Sunday, August 4, 2013

Zaharuddin Muhammad a.k.a Ustaz Din Tok Guru Yang Ku kenali

Petikan daripada tulisan Dr Atiullah, Pensyarah UPSI. 

Teringat saya ketika di Tanta, Mesir. Bumi yang subur dengan cendikiawan dan ulama tersohor. Tak putus Tanta melahirkan ulama yang terkenal yang antaranya Syeikh Ali al-Jawhariy al-Tantawi dan Dr Yusof al-Qardhawi. Di bumi ini jugalah sempatku kenali Zaharuddin Muhammad a.k.a. Ustaz Din Tok Guru (DTG). Ustaz Din Tok Guru ini sebenarnya gelaran oleh pelajar Malaysia di Kubri Qahafah dan Subarbay, Tanta. 

Gelaran ini diberikan kepadanya adalah kerana keilmuan dan peranannya di dalam membuka kitab-kitab turath di Markaz Tanta, seperti kitab Al-Asybah wa An-Nazoir, Waraqat dan kitab usul yang paling sukar difahami iaitu kitab Al-Minhaj karangan Imam Baidhawi. Keilmuannya di kalangan kami tidak disangkal kerana mampu mengajar kitab-kitab tersebut, justeru itu beliau menjadi tempat rujukan pelajar-pelajar di sana. Sebab itu kami di Tanta memanggilnya Ustaz Din Tok Guru. 

Selain menjadi best student dikalangan pelajar malaysia Tanta pada setiap tahun, kecemerlangannya di dalam bidang akademik terbukti apabila beliau menjadi "best student" di peringkat pelajar asing (waafidin) pada tahun 2007 dimana beliau mendapat kurang 7 markah untuk mencapai tahap Mumtaz, satu keputusan yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana pelajar waafidin (pelajar bukan Mesir) sebelum ini. Di atas kecemerlangan ini, beliau mendapat anugerah Al-Fanjari dengan diberikan biasiswa bulanan. Pelajar waafidin kerana silibus mereka khususnya Al-Quran adalah berbeza dengan pelajar Al-Azhar dari Mesir. 

 Seusai menerima ijazah Sarjana Muda, saya berhijrah ke kota Kaherah dengan niat menyambung pelajaran di peringkat ijazah di Fakulti Darul Ulum, di sini tempat saya menjadi rapat dengan DTG dan beberapa orang sahabat yang lain. Saya juga menyewa di Asrama Malaysia Abbasiyyah (ARMA) yang turut disewa oleh DTG. Hubungan kami semakin rapat dan saya cukup teruja dengan beberapa siri penyampaian DTG mengenai sistem ekonomi dan kewangan Islam. Topik paling menarik perhatian adalah mengenai waranti produk yang merupakan perbincangan segar dan semasa pada waktu itu. Sememangnya kemasukan beliau ke Universiti Kaherah di dalam bidang Shariah adalah sesuatu yang special. 

Pada waktu itu, zaman Al-Marhum Dr. Baltaji kemasukan ke jabatan Syariah agak ketat dengan mensyaratkan pencapaian Jayyid Jiddan hampir setiap tahun, satu pencapaian yang sangat jarang dicapai oleh Pelajar Malaysia pada waktu itu. Beliau dengan beberapa orang sahabat, kalau tak silap saya terdapat 7 orang yang telah memohon untuk menyambung pengajian di situ. Akhirnya yang diterima masuk hanya DTG seorang sahaja daripada pemohon pelajar-pelajar Malaysia. 

 Pada tahap penulisan tesis, kami jarang berjumpa. Pada tahap ini, saya kembali ke Tanta atas sebab mengambil peluang pengajian hadis Sahih Muslim. Saya mendapat tahu DTG pula menumpukan pengajian kitab "Al-Bayan" karangan Imam Imrani dengan tok guru arab, kitab setaraf Al-Majmuk didalam mazhab Syafei. Namun, kami tetap berbeza. DTG sentiasa nampak berwibawa dengan keperibadian Tok Guru tetapi saya pula kekal dengan keperibadian seorang pelajar yang masih menadah ilmu. Dalam tempoh setahun penulisan tesis, saya cukup kagumi DTG kerana beliau sibuk dengan ceramah, pembentangan dan kajian-kajian ilmiah. Hidup beliau bagaikan disendat dengan ilmu. 

Ketika ini juga, saya mendapat tahu beliau adalah menantu kepada Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Menteri Besar Terengganu pada waktu itu melalui laman-laman web. Sekalipun saya rapat dengan beliau dan saya tahu dia sudah bertunang, tetapi sepatahpun beliau tidak pernah menceritakan dengan siapa dia bertunang sehinggalah rahsia ini diketahui selepas banyak laman web menceritakan Tuan Guru Haji Hadi, Menteri Besar Terengganu dapat menantu pertama, iaitu DTG. Itulah humblenya DTG. 

 Saya pernah bertanya, bagaimana DTG dan anak TGHA dijodohkan? Beliau menjawab, saya serah kepada orang tua untuk cari sesiapa sahaja yang sesuai dan akhirnya bertemu jodoh dengan anak TGHH. Ini semua kerja orang tua, jawab beliau ringkas. 

 Yang paling menarik ialah kisah sewaktu beliau menguruskan urusan-urusan perkahwinan. Oleh kerana DTG pulang lewat dari Mesir dan tarikh perkahwinan sudah diaturkan berpandukan kepada tarikh kosong TGHH sebagai Menteri Besar, maka beliau memerlukan kelulusan Qadhi daerah untuk menghadiri kursus perkahwinan selepas akad. Kebiasaan mana-mana orang besar seperti MB dan keluarga, urusan-urusan remeh temeh seperti ini biasanya akan diuruskan oleh PA kepada MB kerana Qadhi daerah adalah dibawah kuasa MB. Tetapi DTG tidak menggunakan kemudahan itu, bahkan beliau pergi sendiri ke pejabat Qadhi sebagai orang biasa, berpakaian serba humble, beratur sebagaimana orang lain sekalipun beliau adalah menantu MB pada waktu itu. 

Setelah sampai giliran beliau, Qadhi sambil lalu berkata (tanpa memandang muka) supaya datang esok kerana beliau sibuk dan meminta supaya DTG meninggalkan borang2 berkenaan kepada keraninya. Apabila beliau datang keesokan pagi, beliau terus di minta masuk tanpa beratur seperti semalam. Rupa-rupanya Qadhi agak ragu melihat nama TGHH / Menteri Besar sebagai bakal mertua DTG di dalam borang perkahwinan. Qadhi melihatnya ke atas dan ke bawah, dan bertanya "betul ke awak nak kahwin dengan anak MB?" Qadhi itu seolah-oleh tidak percaya kerana pakaian yang sangat humble, berbaju t shirt, berseluar trek dan berselipar jepun dan ditulis di atas borang permohonan bahawa ayah DTG seorang petani. Akhirnya Qadhi itu yakin dan mengakhiri kata-katanya: "Tak sangka TGHH boleh bermenantukan orang biasa anak petani seperti awak". 

 DTG menceritakan perkara ini kepada saya pada waktu itu sebagai melahirkan kekesalan beliau terhadap sesetengah pegawai dan kakitangan kerajaan yang memilih bulu ketika menjalankan tugas mereka. Saya berpeluang bