjawat awam dalam mengamalkan perbelanjaan berhemah, memperkukuh budaya kerja
cekap dalam memungut hasil dan membasmi pembaziran serta ketirisan telah berjaya
mengubah belanjawan defisit kepada sebuah belanjawan yang berimbang.
Setiap yang hilang kita cari,
Setiap yang cicir kita pungut.
35. Sebagai catatan, Belanjawan 2015 dibentangkan
dengan defisit RM 452.5 juta. Namun, prestasi sebenar Kerajaan Negeri pada 31
Disember 2015 berakhir dengan lebihan sebanyak RM 232.79 juta. Sementara
Belanjawan 2016 dirancang defisit sebanyak RM 630 juta, namun sehingga 14
Oktober 2016, prestasi kewangan sebenar berakhir dengan lebihan sebanyak RM
351.38 juta.
Peruntukan Mengurus
36. Di bawah peruntukan mengurus, RM 427.90 juta
adalah bagi emolumen dan RM 543.16 juta disediakan bagi perkhidmatan dan
bekalan. Manakala, RM 18.34 juta diperuntukkan kepada pembelian aset. Sejumlah
RM 608.11 juta disediakan untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap dan RM 52.49
juta untuk perbelanjaan lain.
37. Pertambahan pada anggaran peruntukan mengurus
Kerajaan Negeri bagi tahun 2017 adalah untuk membiayai:
a. Kenaikan gaji tahunan kakitangan awam berikutan
langkah rasionalisasi skim perkhidmatan awam yang melibatkan peruntukan
sebanyak RM 20.3 juta;
b. Penggantian skim pinjaman buku
teks berwarna bagi pelajar Tahun 1 hingga 3 di Sekolah Agama Negeri Selangor
yang melibatkan peruntukan sebanyak RM 7 juta.
c. RM10 juta bagi operasi
penyelenggaraan benteng pantai, sungai dan kolam takungan.
d. Kenaikan jumlah bantuan program Pemberian Air Percuma 20 Meter Padu Yang Pertama sebanyak RM 13.2 juta.
d. Kenaikan jumlah bantuan program Pemberian Air Percuma 20 Meter Padu Yang Pertama sebanyak RM 13.2 juta.
e. Kenaikan siling Kumpulan Wang
Pinjaman sebanyak RM 150 juta bagi menampung Program Hijrah, Projek Penggantian
Paip Air Lama, Program Pengurusan Sisa Pepejal dan Projek Pemuliharaan dan
Pembangunan Sungai-Sungai di Selangor.
38. Perbelanjaan ini akan memberi manfaat langsung
untuk kesejahteraan rakyat dan mewujudkan kesan gandaan kepada aktiviti
ekonomi.
Peruntukan Pembangunan
39. Prinsip utama mendasari falsafah perbelanjaan
pembangunan adalah semua usaha dan inisiatif mestilah dibuat secara holistik
dan sistematik termasuk menyediakan infrastruktur yang lengkap di bandar dan di
desa. Kerajaan Negeri senantiasa mendengar keluhan rakyat.
40. Belanjawan 2017 mencadangkan peruntukan
pembangunan berjumlah Ringgit Malaysia Satu Bilion Lapan Ratus Juta (RM
1,800,000,000) atau 52.2 peratus daripada jumlah keseluruhan Belanjawan 2017.
41. Negeri Selangor sekali lagi menjadi peneraju
dalam menyediakan peruntukan pembangunan melebihi peruntukan mengurus. Bajet
Persekutuan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri memperlihatkan ketidak
bertanggungjawaban kerana memperuntukkan hanya 18 peratus sahaja untuk
pembangunan.
42. Bagi memacu pembangunan, peruntukan pembangunan
ditingkatkan sebanyak RM 360 juta iaitu peningkatan sebanyak 25 peratus
berbanding tahun 2016. Ini adalah peruntukan pembangunan terbesar yang pernah
tercatat dalam Belanjawan Negeri Selangor.
43. Sejumlah Ringgit Malaysia Satu Bilion Sembilan
Puluh Tiga Juta Tiga Ratus Dua Puluh Lima Ribu Dan Sepuluh (RM 1,093,325,010)
atau 60.7 peratus diperuntukkan di bawah infrastruktur termasuk projek
pembinaan baru serta menaiktaraf jalan, penyelenggaraan parit dan saliran serta
projek pembangunan bekalan air.
44. Seterusnya, sejumlah Ringgit Malaysia Dua Ratus
Lima Puluh Juta Dua Ratus Lima Puluh Lapan Ribu Satu Ratus Sembilan Puluh (RM
250,258,190) atau 13.9 peratus diperuntukkan bagi meningkatkan sektor ekonomi
negeri melalui program pembangunan perumahan termasuk perumahan berstrata kos
rendah, pengangkutan, perindustrian dan pelaburan, perbandaran, perhutanan,
veterinar serta perancangan bandar dan desa.
45. Kerajaan Negeri bertanggungjawab untuk menilai
keberkesanan program-program sosio ekonomi dan kebajikan rakyat untuk tujuan
memperkukuhkan agenda peduli rakyat. Untuk tujuan itu, sejumlah Ringgit
Malaysia Dua Ratus Empat Puluh Tujuh Juta Satu Ratus Lima Puluh Enam Ribu Lapan
Ratus (RM 247,156,800) atau 13.7 peratus diperuntukkan bagi melaksanakan
program perkhidmatan masyarakat, pendidikan, pemberdayaan modal insan dan
usahawan, pembangunan belia dan sukan serta pembangunan wanita dan keluarga.
46. Peruntukan sebanyak RM 183.2 juta disediakan
untuk program air percuma bagi tahun 2017. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri
menyarankan air percuma dimanfaatkan secara berhemah. Air adalah sumber yang
sangat bernilai dan pengguna perlu membudayakan amalan konservasi air.
47. Manakala bagi sektor kesihatan dan luar bandar,
Kerajaan Negeri bercadang sejumlah Ringgit Malaysia Dua Ratus Sembilan Juta Dua
Ratus Enam Puluh Ribu (RM 209,260,000) atau 11.6 peratus diperuntukkan bagi
pelaksanaan program skim penjagaan kesihatan asas (primary health care),
program menangani wabak denggi dan zika, pembangunan ekonomi luar bandar serta
membangun prasarana asas bagi tujuan kemudahan di desa serta menaiktaraf jalan
kampung.
E. STRATEGI BELANJAWAN 2017
48. Untuk menterjemah gagasan Membangun Bangsa dan
Memakmur Negeri maka, strategi Belanjawan 2017 Negeri Selangor adalah:
a. Smart Selangor Teras Kemajuan;
b. Menjamin Perlindungan Dan
Mensejahtera Rakyat;
c. Pengupayaan Pendidikan &
Latihan;
d. Membingkai Muafakat;
e. Memacu Industri Sukan &
Pelancongan, Menyemarak Budaya & Intelektual
STRATEGI PERTAMA : Smart Selangor Teras Kemajuan
49. Gagasan Smart Selangor yang dicetuskan pada
tahun lalu kini telah menjadi teras utama untuk memacu pembangunan negeri
mencapai status Smart State. Gagasan ini bukan hanya tertumpu kepada inisiatif
pembangunan infrastruktur Smart semata-mata. Ianya juga menggarap nilai-nilai
kerohanian, kemanusiaan, amalan tatakelola yang baik dan menjamin keadilan
sosial untuk segenap lapisan masyarakat.
50. Antara aspek terpenting urus tadbir adalah
konsep “Open Government”. Dalam hal ini, inisiatif Smart Selangor bertujuan
merealisasikan objektif ini selain daripada pembangunan ekonomi yang lebih
mampan, sistem penyampaian yang lebih berkesan bagi menjamin kualiti kehidupan
yang lebih baik untuk rakyat.
51. Ini telah dimulakan pada tahun 2016 dengan
pembangunan Blueprint Smart Selangor dan membangunkan Smart Solutions untuk
empat domain utama iaitu Smart Governance, Smart Waste Management, Smart
Transport and Mobility dan Smart Digital Infrastructure.
52. Blueprint dan Smart Solutions ini adalah hasil
pendapat dan maklum balas agensi-agensi kerajaan, sektor swasta dan
stakeholders termasuk rakyat berdasarkan prinsip mass collaboration di antara
rakyat dan kerajaan menerusi beberapa siri temu-tembung dan makmal yang dianjurkan
oleh pihak Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) yang telah melibatkan hampir
10,000 orang peserta.
Membangun Infrastruktur Digital
53. Kejayaan Selangor sebagai Smart State yang
bergantung kepada pelaksanaan dasar-dasar serta inisiatif peduli rakyat harus
bergerak seiring dengan pembangunan inkrimental ekosistem digital. Dunia terus
menyaksikan kepantasan kemaraan digital; mana-mana bangsa yang dulu, kini dan
selama-lamanya kaku, hanya bergerak ke belakang.
54. Dalam ekosistem ini, bentuk-bentuk baharu pemprosesan
(processing) sedang dicipta bagi memberdaya pembuatan keputusan yang lebih
mantap, meneroka ‘insight’ dan mengoptimakan proses. Dari segi ini, Big Data
Analytics memainkan peranan yang semakin kritikal. Ianya merangkumi prinsip 3V
yakni ‘high volume’, ‘high velocity’ dan ‘high variety’ yang bernilai tinggi.
55. Dalam konteks ekosistem digital Selangor yang
berkembang maju, kita membayangkan Big Data Analytics dapat mempermudah
Kerajaan Negeri dan agensi-agensinya untuk membuat keputusan yang pantas dan
mengambil tindakan yang berkesan. ‘Real-time monitoring’ contohnya, dapat
dikembang-luaskan skop dan penggunaannya yang bakal membantu memenuhi sasaran
pencapaian perkhidmatan.
56. Big Data Analytics tidak boleh dipandang secara
terpisah malahan ianya berkembar dengan Internet of Things (IoT), e-dagang dan
penggunaan aplikasi dan penyelesaian pintar di bawah payung konsep jangka
panjang Smart State yang bersepadu.
57. Kerajaan Negeri akan menerokai bidang-bidang
kerjasama bersama gergasi-gergasi teknologi maklumat global menerusi penggunaan
teknologi terkini bagi menghasilkan dasar-dasar yang lebih tepat dan berkesan
kepada rakyat.
58. Peruntukan sebanyak RM 14 juta akan disediakan
untuk membangunkan Smart Digital Eco-system yang merangkumi Big Data Command
& Control Centre dan Smart Apps Development Platform, manakala RM 8 juta
untuk Internet of Things (IoT) enabler dan pemerkasaan WiFi Smart Selangor yang
merupakan komponen penting dalam pembangunan Smart Digital Eco-system.
Penyelenggaraan
Pintar Jalan Raya
59. Kerjasama di antara Pihak Berkuasa Tempatan
(PBT) dengan Google Asia Pacific menerusi Waze Connected Citizens Programme
telah dimeterai pada 23 September 2016. Para pengguna jalanraya kini boleh
melaporkan lokasi jalan berlubang (potholes) menerusi aplikasi Waze yang
kemudiannya akan disalurkan kepada pihak berkuasa berkenaan untuk diperbaiki
dalam tempoh maksima 5 hari.
60. Sebuah sistem middleware akan dibangunkan untuk
mengumpulkan aduan jalan berlubang dan memantau tempoh pembaikan. Dengan adanya
sistem ini, kerajaan negeri akan berupaya untuk memetakan hayat jalan raya
(heat map of road age) untuk tujuan perancangan program preventative
maintenance yang lebih berkesan tanpa mengganggu keselesaan pengguna jalan raya.
61. Selain aduan jalan berlubang, pihak berkuasa
bertanggungjawab memuatnaik maklumat jalan yang ditutup bagi sesuatu tujuan
supaya pengguna jalan raya mendapat maklumat sebelum merancang perjalanan.
Setakat ini, MBPJ, MPSJ, MPAJ dan MPKj telah bersama dalam program ini.
Kutipan Sisa Pepejal Yang Efisyen
62. Sebagai langkah penstrukturan semula pengurusan
sisa pepejal dan meningkatkan kecekapan operasi, Kerajaan Negeri telah melantik
KDEB Waste Management Sdn. Bhd. untuk melaksanakan sebuah projek perintis di
Majlis Perbandaran Klang bermula 1 Julai 2016.
63. Keberkesanan operasi ini adalah hasil daripada
penggunaan teknologi pengesan operasi dan pergerakan lori kutipan, para
penyelia kawasan dan penggunaan sistem aduan berasaskan aplikasi iClean
Selangor yang dipantau terus melalui kaedah real time monitoring oleh sebuah
Command Centre. Sistem ini juga mampu mengesan lokasi aduan untuk memudahkan
pemantauan dan mempercepatkan tindakan pematuhan.
64. Prihatin dengan keluhan rakyat yang mahukan
operasi kutipan sisa pepejal yang lebih efektif dan pantas, Kerajaan Negeri
akan mengembangkan penggunaan sistem iClean Selangor kepada empat PBT dalam
tahun 2017 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM 45 juta.
Pembersihan, Pemuliharaan dan Pembangunan Sungai
Klang
65. Sungai Klang yang sekian lama tercemar dengan
sampah sarap terapung kini telah semakin bersih. Sebanyak RM 5 juta telah
dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2016 untuk membersihkan Sungai
Klang. Hebat Abadi Sdn. Bhd. telah berjaya mengeluarkan 4,869 tan metrik sampah
terapung sehingga akhir September 2016 dan 48 perangkap sampah telah dibina di
kunci-kunci air utama di sepanjang Sungai Klang. 5 tapak pelupusan haram
dikesan hasil daripada operasi pembersihan sungai ini.
66. Kerajaan Negeri sedang mengkaji untuk
mewujudkan sebuah agensi pengurusan sungai bagi menyelaras kerja-kerja
pemuliharaan dan pembangunan Sungai Klang. Agensi ini dipertanggungjawabkan
untuk memulihara kawasan rizab sungai dan menyediakan pelan pembangunan tebing
sungai sebagai sumber pendapatan baru bagi Kerajaan Negeri.
67. Kerajaan Negeri bercadang untuk memperuntukkan
sebanyak RM 15 juta bagi kerja-kerja pemuliharaan dan pembangunan Sungai Klang.
Untuk mempromosikan Sungai Klang kepada dunia, Kerajaan Negeri merancang untuk
menganjur Klang River Marathon dalam tahun 2017.
Kajian Penyelidikan dan Pembangunan (R&D)
68. Kerajaan Negeri sedang giat berusaha untuk
meneroka dan menarik pelaburan yang strategik dan berimpak tinggi seperti
industri aero-angkasa, automotif, bioteknologi dan industri halal.
69. Negeri Selangor akan meneraju industri halal
yang lebih inovatif dan bersifat ‘game changer’ melalui pembentukan Majlis
Halal International Selangor dengan geran pelancaran sebanyak RM 5 juta.
70. Menurut laporan Pertubuhan Kerjasama dan
Pertumbuhan Ekonomi (OECD), penggunaan bioteknologi akan menjana pertumbuhan
‘Bioekonomi’ yang merangkumi sektor pertanian, industri dan kesihatan.
71. Kerajaan Negeri menyokong usaha ke arah
pemerkasaan ‘Bioekonomi’ di Selangor. Untuk maksud itu, Kerajaan Negeri
bercadang untuk menyediakan dana awal (seed capital) berjumlah RM 10 juta bagi
membiayai R&D bioteknologi di Bio Bay, Pulau Indah.
Penciptaan Pekerjaan Baru
72. Negeri Selangor telah membuat satu anjakan
strategik ke arah industri berasaskan pengetahuan dan berteknologi tinggi serta
mempergiat sektor ekonomi menerusi Industri Kecil dan Sederhana (SME).
73. Kerajaan Negeri memberi fokus lima teras utama
yang mampu mengembangkan peluang SME seperti industri aeroangkasa,
bioteknologi, sains hayat, e-dagang dan industri halal.
74. Industri strategik seperti aeroangkasa dan
otomotif yang melabuh di Negeri Selangor dengan jumlah pelaburan hampir RM 3
bilion oleh syarikat gergasi UMW Aerospace Sdn. Bhd. di Serendah dan UMW Toyota
Motor Sdn. Bhd. di Bukit Raja, Klang akan mencipta lebih 1,200 pekerjaan dalam
perkhidmatan sokongan termasuk pekerja mahir (skilled workers).
75. Bagi tempoh dari tahun 2008 sehingga suku
ketiga 2016, sejumlah 183,889 pekerjaan telah dicipta melalui 2,258 projek
perkilangan. Daripada jumlah penduduk Negeri Selangor seramai 6.14 juta, negeri
ini mempunyai tenaga kerja seramai 3.2 juta.
STRATEGI KEDUA : Menjamin Perlindungan Dan
Mensejahtera Rakyat
76. Penyair Latin, Juvenal, dalam sebuah satira
berkata, “Mens sana in corpore sano” – akal yang cerdas datangnya dari badan
yang sihat. Putrajaya gagal memberikan perhatian kepada penjagaan kesihatan
asas (primary health care) yang merupakan hak asasi rakyat seperti yang
termaktub dalam Artikel 12 International Covenant on Economic, Social and
Cultural Rights 1966.
77. Rakyat umumnya merasa tertekan dan terhimpit
dengan ketidaktentuan ekonomi dan kecelaruan kepimpinan. Rakyat terdedah kepada
kos sara hidup yang tinggi, ketidakupayaan untuk mendapatkan akses kepada
rawatan yang berkualiti, tidak berpeluang memiliki kediaman yang selesa dan
affordable, dikesampingkan kebajikan dan hak asasi mereka dalam kehidupan.
78. Maka sebagai sebuah Kerajaan Negeri yang peduli
rakyat, Belanjawan 2017 ingin memperkenalkan beberapa inisiatif baru yang akan
memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Skim Peduli Sihat
79. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencadangkan
perbelanjaan kerajaan untuk perkhidmatan kesihatan sebanyak 5 peratus daripada
KDNK. Namun begitu, pada tahun 2014, WHO melaporkan kadar perbelanjaan
kesihatan Malaysia hanya pada tahap 4.2 peratus dari KDNK berbanding
negara-negara lain seperti Cuba 11.1 peratus, Brazil 8.3 peratus, Vietnam 7.1
peratus dan Thailand 6.5 peratus.
80. Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap tahap kesihatan rakyat yang
boleh menjejaskan produktiviti. Biarpun Kerajaan Negeri tidak mempunyai sumber
pendapatan sebesar Putrajaya, namun kita memiliki rasa kepedulian yang raksasa.
81. Kerajaan Negeri akan memperkenalkan skim
perlindungan perubatan dan kesihatan (medical and healthcare coverage) atau
Skim Peduli Sihat bagi kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah
(B40) iaitu kelompok yang paling tertekan berikutan daripada kenaikan kos sara
hidup.
82. Untuk maksud ini, Kerajaan Negeri bercadang
memperuntukkan sejumlah RM 125 juta setahun bagi pelaksanaan Skim Peduli Sihat
yang akan menyediakan perkhidmatan percuma penjagaan kesihatan untuk 250 ribu
keluarga atau 1 juta rakyat Selangor yang mempunyai pendapatan isi rumah RM
3,000 ke bawah.
83. Skim Peduli Sihat yang diuruskan oleh Selgate
Corporation selaku Third-Party Healthcare Administrator akan membiayai rawatan
kesihatan asas (primary care) setiap keluarga yang layak sehingga RM 500
setahun. Penerima skim ini boleh mendapat rawatan di 1,000 buah klinik
berdaftar di Selangor dan Lembah Klang.
84. Mereka yang dilahirkan atau telah menetap lebih
10 tahun di Selangor layak untuk menyertai skim ini. Pendaftaran boleh
dilakukan di Pejabat Ahli Dewan Negeri, PBT dan Pejabat Daerah dan Tanah,
klinik-klinik berdaftar termasuk pendaftaran atas talian dengan menyertakan
bukti atau pengesahan pendapatan.
85. Setiap peserta akan menerima kad kesihatan
Peduli Sihat. Pemegang akaun utama Peduli Sihat beserta tanggungannya – isteri
serta anak-anak di bawah umur 21 tahun boleh menerima rawatan doktor (general
practicioner) di klinik-klinik berdaftar menurut had gunaan dan kelayakan yang
telah ditetapkan.
86. Klinik-klinik yang berdaftar dengan Peduli
Sihat akan mengenakan bayaran yuran konsultasi doktor yang tidak membebankan
rakyat selaras dengan yuran yang ditetapkan oleh Persatuan Perubatan Malaysia
(MMA).
Menangani Denggi & Zika
87. Kerajaan Negeri bercadang meningkatkan
peruntukan kawalan dan pencegahan denggi dan zika secara holistik bagi tahun
2017 kepada RM 5 juta berbanding hanya RM 1.5 juta bagi tahun 2016. Peruntukan
ini akan digunakan untuk menambah aktiviti kawalan dengan menambah penggunaan Pest
Controller Operator (PCO) di PBT. Penguatkuasaan undang-undang akan
dipertingkatkan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab yang menyumbang
kepada wabak ini.
88. Tanggungjawab ini juga harus dipikul bersama
oleh semua pihak termasuk pimpinan masyarakat seperti Ahli Dewan Negeri, Ahli
Majlis, JKKK dan penduduk setempat bagi memastikan tiada lagi tempat pembiakan
nyamuk Aedes.
Program Dialisis Rakyat
89. Kerajaan Negeri sedar bahawa kos rawatan
dialisis amat membebankan pesakit – kos rawatan yang tinggi manakala pesakit
juga tidak dapat bekerja untuk menampung kos sara hidup keluarga. National
Renal Transplant Registry 2014 melaporkan terdapat 6,890 orang pesakit dialisis
di Negeri Selangor. Kerajaan Negeri telah menyediakan bantuan untuk membiayai
kos rawatan dialisis. Kelazimannya, setiap pesakit perlu menjalani rawatan
sebanyak 13 kali sebulan melibatkan kos hampir RM 3,000 sebulan.
90. Sehingga 24 Oktober 2016, seramai 504 orang
pesakit telah menerima manfaat daripada program ini dengan kos yang ditanggung
oleh Kerajaan Negeri sebanyak RM 1.45 juta. Kerajaan Negeri bercadang untuk
meningkatkan peruntukan bagi program rawatan dialisis daripada RM 1.7 juta
setahun kepada RM 5 juta bagi Tahun 2017.
Early Intervention Programme (EIP)
91. Untuk mewujudkan masyarakat penyayang, Kerajaan
Negeri akan mengambil langkah untuk menjayakan Program Intervensi Awal (Early
Intervention Programme) khusus untuk kanak-kanak berkeperluan khas. Program ini
akan menyediakan pendidikan dan pelbagai jenis terapi seperti physiotherapy,
occupational therapy, speech therapy dan hydrotherapy.
92. Program ini membantu ibu bapa mengambil langkah
awal untuk mengelakkan berlakunya masalah sampingan pada keadaan fizikal
anak-anak mereka di masa akan datang. Pada masa yang sama, Program Intervensi
Awal akan membantu kanak-kanak berkeperluan khas beradaptasi dalam masyarakat
tanpa merasa terpisah kerana mereka juga mempunyai kebolehan dan potensi yang
tersendiri. Untuk maksud ini, Kerajaan Negeri akan menyalurkan sejumlah RM 3
juta untuk membantu institusi dan badan kebajikan yang menjalankan Early
Intervention Programme (EIP) di Negeri Selangor.
Merancak Program HIJRAH
93. Skim Mikrokredit (micro financing scheme)
adalah aspek penting untuk mengupaya usahawan-usahawan kecil yang memerlukan modal
perniagaan awal bagi menjana pendapatan yang lebih lumayan. Program ini seiring
dengan visi Kerajaan Negeri untuk melebarkan golongan kelas menengah.
94. Pada tahun 2016, Yayasan Hijrah Selangor telah
menerima pembiayaan sebanyak RM 125 juta termasuk RM 5 juta sebagai dana khas
untuk kumpulan sasar OKU dan Ibu Tunggal. Sehingga suku ketiga tahun 2016,
seramai 28,231 orang telah menerima manfaat dengan pengeluaran pembiayaan
berjumlah RM 144.8 juta.
95. Alhamdulillah, peratusan kutipan bayar balik
adalah tinggi dan menggalakkan. Program HIJRAH yang terbukti mampu mengupayakan
peniaga-peniaga kecil dijangka akan terus mendapat sambutan dan disasarkan
meningkat kepada 56,000 orang pada tahun 2018.
96. Kejayaan program HIJRAH mendorong Kerajaan
Negeri untuk mencadangkan peruntukan tambahan sejumlah RM 50 juta dalam bentuk
pinjaman bagi tahun 2017 kepada Yayasan Hijrah. Program HIJRAH akan menyediakan
dana pusingan berjumlah RM 185 juta bermula awal tahun 2017 hasil daripada
bayaran semula yang kini berada pada paras RM 59.7 juta. Dua kumpulan sasar
baru akan menikmati pembiayaan HIJRAH iaitu veteran angkatan tentera dan wanita
ladang.
Perumahan Untuk Rakyat
97. Pendemokrasian milikan rumah adalah dasar
Kerajaan Negeri hari ini. Dasar ini adalah cerminan kepada sebuah kerajaan yang
berusaha ke arah mengurangkan kesenjangan pendapatan di kalangan rakyat.
Sebagai sebuah ekonomi manusiawi dan negeri yang mengamalkan demokrasi yang
matang, Kerajaan Negeri terus memperhebatkan usaha agar rakyat Negeri Selangor
memiliki kediaman yang affordable dan selesa untuk keluarga.
Program Ceria
98. Kerajaan Negeri sering mendengar keluhan para
pemilik dan penghuni rumah pangsa kos rendah yang tidak mampu untuk
menyelenggara lif dan menceriakan blok masing-masing. Kos penyelenggaraan lif
adalah tinggi dan di luar kemampuan pemilik, penghuni dan Badan Pengurusan
Bersama (JMB).
99. Kerajaan Negeri senantiasa peduli dengan
masalah komuniti rumah pangsa kos rendah. Untuk maksud ini, Kerajaan Negeri
ingin mencadangkan peruntukan bagi penyelenggaraan lif dan pengindahan rumah
pangsa kos rendah dinaikkan daripada RM 25 juta kepada RM 55 juta.
100. Pertimbangan ini adalah atas kesedaran Kerajaan
Negeri untuk pembinaan komuniti bandar yang dinamik dan ceria sebagai dimensi
pembangunan bangsa. Langkah ini akan memastikan lif di kawasan pemajuan
tersebut sentiasa diselenggara untuk menjamin keselamatan dan keselesaan
penghuni rumah pangsa serta menceriakan blok perumahan berkenaan.
Memperluas
Akses Pemilikan – Rumah Selangorku
101. Usaha Kerajaan Negeri untuk membina rumah
mampu milik secara aktif mulai tahun 2014 mendapat sambutan yang menggalakkan.
Sehingga hari ini, saya telah melancarkan 18 projek pembangunan rumah mampu
milik yang melibatkan 22,494 unit kediaman melebihi sasaran awal berjumlah
15,000 unit kediaman.
102. Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS)
telah dipertanggungjawabkan untuk memantau kemajuan projek-projek ini setiap
dua minggu bagi memastikan projek ini dapat diserahkan pemilikannya kepada
pembeli dalam tempoh yang ditetapkan.
103. Walau bagaimanapun, pembeli rumah berdepan
dengan masalah ‘end-financing’ atau pembayaran akhir di mana kadar penolakan
pinjaman oleh bank-bank tempatan telah meningkat kepada lebih 50 peratus.
Berdasarkan laporan LPHS, daripada 17,546 tawaran yang dibuat, 8,770 tidak
berjaya mendapat pembiayaan daripada institusi perbankan.
104. Oleh kerana itu, Bank Negara Malaysia (BNM)
digesa untuk menyemak semula garis panduan bagi membantu pembeli rumah pertama
mendapatkan pinjaman bank untuk pembiayaan rumah yang bernilai RM 250,000 ke
bawah.
Skim Smart-Sewa
105. Atas keprihatinan kepayahan pembeli rumah
untuk mendapatkan pinjaman perumahan daripada institusi perbankan, Kerajaan
Negeri bercadang untuk mewujudkan Skim Smart-Sewa bagi membantu orang awam yang
berpendapatan sederhana menyewa dan akhirnya berupaya untuk memiliki rumah di
Negeri Selangor.
106. Kerajaan Negeri telah membeli 134 unit kediaman
yang bersesuaian di lokasi yang strategik pada tahun 2016 untuk dijadikan rumah
sewa kepada mereka yang berkelayakan. Bagi tahun 2017, Kerajaan Negeri akan
menyediakan peruntukan sejumlah RM 100 juta melalui Tabung Amanah Pengecualian
Syarat Kuota Bumiputera & Pengecualian Sumbangan Pembinaan Rumah Kos
Rendah, Kos Sederhana Rendah dan Rumah Kos Sederhana bagi mengembangkan lagi
Skim Smart Sewa.
107. Tempoh sewaan minima bagi setiap penyewa
adalah selama dua tahun dan maksima selama lima tahun. Menerusi program ini,
penyewa akan mendapat balik 30 peratus daripada jumlah sewaan yang dibayar
apabila mereka tidak lagi tinggal di unit yang berkenaan. Pengembalian 30
peratus wang sewaan boleh dijadikan sebagai wang pendahuluan dalam pembelian
Rumah Selangorku.
Perkhidmatan Air Yang Holistik
108. Sementara proses penstrukturan semula industri
perkhidmatan air Selangor sedang dimuktamadkan, Kerajaan Negeri telah mengambil
langkah proaktif bagi menyediakan perkhidmatan air yang efisyen termasuk
mengurangkan kadar Air Tidak Berhasil (NRW) dan mengganti paip-paip lama.
Projek
Penggantian Paip Air & Mengurangkan NRW
109. Kerajaan Negeri meletakkan sasaran untuk
mengurangkan kadar NRW daripada 35 peratus kepada 29 peratus pada 2019. Untuk
mencapai matlamat ini, Kerajaan Negeri mencadangkan sejumlah RM 324 juta
diperuntukkan untuk mengatasi masalah paip pecah dan program penggantian
paip-paip lama di 84 kawasan hotspot yang meliputi 422.5 kilometer untuk tempoh
tiga tahun mulai tahun 2016.
110. Pada tahun 2017, Kerajaan Negeri bercadang
untuk memperuntukkan sejumlah RM 100.6 juta kepada Air Selangor bagi
kerja-kerja penggantian paip.
Pembangunan Loji Rawatan Air
111. Bagi menjamin kemampanan bekalan air terawat
di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Kerajaan Negeri bersedia menggunakan
sebahagian rizab negeri untuk pembangunan termasuk membina Loji Rawatan Air
Semenyih 2 dan Loji Rawatan Air Labohan Dagang yang menelan kos RM 800 juta.
Pembangunan 2 buah loji rawatan air yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan
Negeri adalah untuk mewujudkan ekosistem perkhidmatan air yang holistik dan
efisyen serta melengkapkan sistem agihan bekalan air di Negeri Selangor.
112. Kerajaan Negeri yakin pembangunan loji-loji
rawatan air ini akan menjadi pemangkin kepada perkembangan sektor ekonomi dan
industri sekaligus menyumbang kepada pertumbuhan yang lebih pesat di kawasan
tengah dan selatan Negeri Selangor. Sebagai penyumbang utama kepada KDNK
negara, Kerajaan Negeri senantiasa berusaha untuk mengekalkan momentum
persekitaran pelaburan yang kondusif untuk memastikan jumlah pelaburan dan
aktiviti ekonomi yang berimpak tinggi di Negeri Selangor.
113. Pembangunan Loji Rawatan Air Semenyih 2 dan
Loji Rawatan Air Labohan Dagang akan menggunakan kaedah storm water hiliran
sungai sebagai sumber air terawat. Konsep pembangunan Off River Storage (ORS)
mampu mengekalkan bekalan air mentah sekalipun berlaku pencemaran sungai, dapat
mengurangkan kebergantungan kepada pelepasan air dari empangan dan berfungsi
sebagai kolam takungan bagi mengelakkan risiko banjir di penempatan hiliran
sungai.
114. Kerajaan Negeri ingin mencadangkan peruntukan
sejumlah RM 192.7 juta bagi tahun 2017 untuk pembangunan Loji Rawatan Air
Semenyih 2 dan Loji Rawatan Air Labohan Dagang. Kedua-dua loji rawatan air ini
akan menambah bekalan air terawat sebanyak 400 JLH. Kerja-kerja pembinaan Loji
Rawatan Air Semenyih 2 dijangka siap pada Disember 2017 manakala Loji Rawatan
Air Labohan Dagang akan mula beroperasi sepenuhnya pada pertengahan tahun 2018.
115. Projek Mitigasi 2 telah siap sepenuhnya pada
20 April 2016 dan telah dioperasikan oleh Air Selangor. Dengan siapnya projek
Mitigasi 2, tambahan sebanyak 220 JLH air terawat dapat dibekalkan melalui
sistem agihan yang dinaiktaraf. Bekalan tambahan ini dapat menampung permintaan
pengguna yang semakin meningkat terutamanya di kawasan Lembah Klang dan Klang
sehingga ke Pulau Indah.
116. Kerajaan Negeri sedang melaksanakan Projek
Menaiktaraf Loji Rawatan Air Sungai Langat dan Projek Menaiktaraf Rumah Pam di
11 lokasi yang menelan kos RM 98 juta. Kedua-dua projek ini bertujuan untuk
memastikan bekalan air terawat dapat diagihkan kepada pengguna tanpa sebarang
gangguan. Bagi tahun 2017, sejumlah RM 44 juta diperuntukkan bagi melaksanakan
projek ini.
117. Setelah pengambilalihan pengurusan bekalan
air, audit telah dilaksanakan ke atas semua aset-aset bekalan air dan mendapati
terdapat sejumlah 50 kolam dan 40 rumah pam tidak pernah digunapakai disebabkan
pelbagai masalah seperti kebocoran pada kolam, kerosakan pada peralatan dan
perkakasan, pencerobohan, kecurian dan vandalisme. Jumlah kapasiti simpanan air
daripada sejumlah 50 kolam ini adalah sebanyak 239 JLH.
118. Dalam menghadapi sebarang kemungkinan pada
tahun hadapan, perancangan telah dibuat untuk melaksanakan kerja pembaikan dan
menggunapakai kolam dan rumah pam ini. Penggunaan semula aset-aset ini dapat
meningkatkan jumlah simpanan air dalam kolam dan seterusnya mengurangkan
gangguan bekalan air kepada pengguna. Selain itu, ia juga mempercepatkan
pemulihan bekalan air sekiranya berlaku gangguan berjadual mahupun tidak
berjadual. Ini secara langsung akan meningkatkan reliabiliti sistem bekalan
air.
119. Air Selangor telah memperuntukkan sejumlah RM
27 juta untuk membaiki dan menggunapakai semula kolam-kolam ini. Pada tahun
2016, sejumlah 11 kolam dan rumah pam sedang dibaiki dan dirancang untuk
digunapakai semula setelah kerja-kerja pembaikan selesai dilaksanakan.
120. Walaupun ada pihak secara sinis mempertikaikan
usaha dan keupayaan Kerajaan Negeri untuk mengurus air, hari ini kita
membuktikan bahawa perancangan untuk meningkatkan kemudahan dan kecekapan dalam
pengurusan air telahpun dilaksanakan mengikut jadual pelaksanaan projek.
Pengurusan Sumber Bekalan Air
121. Fenomena pemanasan global dan perubahan iklim
dunia yang mengakibatkan cuaca panas yang ekstrim dan kering, ancaman water
stress serta banjir kilat dan air laut pasang besar perlu ditangani dengan
kepakaran kejuruteraan dan pengurusan yang bersepadu. Bagi menangani fenomena
ini, Kerajaan Negeri mencadangkan sejumlah RM 17 juta untuk tahun 2017 bagi
menjamin kesinambungan bekalan air dan sumber air melalui usaha berikut :
a. Operasi pembenihan awan (cloud seeding) yang
membolehkan hujan turun di kawasan tadahan dan lembangan sungai;
b. Meneruskan dan menguruskan
operasi pengepaman air dari kolam takungan di sekitar Bestari Jaya tanpa
menjejaskan kualiti sumber air tersebut.
122. Kerajaan Negeri turut mencadangkan peruntukan
berjumlah RM 2.0 juta untuk Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bagi meningkatkan
kecekapan pengurusan bekalan air termasuk pembangunan stesen pemantauan kualiti
dan kuantiti secara online dan pemantauan “aerial surveillance” menggunakan
“drone” untuk memantapkan pemantauan in situ bagi mengenaplasti punca
pencemaran.
123. Kerajaan Negeri memandang serius aktiviti
pencemaran sungai oleh pihak tertentu yang membuang bahan-bahan toksik secara
terancang yang menyebabkan Air Selangor terpaksa menutup loji rawatan air untuk
menjamin keselamatan dan kesihatan penggunaan. Kelakuan ini bukan sahaja tidak
bertanggungjawab bahkan bersifat jenayah. Justeru itu, Kerajaan Negeri terus
bekerjasama dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar bagi menangani
masalah ini kerana pelakuan sabotaj ini tidak berlaku di dalam sungai di Negeri
Selangor tetapi berpunca di kawasan-kawasan di luar Selangor.
124. Kerajaan Negeri menghargai usaha gigih dan
komitmen pegawai-pegawai LUAS, JPS dan Air Selangor yang menjalankan
kerja-kerja pemantauan sungai secara berterusan.
125. Pihak industri digalakkan untuk melabur dalam
penggunaan teknologi hijau termasuk teknologi kitar semula air selaras dengan
amalan terbaik antarabangsa.
Pembinaan Jalan Baru
126. Jaringan jalan raya merupakan aspek utama
dalam menjana pertumbuhan ekonomi dan mobiliti sosial. Kerajaan Negeri berazam
merapatkan jurang pembangunan antara daerah dengan meningkatkan jaringan jalan
raya yang lebih meluas. Bagi mencapai hasrat ini, Kerajaan Negeri mencadangkan
sejumlah RM 390 juta diperuntukan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi tahun
2017.
127. Antara langkah yang diambil untuk
menyelesaikan masalah penyuraian trafik, JKR diberikan tanggungjawab untuk
menaiktaraf 26 jajaran jalan negeri dengan peruntukan sebanyak RM 197.4 juta.
128. Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan membina
jalan baru dengan peruntukan sebanyak RM 51.3 juta :
a. Membina Jalan Alternatif Shah Alam ke Banting;
b. Membina Jalan Sambungan Kota
Warisan (B20).
129. Kerajaan Negeri memperuntukkan RM 102.8 juta
untuk pembinaan jambatan dan jejantas termasuk RM 80 juta untuk menyiapkan
pembinaan Jambatan Ketiga Klang; RM 10.5 juta bagi penggantian jambatan lama di
Kampung Rantau Panjang, Kuala Selangor; RM 5 juta untuk penggantian jambatan di
Jalan Kundang, Daerah Gombak dan RM 1.8 juta untuk menggantikan jambatan
Kampung Pasir, Sungai Lalang, Semenyih.
130. Aspek keselamatan juga diberi perhatian dengan
memperuntukkan sejumlah RM 33.5 juta termasuk pemasangan lampu isyarat dan
tanda amaran serta pembaikan cerun.
Penyelenggaraan Jalan Raya
131. Infrastruktur asas seperti jalan merupakan
aspek penting kepada pembangunan negeri serta mewujudkan jaringan penghubung
yang memberi akses kepada pelbagai aktiviti yang memberi manfaat ekonomi dan
sosial kepada seluruh rakyat di Negeri Selangor.
132. Kerajaan Negeri bercadang memperuntukkan
sejumlah RM 600 juta sebagai siling peruntukan MARRIS Tahun 2017 kepada agensi
pelaksana dengan pecahan berikut:
a. Sejumlah RM 196 juta diperuntukkan kepada
Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menyelenggara Jalan Raya Negeri;
b. Sejumlah RM 372 juta
diperuntukkan kepada 12 PBT Negeri Selangor untuk menyelenggara Jalan Raya
Perbandaran termasuk lorong-lorong belakang dan jalan-jalan industri;
c. Sejumlah RM 30 juta
diperuntukkan kepada 9 Pejabat-Pejabat Daerah / Tanah (PDT) untuk menyelenggara
Jalan-Jalan Kampung; dan
d. Sejumlah RM 2 juta
diperuntukkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menyelenggara
Jalan Pertanian.
133. Kerajaan Negeri berharap usaha ini akan
meningkatkan mutu penyelenggaraan jalan setaraf dengan status negeri maju.
Mempertingkat Perkhidmatan Percuma Bas Smart
Selangor
134. Kerajaan Negeri gembira dapat menyediakan
perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor yang terbaik kepada rakyat. Sejak
dilancarkan pada tahun 2015, perkhidmatan ini telah beroperasi di 11 PBT dengan
pencapaian bilangan pengguna sehingga 31 Ogos 2016 sebanyak 2.8 juta penumpang.
135. Inisiatif yang dimulakan dengan peruntukan
sebanyak RM 3.5 juta pada tahun 2015 telah ditingkatkan kepada RM 10 juta pada
tahun 2016.
136. Perkhidmatan ini bertujuan menggalakkan
penggunaan pengangkutan awam oleh semua lapisan masyarakat dan mampu
mengurangkan pelepasan karbon. Program ini memberi manfaat untuk golongan
berpendapatan rendah dan sederhana serta pelajar dan pekerja.
137. Bagi memenuhi permintaan pengguna pengangkutan
awam, Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan perkhidmatan percuma Bas Smart
Selangor ditambah daripada RM 10 juta kepada RM 20 juta bagi tahun 2017 untuk
menambah laluan baru di semua PBT termasuk kawasan desa.
Pemuliharaan Tapak Pelupusan
138. Selangor perlu melangkah ke hadapan dalam
mengurus sisa pepejal dengan penggunaan teknologi baru. Pada ketika ini,
sebanyak 6,000 tan sisa pepejal dihasilkan sehari oleh rakyat Negeri Selangor.
Kerajaan Negeri mengajak rakyat untuk bersedia menerima teknologi baru yang
selamat dan terbukti dapat menghasilkan produk sampingan seperti penjanaan
tenaga.
139. Penyediaan tapak pelupusan sampah yang
sempurna dari aspek pembinaan serta pengurusan yang bersepadu dan sistematik
amat penting bagi memastikan ianya dapat mengurangkan impak negatif kepada alam
sekitar. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri akan menyediakan sejumlah RM 7.3
juta bagi melaksanakan kerja-kerja pemuliharaan, menaiktaraf, penutupan selamat
dan penyelenggaraan tapak pelupusan di Selangor.
Penyelenggaraan Saliran & Tebatan Banjir
140. Perubahan suhu dan iklim dunia adalah fenomena
baru yang menuntut kita untuk mengambil langkah proaktif. Bencana seperti cuaca
panas yang ekstrim dan kering, banjir kilat serta penyakit berjangkit perlu
diurus dan ditangani supaya tidak memberi kesan buruk kepada rakyat dan
ekonomi.
141. Kerajaan Negeri senantiasa peka dan prihatin
terhadap kepentingan pembangunan sistem pengairan dan saliran untuk menampung
air larian permukaan.
142. Justeru itu, Jabatan Pengairan dan Saliran
(JPS) perlu menyediakan perkhidmatan kepakaran kejuruteraan dan pengurusan
sumber air yang merangkumi pengurusan lembangan sungai, zon pantai serta
pengurusan banjir dan kemarau secara bersepadu. Kerajaan Negeri tidak akan
mengabaikan sama sekali sebarang usaha dan sokongan yang diperlukan oleh JPS untuk
melaksanakan tanggungjawab ini.
143. Bagi maksud itu, Kerajaan Negeri mencadangkan
peruntukan pembangunan untuk JPS dinaikkan sebanyak 68.7 peratus kepada RM 135
juta berbanding RM 80 juta untuk tahun 2016 bagi menampung pelaksanaan 85
projek yang telah dikenalpasti. Peruntukan yang disediakan ini merangkumi
antara lain Projek Tebatan Banjir di Sungai Kandis, Klang berjumlah RM 7.5
juta, Projek Tebatan Banjir Kampung Melayu Subang yang bernilai RM 6 juta dan
Projek Tebatan Banjir di Sungai Labu, Sepang bernilai RM 3 juta.
144. Peruntukan ini juga bagi melaksanakan Projek
Pembangunan Tebatan Banjir Lembangan Sungai Klang dan Lembangan Sungai Langat
serta menaiktaraf saliran, menaiktaraf kolam takungan dan pembangunan pantai.
Menggilap Kemakmuran Desa
145. Kerajaan Negeri bertekad memberdaya masyarakat
desa agar berada dalam arus perdana pembangunan dengan menikmati kemudahan dan
mutu kehidupan yang setara dengan kehidupan moden masyarakat bandar. Namun,
pembangunan desa yang akan dilaksanakan akan tetap mengekalkan watak dan jati
diri kedesaan yang bermasyarakat, bergotong-royong, bekerjasama, harmoni dan
lestari dengan kehijauan alam semulajadi.
146. Demi merealisasikan hasrat ini, Kerajaan
Negeri bercadang untuk menyediakan sejumlah RM 72.16 juta untuk pembangunan
luar bandar.
147. Daripada jumlah ini, Kerajaan Negeri
memperuntukkan RM 18 juta untuk sektor pertanian dengan tumpuan pembangunan
kemudahan R&D dan latihan untuk warga tani yang dijangka menelan kos RM 5.3
juta.
148. Kerajaan Negeri komited untuk mendukung usaha
menjadikan sektor pertanian bukan sekadar sumber ekonomi sampingan tetapi
sebagai sebuah sektor yang akan menjadi peneraju ke arah menjadikan Negeri
Selangor sebagai gedung kuasa ekonomi serantau.
149. Konsep ‘food belt’ dan ‘food priority’ akan
terus menjadi asas kepada dasar pertanian Negeri Selangor. Untuk merealisasikan
hasrat ini, pembukaan tanah-tanah baharu akan dilaksanakan di bawah Program
Ladang Smart Selangor dan Kebun Rakyat bagi tujuan projek pertanian berasaskan
penggunaan teknologi moden serta pemilihan jenis tanaman yang boleh memberikan
pulangan hasil yang tinggi. Program Belia Tani, pembangunan industri padi dan
Taman Agroteknologi juga diberikan perhatian untuk perkembangan sektor
pertanian dengan jumlah peruntukan RM 7.3 juta.
150. Selain itu, antara keutamaan bagi tahun 2017
adalah untuk menaiktaraf kemudahan awam termasuk menaiktaraf balai raya yang
dilengkapi dengan kemudahan asas dan pembangunan kampung baru dengan peruntukan
berjumlah RM 15 juta.
151. Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan
sejumlah RM 15 juta untuk kerja-kerja menaiktaraf dan membaikpulih jalan-jalan
kampung. Ini tidak termasuk peruntukan MARRIS yang berjumlah RM 30 juta untuk
tujuan penyelenggaraan jalan-jalan kampung.
152. Dalam tahun 2016, Kerajaan Negeri telah
mengambil inisiatif melaksanakan pencerapan jalan-jalan kampung yang masih
belum berdaftar di bawah sistem MARRIS. Usaha ini telah menghasilkan kejayaan
mendaftarkan 1,400 km jalan kampung yang akan meningkatkan peruntukan MARRIS
kepada RM 30 juta bagi tahun 2017. Ini bermakna, peruntukan keseluruhan bagi
tujuan menaiktaraf dan penyelenggaraan jalan kampung bagi tahun 2017 adalah
sebanyak RM 45 juta.
Penambahbaikan Pengurusan Sisa Pepejal
153. Kerajaan Negeri mengambil serius aduan ketua-ketua
kampung tentang masalah pengurusan sisa pepejal, pembersihan dan pengutipan
sampah pukal di kampung. Kerajaan Negeri tidak pernah meremehkan isu kebersihan
awam kerana ianya boleh menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan rakyat. Untuk
maksud itu, bagi tahun 2017, Kerajaan Negeri ingin mencadangkan sejumlah RM 20
juta disalurkan kepada PBT berpendapatan rendah bagi kerja-kerja kutipan sampah
di kampung dan kawasan pembangunan strata. Manakala, bagi PBT berpendapatan
tinggi, Kerajaan Negeri akan mencadangkan supaya PBT berkenaan dapat
menyediakan peruntukan bagi maksud yang sama supaya agenda kebersihan awam
menjadi antara agenda utama bagi semua PBT pada tahun 2017.
Menjamin Keselamatan Rakyat
154. Pasukan Keselamatan Kejiranan (PKK) pernah
diwujudkan pada tahun 2013 dengan peruntukan sebanyak RM 2.4 juta bagi semua
kampung. Kerajaan Negeri melihat keperluan pasukan ini dihidupkan semula dengan
sokongan kuat daripada Kerajaan Negeri memandangkan keselamatan rakyat termasuk
di kampung dan desa semakin tercabar ekoran kegawatan ekonomi semasa.
155. Sehubungan dengan itu, untuk tahun 2017,
Kerajaan Negeri ingin mewujudkan pasukan keselamatan yang dinamakan ‘Ikatan
Desa’ dengan peruntukan berjumlah RM 3.68 juta setahun merangkumi bantuan
kewangan untuk latihan keselamatan dan peralatan yang memberi manfaat kepada
368 kampung. Pasukan Ikatan Desa akan terus bekerjasama dengan PDRM, JKKK dan
Pejabat Daerah.
Karnival Kampungku Kesayanganku
156. Kerajaan Negeri akan meneruskan program
Karnival Kampungku Kesayanganku (3K) yang telah diperkenalkan pada tahun 2015
dengan objektif utama untuk melahirkan masyarakat desa yang mengimarah
institusi masjid sebagai pusat pembangunan komuniti, membangun kampung dari
sudut fizikal, spiritual dan ekonomi serta dapat menyuburkan adat dan warisan
kampung. Sejumlah RM 630,000 dicadangkan untuk melaksanakan program ini bagi
tahun 2017.
Kesejahteraan Komuniti Bandar
157. Kesejahteraan komuniti bandar menuntut penyediaan
kemudahan komuniti yang selesa dan mesra komuniti termasuk kemudahan untuk
golongan OKU seperti Dewan Orang Ramai dan pasar. Untuk maksud ini, Kerajaan
Negeri mencadangkan peruntukan berjumlah RM 19.5 juta untuk pembangunan
komuniti bandar.
158. Peruntukan ini merangkumi RM 5 juta untuk
pembangunan kemudahan asas PBT termasuk penyelenggaraan medan selera dan RM 10
juta untuk menaiktaraf serta membaikpulih dewan orang ramai. Kemudahan
infrastuktur PBT termasuk kemudahan OKU dan penyediaan tong sampah akan
diperuntukkan sebanyak RM 4.5 juta.
159. Berdasarkan penyata kewangan PBT yang telah
diaudit bagi tahun 2015, 12 PBT di Selangor mempunyai rizab sebanyak RM 1.93
bilion. Kerajaan Negeri mendapati MBSA, MBPJ, MPSp, MPKj, MPAJ, MPSJ dan MPK
mempunyai rizab yang tinggi. Maka, untuk mendukung usaha Kerajaan Negeri
membangunkan kawasan perbandaran dengan perkhidmatan yang cekap dan program
pengupayaan komuniti, PBT yang berkenaan digesa untuk menggunakan
sekurang-kurangnya 10 peratus daripada rizab PBT berkenaan untuk maksud ini.
Pembangunan Dewan Banquet
160. Kerajaan Negeri mencadangkan pembinaan tiga
buah Dewan Banquet yang dilengkapi dengan kemudahan dan teknologi moden di
Taman Melawati, Hulu Klang; Taman Bukit Mahkota, Kajang; dan Bukit Beruntung, Hulu
Selangor. Pelaksanaan pembangunan ini akan dilaksanakan oleh pihak Majlis
Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Menteri
Besar Pemerbadanan (MBI) secara pembangunan usahasama antara PBT dan pihak
swasta.
Pembangunan Pasar Rakyat
161. Pasar merupakan nadi ekonomi masyarakat.
Konsep pasar sedia ada perlu ditambah baik dan dijenamakan sejajar dengan
tuntutan zaman dan keperluan rakyat. Adalah menjadi harapan kerajaan untuk
menjadikan pasar-pasar di Negeri Selangor sebagai salah satu “vital point”
perkembangan ekonomi rakyat.
162. Lantaran itu, Kerajaan Negeri mencadangkan
pembangunan ‘Pasar Rakyat’ untuk menemukan pengeluar produk yang terdiri dari
para petani dan peniaga-peniaga dengan pengguna tanpa khidmat orang tengah.
Selain daripada kemudahan, prasarana dan reka bentuk moden, pasar ini juga akan
dilengkapi dengan kemudahan perkhidmatan harian rakyat seperti kemudahan
perbankan dan khidmat pos.
163. Bagi merealisasikan hasrat ini, Kerajaan
Negeri mencadangkan lima PBT iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis
Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis
Perbandaran Sepang (MPSp) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) untuk mengkaji
lokasi yang bersesuaian, strategik dan mudah dikunjungi. Pembangunan Pasar
Rakyat mesti dimulakan seawal tahun 2017 dengan menggunakan peruntukan
pembangunan PBT masing-masing.
STRATEGI KETIGA : Pengupayaan Pendidikan & Latihan
Selangor Business School
164. Perkembangan rancak Graduate Business School
yang menawarkan program seperti Master in Business Administration (MBA) dan
Master in Management (MIM) merupakan satu petunjuk kemajuan ekonomi dan
mencerminkan kemajuan agenda bangsa untuk memperkukuhkan pendidikan tinggi.
165. Tatkala Negeri Selangor maju ke arah knowledge
economy, adalah penting untuk kita menubuhkan sekolah sarjana perniagaan yang
akan menghasilkan graduan bagi memenuhi keperluan dan tuntutan perniagaan,
korporat, industri dan sektor awam.
166. Graduan Selangor Business School akan
mempunyai nilai tambah dalam pelbagai kebolehan, dinamik dan berorientasi
global. Mereka berperanan sebagai penyumbang nilai dan pemimpin di pelbagai
peringkat dan bidang strategik. Kumpulan ini akan menyumbang sebagai pemangkin
pembangunan sosio ekonomi bagi negeri pintar.
167. Justeru itu, Kerajaan Negeri bercadang
memperuntukkan RM 5 juta bagi penubuhan Selangor Business School yang akan
menawarkan pengajian MBA. Selangor Business School merupakan sebahagian
daripada program pengembangan Universiti Selangor (UNISEL).
168. Selaras dengan visi transformasi dan
rasionalisasi fakulti, UNISEL kini bersiap siaga untuk menggarap cabaran baru
supaya lebih berdaya saing dan seterusnya menyumbang kepada agenda pendidikan
negeri. Untuk mencapai hasrat ini, Kerajaan Negeri telahpun menyalurkan
sejumlah RM 21.5 juta dalam tahun 2016 dan mencadangkan sejumlah RM 44 juta
lagi disediakan bagi tahun 2017.
169. Program Tajaan Yuran Percuma bagi tahun asas
di UNISEL telah menghasilkan kejayaan di mana seramai 211 pelajar dapat
menikmati kemudahan ini dan dijangka jumlah pelajar akan meningkat kepada 1,000
orang pelajar pada tahun 2017.
170. Tambahan kepada usaha ini, Kerajaan Negeri
bersetuju memperuntukkan RM 8 juta untuk menaiktaraf infrastruktur dan
kemudahan pembelajaran di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).
171. Untuk memperkasa pendidikan vokasional yang
akan membekalkan tenaga mahir kepada industri, Kerajaan Negeri mencadangkan
sejumlah RM 5 juta untuk program latihan teknikal dan vokasional (TVET) di
Kolej Antarabangsa INPENS.
Program Peduli Siswa
172. Bajet Persekutuan 2017 telah memotong
peruntukan sektor pendidikan tinggi daripada RM 13.38 bilion pada tahun 2016
kepada RM 12.13 bilion. Ini bermakna, peruntukan bagi sektor pengajian tinggi
telah mengalami penurunan sebanyak 9 peratus sekaligus menyebabkan hampir
kesemua universiti mengalami pengurangan peruntukan. Semua IPTA di Selangor
mengalami pemotongan antara 17 hingga 23 peratus bagi tahun 2017. Penguncupan
belanjawan dalam sektor pendidikan akan menggasir kesungguhan pengurusan
universiti untuk meningkatkan kecemerlangan akademik.
173. Sebagai sebuah negeri maju yang berteknologi
tinggi, inovatif dan kreatif, Selangor memerlukan tenaga kerja berkemahiran dan
berilmu. Gagasan ini perlu didukung dengan sokongan dan bantuan pendidikan
untuk pelajar-pelajar.
174. Sebagai usaha awal, Kerajaan Negeri
mencadangkan sejumlah RM 10 juta bagi membiayai pengajian anak-anak Selangor di
UIA, UKM, UPM dan UiTM menerusi Program Peduli Siswa. Program ini menawarkan
pinjaman pelajaran dalam bentuk boleh ubah berdasarkan prestasi kecemerlangan
akademik.
Pembinaan
& Menaiktaraf Sekolah Rendah Agama (SRA)
Bagi tahun 2017, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM
42.9 juta untuk membina, menaiktaraf dan membaikpulih Sekolah Rendah Agama
(SRA) di seluruh Negeri Selangor.
Memartabat Golongan Huffaz
175. Kerajaan Negeri mengiktiraf peranan positif
Maahad Tahfiz dalam melahirkan para huffaz yang menyuntik nilai-nilai
kerohanian dalam masyarakat dan sebuah negeri yang maju dan rencam. Justeru
itu, pendekatan mengintegrasikan pendidikan Al-Quran dengan sains dan teknologi
amat penting selari dengan tuntutan dan cabaran semasa.
176. Maka, Kerajaan Negeri mencadangkan peningkatan
peruntukan untuk Tabung Pendidikan Tahfiz Al-Quran dan Qiraat kepada RM 5 juta.
Peruntukan ini adalah untuk meneruskan Program Pengajian Tahfiz Al-Quran dan
Qiraat Peringkat Diploma dan Ijazah di KUIS yang memberi manfaat kepada 352
pelajar. Peruntukan ini juga akan dikembangkan untuk Program Dermasiswa Huffaz
yang melibatkan lebih kurang 1,000 orang pelajar di Maahad Tahfiz Swasta di
Negeri Selangor dan juga Program Ithbat Hafazan Selangor yang melibatkan 200
peserta.
Pengupayaan SAR, SJK(C) & SJK(T)
177. Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah
RM 16 juta semenjak tahun 2013 bagi tujuan infrastruktur pendidikan di Sekolah
Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina SJK(C) dan Sekolah Jenis
Kebangsaan Tamil SJK(T). Belanjawan 2017 mencadangkan peruntukan bagi SAR
dinaikkan kepada RM 9 juta, manakala SJK(C) dinaikkan kepada RM 7 juta dan
SJK(T) dilonjakkan peruntukan kepada RM 5 juta. Pada kesempatan ini, saya ingin
mengucapkan Deepavali Naal Valthukal kepada mereka yang menyambutnya atas
kesedaran mesej Deepavali iaitu, “light overcomes darkness, good overcomes
evil, hope overcomes despair”.
Mission School & SMJK
178. Kerajaan Negeri telah mengenalpasti 25 buah
Mission School dan 5 buah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) iaitu SMJK
Chung Hwa dan SMJK Kwang Hua di Klang, SMJK Yu Hua di Kajang, SMJK Yoke Kuan di
Sekinchan dan SMJK Katholik, Petaling Jaya yang belum pernah mendapat sebarang
bantuan pendidikan daripada Kerajaan Negeri. Maka, bagi tahun 2017, Kerajaan
Negeri mencadangkan peruntukan sebanyak RM 1 juta bagi membantu pembangunan
infrastruktur di sekolah-sekolah berkenaan.
Inisiatif Pendidikan Berteknologi
179. Kerajaan Negeri sedar akses kepada pendidikan
adalah hak yang perlu diberikan kepada semua rakyat. Kegagalan dalam pendidikan
boleh membawa kepada natijah putaran ganas kemiskinan. Lantaran itu, kalangan
ibu bapa yang berkemampuan sanggup berbelanja besar untuk menghantar anak-anak
mereka ke pusat-pusat tuisyen bagi memastikan anak-anak mereka mendapat
keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.
180. Maka, Kerajaan Negeri mencadangkan inisiatif
Tuisyen Atas Talian dan beberapa inisiatif pendidikan yang menggunakan internet
dilaksanakan pada tahun 2017 dengan cadangan peruntukan sejumlah RM 5 juta.
Program PROGRESS
181. Program Boot Camp Akademik atau lebih dikenali
sebagai Programme On Graduate Employability Enhancement For Smart Selangor
(PROGRESS) dilaksanakan bagi memastikan graduan di Selangor memiliki
kebolehpasaran dalam aspek soft skills seperti komunikasi, interaksi, keyakinan
diri, pengurusan waktu dan perancangan strategik dalam pekerjaan.
182. PROGRESS telah mencatatkan kemajuan dengan
melatih 100 orang kumpulan perintis mulai April 2016. Daripada kumpulan ini, 73
orang telah mendapat pekerjaan manakala 19 peserta sedang menjalani on-the-job
training.
183. Memandangkan suasana ekonomi negara hari ini
menyumbang kepada pengangguran di kalangan graduan, Kerajaan Negeri melihat
keperluan untuk membesarkan dukungan terhadap program PROGRESS bagi tahun 2017
dengan menaikkan peruntukan daripada RM 1.5 juta kepada RM 5 juta dengan
sasaran 300 peserta. Kerajaan Negeri yakin PROGRESS akan membantu mengurangkan
pengangguran di kalangan graduan.
STRATEGI KEEMPAT : Membingkai Muafakat
Dialog Antara Agama
184. Selangor sebagai sebuah negeri yang rencam dan
kosmopolitan perlu dibingkai dengan muafakat sebagai teras perpaduan dan saling
hormat menghormati satu sama lain. Prinsip Keadilan dan Kesederhanaan
senantiasa diutamakan.
185. Bertolak dari kejayaan menangani isu Al-Kitab,
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengambil langkah untuk menjalin
persefahaman seperti yang dianjurkan oleh Al-Quran dalam Surah al-Hujurat, ayat
13 :
“Wahai umat manusia, sesungguhnya Kami telah
menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu
pelbagai bangsa dan puak supaya kamu berkenal-kenalan…”
186. Pada 14 Jun 2016 yang lalu, JAIS bersama para
imam dan ketua agama Kristian seramai 100 orang telah mengadakan pertemuan
dalam Program Iftar Muslim-Christian Unity.
187. Ini disusuli dengan Unity Interfaith Program
pada 26 Jun 2016 yang melibatkan pertemuan imam-imam dengan 120 pemimpin agama
Kristian, Hindu, Buddha, Sikh dan Tao.
Pembangunan & Pengimarahan Masjid
188. Menginsafi perintah Allah SWT dalam Surah
Muhammad, ayat 7, Kerajaan Negeri meneruskan usaha untuk membangunkan masjid
sebagai pusat ibadat, kerohanian, pendidikan dan kemasyarakatan.
“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela
(agama) Allah nescaya Allah membela kamu dan meneguhkan tapak pendirian kamu.”
189. Justeru itu, institusi masjid dan kegiatan
mengimarahkan masjid perlu disuburkan. JAIS dipertanggungjawabkan untuk
menguruskan hal ehwal Islam secara hikmah, amanah dan berkesan. Bagi menjana
Islam syumul di kalangan ummah, JAIS juga berperanan untuk memberikan
pendidikan agama yang kukuh kepada umat Islam di Negeri Selangor.
190. Prasarana dan kemudahan pendidikan seperti
masjid, surau, sekolah agama, maahad tahfiz dan kompleks Islam harus
diselenggara dengan baik untuk mencipta persekitaran pembelajaran yang kondusif
dan selesa. Untuk maksud itu, Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan sejumlah
RM 128.5 juta bagi tujuan ini disediakan untuk JAIS bagi tahun 2017.
191. Daripada jumlah tersebut, RM 67.4 juta
diperuntukkan untuk pembangunan 11 buah masjid baharu termasuk Masjid Seksyen
24, Shah Alam; Masjid Kampung Klang Gate, Gombak dan Masjid Putra Heights,
Petaling serta membaikpulih masjid di daerah-daerah.
192. Kerajaan Negeri juga mengambil perhatian
tentang keperluan untuk membaikpulih dan menaiktaraf surau-surau dengan
peruntukan berjumlah RM 6.7 juta.
Yayasan Restu
193. Kejayaan Yayasan Restu menampilkan risalah
keindahan Islam telah meletakkan Negeri Selangor, khususnya Shah Alam, dalam
peta estetik dunia Islam dan memberikan nuansa serta warna khas kepada
penghayatan Islam di Nusantara yang berteraskan keadilan, kasih sayang dan
toleransi.
194. Kerajaan Negeri mengiktiraf sumbangan dan
peranan Yayasan Restu. Malah, usaha Yayasan Restu juga telah mendapat perkenan
DYMM Sultan Selangor yang telah mengisytiharkan Kompleks Taman Seni Islam
Selangor dinaiktaraf sebagai Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor. Selaras
dengan pengisytiharan tersebut, Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan
sebanyak RM 800,000 bagi tahun 2017 untuk menampung kos penyelenggaraan
bangunan Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor. Peruntukan ini akan
disalurkan terus melalui peruntukan mengurus JAIS.
Komuniti Sikh
195. Kepelbagaian agama dan kaum adalah keunikan
yang dimiliki oleh Negeri Selangor. Semua kaum diberi perhatian yang seadilnya
dalam aspek kerohanian dan sosio-budaya oleh Kerajaan Negeri termasuk komuniti
Sikh.
196. Justeru, buat julung kalinya Kerajaan Negeri
bercadang untuk memperuntukkan sejumlah RM 500,000 kepada komuniti Sikh di
Selangor mulai tahun 2017 di bawah peruntukan Hal Ehwal Selain Islam bagi
tujuan menambahbaik kemudahan tempat beribadat dan melaksanakan pelbagai
program keagamaan.
Asrama Anak Pekerja Ladang
197. Kerajaan Negeri mahu generasi muda masyarakat
ladang berada dalam arus perdana pembangunan. Anak-anak pekerja ladang perlu
diupayakan supaya mereka mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti dan
suasana pembelajaran dan pengajaran yang lebih kondusif. Justeru itu, Kerajaan
Negeri berhasrat menempatkan anak-anak pekerja ladang ini di sebuah asrama yang
mempunyai kemudahan yang baik dan selesa.
198. Selain daripada pembangunan Sekolah Jenis
Kebangsaan Tamil Ladang Desa Coalfield di Kuala Selangor yang sedang dalam
proses pelaksanaan oleh JKR Negeri Selangor, Kerajaan Negeri juga bercadang
untuk membangunkan sebuah asrama di atas tanah Kerajaan bersebelahan Sekolah
Jenis Kebangsaan Tamil Midlands di Seksyen 7, Shah Alam dengan peruntukan
sejumlah RM 4 juta.
Pengupayaan Usahawan Muda
199. Pembangunan bangsa bersatu padu yang kita idamkan
perlu melibatkan penyertaan aktif semua golongan dalam sektor ekonomi yang
dinamik. Generasi muda India mempunyai potensi besar untuk maju sebagai
usahawan dengan merebut pelbagai peluang perniagaan yang terbuka dalam ekonomi
Selangor yang rancak.
200. Penglibatan mereka dalam bidang perniagaan
akan menjana mobiliti golongan B40, mengurangkan kebergantungan, melebarkan
kemakmuran di kalangan golongan yang selama ini terpinggir dengan memperkasakan
mereka. Mereka perlu diberikan latihan dan pengupayaan untuk membina kepakaran,
memahami persekitaran perniagaan, pemasaran, penyediaan cadangan projek,
pendaftaran syarikat, e-pemasaran, pengurusan kewangan dan lain-lain.
201. Untuk maksud ini, sebanyak RM 1 juta akan
diperuntukkan untuk Program Pembinaan Upaya Usahawan India Selangor atau
Selangor Indian Entrepreneurship and Capacity Building Programme: Towards
Economic Resilience, Empowerment and Upward Mobility.
Wanita & Keluarga
202. Pelbagai inisiatif Kerajaan Negeri adalah
bersifat inklusif gender. Saya mengucapkan tahniah kepada wanita Selangor yang
bersifat proaktif, senantiasa pantas merebut segala peluang untuk memberdayakan
kedudukan sosio-ekonomi hawa.
203. Menerusi program HIJRAH, 63.6 peratus atau
16,209 peserta daripada 25,466 peserta adalah wanita. Penyertaan wanita dalam
program pembangunan usahawan turut diperkukuhkan melalui Pusat Wanita Berdaya
(PWB). Sementara itu, di sektor pendidikan pula, 65 peratus daripada jumlah
penerima Biasiswa Selangorku terdiri daripada pelajar perempuan. Ini membuktikan
Kerajaan Negeri sering memberikan perhatian kepada golongan hawa.
204. Wanita turut menjawat peranan penting dan
strategik dalam pentadbiran dan syarikat negeri. Selangor mempunyai seorang
wanita yang dilantik sebagai Pegawai Daerah dan dua orang Yang Dipertua PBT.
Sementara itu, lima buah agensi negeri adalah dipimpin oleh wanita. Terbaru,
Pengurus Besar dan Timbalan Pengurus Besar PKNS juga dilantik dikalangan wanita
profesional yang berpengalaman dan berwibawa dalam industri hartanah.
Institut Wanita Berdaya
205. Kerajaan Negeri percaya menerusi dasar yang
peduli dan progresif serta penggunaan teknologi, kaum hawa di Negeri Selangor
akan lebih produktif dalam mengemudi persekitaran yang berubah dan semakin
mencabar. Untuk maksud itu, Kerajaan Negeri mencadangkan penubuhan Institut
Wanita Berdaya sebagai badan pemikir atau think tank khusus untuk merencana
dasar dan inisiatif baru yang lebih progresif demi memartabatkan wanita di
Selangor. Penubuhan badan ini dicadangkan dengan peruntukan awal sebanyak RM 1
juta.
206. Kerajaan Negeri juga berhasrat memberdaya kaum
hawa dalam bidang ekonomi, pendidikan dan kerjaya dengan cadangan peruntukan
sejumlah RM 9 juta.
Program Mammogram
207. Pelaksanaan Skim Kesihatan Wanita menerusi
Program Mammogram Selangor telah berjaya memberikan perkhidmatan kepada 22,505
wanita mulai tahun 2008. Sementara Putrajaya menghapuskan peruntukan untuk
program mammogram, Kerajaan Negeri mencadangkan untuk meneruskan program ini
dengan peruntukan RM 1 juta bagi tahun 2017 dan mensasarkan seramai 5,000
wanita akan mendapat perkhidmatan ini.
STRATEGI KELIMA : Memacu Industri Sukan & Pelancongan, Menyemarak
Budaya & Intelektual.
208. Kerajaan Negeri melihat potensi industri
pelancongan di Negeri Selangor yang mampu menjana pendapatan baru dan
memperkenalkan Negeri Selangor ke khalayak dunia. Beberapa lokasi di pantai
barat Selangor mempunyai potensi untuk menarik pelancong termasuk Kelip-Kelip
Kampung Kuantan, Hutan Paya Bakau di Sungai Sepang Besar dan sawah bendang di Sekinchan.
209. Untuk menggarap sepenuhnya potensi industri
pelancongan, Sky Mirror merupakan salah satu produk pelancongan yang sangat
berpotensi. Baru-baru ini, gambar Sky Mirror berhampiran Pulau Angsa, Kuala
Selangor, menjadi viral dalam media sosial.
210. Kawasan sepanjang lima kilometer dan lebarnya
tiga kilometer hanya boleh dilawati dua kali sebulan selama enam (6) hari
setiap kali munculnya anak bulan dan bulan penuh.
211. Ketika kemunculan anak bulan dan bulan penuh
ini, pengunjung berpeluang melihat apa sahaja yang dilihat di atas bumi dan
angkasa raya akan tercermin di atas permukaan air yang bersih dan jernih. Maka,
Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) harus segera meningkatkan kemudahan akses
ke lokasi Sky Mirror bagi menarik lebih ramai pelancong datang ke Negeri
Selangor.
212. Pelbagai produk pelancongan di Sekincan telah
menarik perhatian ribuan pengunjung pada setiap minggu. Memandangkan kawasan
itu merupakan salah satu daerah tumpuan pelancong, maka Kerajaan Negeri
bercadang mewujudkan sebuah Pusat Maklumat Pelancongan.
213. Kegiatan pelancongan yang semakin rancak di
Selangor turut mencipta peluang pekerjaan sebagai pemandu pelancong yang
terlatih. Untuk maksud itu, Tourism Selangor perlu memberdaya perkhidmatan
pemandu pelancong yang benar-benar memahami produk dan lokasi pelancongan di
Selangor.
214. Bagi tahun 2017, Kerajaan Negeri mencadangkan
peruntukan sebanyak RM 7.75 juta untuk industri pelancongan Selangor.
Sports Tourism
215. Pada 8 Mac 2015, saya berjaya menyertai
marathon, International Malaysia Women’s Marathon, salah satu daripada 5
marathon kaum hawa di dunia. Acara seperti ini dan lain-lain acara sukan
seperti Paragliding Championship Accuracy di Bukit Jugra, Viper Challenge dan
Raja Muda Selangor International Regatta merupakan antara acara yang boleh
menarik pelancong.
216. Kerajaan Negeri akan memberikan perhatian
terhadap pelancongan sukan melalui penciptaan dan penganjuran acara yang
menarik penyertaan masyarakat dunia.
217. Bagi tahun hadapan, Kerajaan Negeri bercadang
untuk meluaskan skala program pelancongan sukan dengan penganjuran Selangor
International Eco-Challenge dengan memasukkan acara sukan lain seperti Marathon
Sungai Klang.
Persediaan SUKMA 2018
218. Industri sukan merupakan antara sektor ekonomi
yang mampu mencipta peluang pekerjaan dan pulangan ekonomi kepada negeri.
Sebagai sebuah negeri maju, Selangor harus segera menjadi peneraju pembangunan
industri sukan yang profesional dan mampu bersaing di arena sukan dunia.
219. Negeri Selangor telah melakar kejayaan dalam
Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) kali ke-18 di Sarawak pada bulan Ogos yang
lalu. Selangor meraih 59 pingat emas, 73 perak, 63 gangsa menjadikan jumlah
keseluruhan 195 pingat.
220. Pasukan renang Selangor telah memonopoli acara
renang di SUKMA dan merupakan penyumbang pingat terbanyak buat kontinjen
Selangor dengan meraih 20 pingat emas, 15 perak dan 9 gangsa.
221. Kejuaraan tersebut adalah hasil daripada
perancangan yang strategik, latihan yang bersepadu, tenaga jurulatih yang
mahir, kerjasama yang baik dengan persatuan-persatuan sukan serta para pegawai
yang mempunyai visi untuk memartabatkan industri sukan Negeri Selangor.
222. Kesinambungan daripada kejuaraan SUKMA yang
lalu, Majlis Sukan Negeri telah merangka fasa-fasa latihan sebagai persediaan
awal menuju SUKMA ke-19 di Negeri Perak pada tahun 2018. Untuk program latihan
yang akan bermula seawal tahun 2017, Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan
sejumlah RM 3.35 juta.
Insentif Atlet Paralimpik
223. Negara melonjak gembira dengan pencapaian
cemerlang anak Selangor dari Gombak, Muhammad Ziyad Bin Zolkefli, yang telah
merangkul pingat emas dalam acara lontar peluru di Sukan Paralimpik Rio, Brazil
2016. Negara juga berbangga kerana Ziyad telah memecah rekod dunia dalam acara
tersebut. Sebagai mengiktiraf kejayaan Ziyad, Kerajaan Negeri dan rakyat
Selangor menyambutnya dengan insentif tunai sebanyak RM 150,000 dan sebuah
rumah bernilai RM 400,000.
224. Sesungguhnya, kejayaan yang dicatatkan ini
membuktikan bahawa atlet Selangor berpotensi untuk bersaing dan berjaya di
arena antarabangsa. Maka sebagai rangsangan kepada cita-cita ini, Kerajaan
Negeri mencadangkan sejumlah RM 14 juta bagi 2017 khusus untuk menaiktaraf
infrastruktur sukan sedia ada serta program pembangunan sukan di bawah Majlis
Sukan Negeri Selangor (MSNS).
Kejohanan Le Tour de Selangor
225. Negeri Selangor berhasrat untuk menganjurkan
Kejohanan Le Tour de Selangor pada tahun 2017 dengan kerjasama Persatuan
Berbasikal Malaysia dan Persatuan Berbasikal Selangor.
226. Kejohanan yang akan melibatkan peserta dari
negara-negara jiran dan antarabangsa ini akan merentasi semua daerah di Negeri
Selangor. Ini sekaligus dapat mempromosikan produk-produk pelancongan setiap
daerah dan memupuk perpaduan rakyat pelbagai kaum. Kerajaan Negeri mencadangkan
peruntukan sebanyak RM 2 juta untuk tujuan penganjuran kejohanan Le Tour de
Selangor.
Taman Tasik Shah Alam
227. Taman Tasik Shah Alam merupakan mercu tanda
Bandaraya Shah Alam sebagai Ibu Negeri Selangor. Taman ini telah mula dibina
pada tahun 1981 dan siap sepenuhnya pada tahun 1985. Taman ini adalah hasil
cetusan idea Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj sempena 25 tahun
pemerintahan Baginda.
228. Taman Tasik yang dibangunkan oleh PKNS dan
direkabentuk oleh Mr. Fumiaki Takano dengan mengambil konsep dan rekabentuk
Tasik Hakone, Jepun ini terdiri daripada 3 rangkaian tasik buatan: Tasik Barat
(62.6 ekar), Tasik Tengah (29.2 ekar) dan Tasik Timur (36 ekar) yang meliputi
kawasan seluas 127.8 ekar.
229. Kewujudan Taman Tasik ini memberi kemudahan
rekreasi bukan sahaja kepada masyarakat Shah Alam tetapi juga pengunjung dari
luar. Namun begitu, Kerajaan Negeri memandang serius usaha penyelenggaraan dan
pembaikpulihan Taman Tasik Shah Alam. Untuk maksud itu, MBSA
dipertanggungjawabkan untuk menyegerakan kerja-kerja menaiktaraf dan
pengindahan estetika di Taman Tasik Shah Alam.
230. MBSA juga disarankan untuk memulakan Hari
Tanpa Kenderaan sebagai salah satu usaha awal mengurangkan pelepasan karbon di
Bandaraya Shah Alam selari dengan Inisiatif Hijau Shah Alam.
Taman Persahabatan Selangor-Jepun
231. Hubungan simbiotik dengan para pelabur asing
selama lebih dari tiga dekad telah menjadikan Negeri Selangor sebagai gedung
kuasa ekonomi negara. Komuniti dan pelabur-pelabur Jepun telah sekian lama
setia kekal menjadikan Selangor sebagai salah satu destinasi pelaburan dan
rumah kedua mereka.
232. Untuk menghargai sumbangan besar masyarakat
Jepun kepada pertumbuhan ekonomi negeri, Kerajaan Negeri ingin mencadangkan
pembinaan sebuah taman di Shah Alam yang akan memperkenalkan ciri-ciri estetika
Jepun yang akan dinamakan sebagai Taman Persahabatan Selangor-Jepun. Taman
tersebut merupakan simbol kepada kerjasama dua hala dalam bidang ekonomi dan
kebudayaan.
Kebudayaan & Projek Pencerahan Selangor
233. Kebudayaan bukan sahaja sendi negeri ini yang
sedang giat membangunkan ekonomi, namun ianya juga adalah ruh dan paras rupa
bangsa. Di saat Selangor bergerak pantas untuk menjadikan negeri ini sebagai
negeri serantau terutama dalam sektor ekonomi, iltizam tersebut juga harus
disertakan dengan pemantapan sektor kebudayaan.
234. Selangor hari ini sudah bersiap siaga untuk
memainkan peranan lebih besar. Untuk maksud itu, Kerajaan Negeri akan
menganjurkan sebuah Festival Bahasa dan Persuratan Melayu Serantau pada tahun
2017 dengan penglibatan semua genre sastera dan persuratan Melayu.
235. Kerajaan Negeri juga akan meneruskan Projek
Pencerahan Selangor dengan menterjemah karya agung ke dalam Bahasa Melayu yang
akan meningkatkan korpus buku-buku bernilai tinggi ke dalam Bahasa Melayu.
236. Untuk maksud kebudayaan dan Projek Pencerahan
Selangor, Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan sejumlah RM 5 juta.
F. PENUTUP
Persempadanan Semula Kawasan Pilihan Raya
237. Sebagai sebuah negara demokratik, kita harus
menghormati keluhuran Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan Negeri berpendirian
bahawa Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi
Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah pada 15 September 2016 khususnya berkaitan
dengan Negeri Selangor oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) adalah
bercanggah dengan prinsip-prinsip yang ditetapkan di bawah para 2 Jadual Ketiga
Belas Perlembagaan Persekutuan.
238. Kerajaan Negeri berpendirian bahawa penyisihan
pengundi dari kawasan mereka tanpa alasan yang sah adalah satu penafian hak ke
atas rakyat kepada wakil-wakil dan perwakilan pilihan mereka.
239. Justeru itu, Kerajaan Negeri tidak akan
berganjak dengan pendirian untuk menggunakan ruang perlembagaan melalui proses
perundangan bagi membantah cadangan SPR ini. Kita tidak mahu SPR menjadi alat
untuk mempertahankan kepentingan penguasa.
Pengupayaan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
240. Kerajaan Negeri amat menghargai peranan dan
pengorbanan anggota keselamatan khususnya veteran Angkatan Tentera Malaysia
(ATM). Kerajaan Negeri mengambil maklum bahawa daripada sejumlah 378,274 orang
bekas tentera di seluruh negara, seramai 263,494 orang merupakan veteran
angkatan tentera yang tidak berpencen.
241. Untuk maksud melindungi dan memelihara
kebajikan lebih 28,000 veteran angkatan tentera yang bermastautin di Negeri
Selangor, Kerajaan Negeri mencadangkan sejumlah RM 1 juta diperuntukkan bagi
tujuan program kemasyarakatan dan kebajikan veteran angkatan tentera termasuk
membantu keperluan perubatan dan kebajikan 89 orang veteran cedera perang di
Negeri Selangor. Sebanyak RM 500,000 akan diperuntukkan terus ke dalam Tabung
Pahlawan ATM.
242. Nilai pasaran hartanah yang terus melambung
tinggi menyebabkan ramai di kalangan warga veteran tentera tidak mampu memiliki
sebuah kediaman yang selesa untuk keluarga. Maka, LPHS telah menetapkan kuota
10 peratus pemilikan Rumah Selangorku dengan harga jualan tidak lebih daripada
RM 250,000 untuk ditawarkan kepada pesara tentera, polis dan pasukan beruniform
berkuatkuasa 1 September 2016.
Pengecualian Cukai Taksiran
243. Salah satu inisiatif peduli Kerajaan Negeri
untuk menyantuni pemilik rumah kos rendah serta penduduk kampung tradisi,
kampung baru dan kampung bagan pada tahun 2016 adalah dengan mengecualikan
cukai taksiran. Peniaga-peniaga kecil juga senantiasa mendapat perhatian
daripada Kerajaan Negeri dengan menikmati pengecualian fi lesen perniagaan pada
tahun 2016. Kedua-dua inisiatif ini memberi impak kewangan kepada Kerajaan
Negeri sebanyak RM 62 juta.
244. Memandangkan rakyat masih dihisap darah mereka
melalui pelaksanaan cukai GST dan Bajet 2017 Putrajaya yang mengikat perut
rakyat, maka pada tahun 2017, Kerajaan Negeri terpanggil untuk meneruskan
program pengecualian cukai taksiran dan fi lesen perniagaan bagi kumpulan sasar
yang sama. Kerajaan Negeri meminta semua PBT mengambil tindakan awal bagi
memastikan pengecualian ini dilaksanakan serta merta mulai 1 Januari 2017.
Imam Pemangkin Pembangunan Ummah
245. Sejajar dengan arus perkembangan zaman,
peranan imam bukan hanya memimpin ibadat di masjid dan surau tetapi merangkumi
aspek pembangunan ummah seperti pendidikan, kemasyarakatan dan kebajikan.
Menyedari tanggungjawab imam yang semakin mencabar, elaun imam telah dinaikkan
kepada RM 900 mulai tahun 2015 sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri
terhadap imam-imam di seluruh Negeri Selangor.
246. Menyedari iltizam imam-imam untuk terus
mengimarah institusi masjid sebagai wahana memberdaya ummah, maka mulai Januari
2017, Kerajaan Negeri bercadang untuk memberikan elaun tambahan sebanyak RM 300
sebulan menjadikan jumlah elaun bulanan imam sebanyak RM 1,300. Seramai 734
orang imam akan menerima manfaat ini dengan peruntukan sejumlah RM 3.96 juta.
Ketua Kampung Agen Perubahan
247. Kerajaan Negeri amat prihatin dengan peranan
dan tanggungjawab yang digalas oleh 368 orang Ketua Kampung Tradisi dan 78
orang Ketua Kampung Baru dan Kampung Bagan. Ketua Kampung merupakan pemimpin
akar umbi yang dekat dengan denyut nadi rakyat dalam membantu memperjelaskan
dasar-dasar Kerajaan Negeri, memupuk perpaduan dan keharmonian masyarakat desa.
Justeru, sebagai menghargai khidmat bakti Ketua-Ketua Kampung Tradisi, Kampung
Baru dan Kampung Bagan, Kerajaan Negeri mencadangkan kenaikan elaun Ketua
Kampung sebanyak RM 300 kepada RM 1,200 sebulan melibatkan peruntukan sebanyak
RM 6.4 juta. Kerajaan Negeri juga mencadangkan kenaikan elaun Ketua Komuniti
India sebanyak RM 200.
Pemerkasaan Perkhidmatan Ahli Dewan Negeri
248. Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, kita berada
di dewan ini kerana demokrasi.
Kalau
tidak kerana hayat,
Tidak
usia memanjat dini;
Kalau
tidak kerana rakyat,
Tidak
kita berada di sini.
249. Peruntukan Ahli Dewan Negeri telah disemak
beberapa kali untuk meningkatkan sistem penyampaian kepada rakyat. Pada tahun
2016, Ahli Dewan Negeri Kerajaan diperuntukkan sejumlah RM 700,000 setahun
untuk menjalankan projek-projek kecil bagi meningkatkan infrastruktur awam serta
menjalankan aktiviti mesra rakyat di kawasan masing-masing. Manakala, Ahli
Dewan Negeri Pembangkang menikmati peruntukan sebanyak RM 200,000 setahun.
250. Untuk Belanjawan 2017, saya ingin mencadangkan
peruntukan Ahli Dewan Negeri Kerajaan dinaikkan kepada RM 800,000 setahun.
251. Kerajaan Negeri akan meneruskan peruntukan
untuk Ahli-Ahli Parlimen Kerajaan Negeri Selangor sejumlah RM 300,000 setahun.
Penjawat Awam Tulang Belakang Pentadbiran
252. Setiap manusia mempunyai tulang belakang.
Tulang belakang yang kuat membolehkan kita berdiri tegak dan gagah serta
berlari pantas. Penjawat awam merupakan tulang belakang pentadbiran negeri.
253. Kerajaan Negeri Selangor bersyukur dan bertuah
kerana mempunyai pasukan penjawat awam yang kuat, profesional dan berintegriti.
Di bawah pimpinan YB Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, pegawai-pegawai pantas
bekerja, belum dipanggil sudah datang, belum suruh sudah dibuat. YB Dato’
Pegawai Kewangan Negeri, asyik membelek buku kira-kira, memerah otak untuk
menambah hasil negeri dan memerangi ketirisan.
254. Dato’ Bandar dan Yang Di-Pertua Majlis Daerah
turun ke lapangan, bergeser bahu dengan rakyat, merayau-rayau di sepanjang
jalan, kalau-kalau ada jalan berlubang; mengintai-intai lorong, kalau-kalau ada
sampah yang tidak dipungut. Pegawai Daerah memerah keringat dan membanting
tulang memungut hasil negeri dan menyantuni rakyat dengan kasih sayang.
Kerajaan Negeri tidak pernah lupa sumbangan dan kerjasama jabatan dan agensi
Kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri dalam membangun Negeri Selangor.
Inilah tulang belakang pentadbiran negeri. Walhasil, tahap kepuasan rakyat
terhadap prestasi Kerajaan Negeri melonjak kepada 73 peratus.
255. Sebagai menghargai kejayaan ini, Kerajaan
Negeri bersetuju memberikan bantuan khas kewangan sebanyak dua bulan gaji.
Pembayaran sebanyak satu setengah bulan telah pun dilakukan pada 1 Julai 2016
yang lalu. Untuk melengkapi bantuan khas kewangan tersebut, setengah bulan lagi
akan dibayar pada 20 Disember 2016 untuk membantu penjawat awam membuat
persediaan persekolahan anak-anak.
256. Pembayaran bantuan khas kewangan dua bulan
gaji memberi implikasi kewangan kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM 57.25 juta.
Barang diingat, pembayaran ini menggunakan peruntukan tahun ini, dan dibayar
tahun ini.
Tuan Speaker,
257. Tahun 2017 kita mengemukakan perbelanjaan yang
berhemah. Kita tidak mengikat perut rakyat. Kita berbelanja tetapi dalam
berbelanja, kita mengutamakan pembangunan. Jika kita tidak mengutamakan
pembangunan, tanah air dan bangsa ini tidak akan punya masa hadapan.
258. Tatkala saya mengambilalih pentadbiran negeri
pada bulan September 2014, peruntukan pembangunan berada pada tahap 36.7
peratus. Peruntukan pembangunan 2015 ditambah kepada 48 peratus dan
ditingkatkan lagi kepada 50 peratus untuk tahun 2016. Kita perlu mengambil
keputusan yang berani untuk Selangor terus maju, mengekalkan diri sebagai
negeri peneraju di Malaysia dan menjadi sebuah negeri yang berdaya saing dengan
wilayah-wilayah di rantau ini.
259. Mengungkap kata-kata Brutus dalam drama Julius
Caesar karangan William Shakespeare:
There
is a tide in the affairs of man.
Which,
taken at the flood, leads on to fortune;
Omitted,
all the voyage of their life
Is
bound in shallows and in miseries.
On such
a full sea are we now afloat,
And we
must take the current when it serves,
Or lose
our ventures.
260. Rizab negeri yang kini mencecah RM 3.6 bilion
adalah ibarat air pasang yang dibayangkan oleh Shakespeare. Maka, kita jangan
teragak-agak dan lengah untuk mengangkat sauh dan mengembangkan layar, meluncur
kapal negeri sebagai sebuah smart state dan negeri serantau.
261. Para pelabur suka melabuh di Selangor kerana
pentadbiran negeri ini ibarat air jernih, bila dilihat nampak terus ke
dasarnya. Tidak ada kekeruhan yang menutup onak dan duri rasuah dan korupsi.
Bukan sahaja syarikat gergasi yakin melabur di Selangor, peniaga kecil terus
diupaya dan dipimpin.
262. 987 orang peneroka Rancangan Revolusi Hijau
Peringkat II dan III di Ijok bergembira mendapat kediaman baru yang selesa
ekoran kejayaan Kerajaan Negeri memulihkan dan menyiapkan projek tersebut
bersama syarikat swasta.
263. Model kejayaan Selangor dalam memacu
pertumbuhan bersekali menjamin integriti dalam pentadbiran telah menggamit
pelabur-pelabur asing dan pemimpin dunia datang ke Selangor dan menjalin
kerjasama ekonomi. Pemimpin Singapura minat bicara soal keselamatan rantau di
Laut China Selatan. Saudagar Jepun petah bicara peluang pelaburan. Pemimpin
Britain tertarik dengan kecekapan pentadbiran. Pemimpin dunia melihat Selangor
sebagai model kejayaan dan terus menjadi tumpuan. Alhamdulillah.
264. Kejayaan kita mula dicemburui oleh gerombolan
perasuah dan anti kesejahteraan rakyat. Mereka menabur fitnah, merekayasa
tohmahan dan memesong fakta. Kita akan lawan segala petualang, kelapa komeng
dan pencemburu yang sakit hati.
265. Kita akan lawan dengan pencerahan, demokrasi
dan suara rakyat. Kita akan lawan sebarang dakyah yang berniat untuk
melunturkan kuasa rakyat dan menodai demokrasi. Kita mendampingi BERSIH kerana
BERSIH adalah sifat-sifat yang mulia dan terpuji. Kita akan terus menjamin hak
demokrasi rakyat.
266. Kita menyeru kepada perpaduan, kita bekerja
untuk kesentosaan dan kita berazam untuk keadilan.
Kain
tekat sultan perkasa,
Maharani
cantik di dalam taman;
Negeri
molek rakyat sentosa,
Pemimpin
adil dikenang zaman.
Tuan Speaker, saya mohon mencadangkan.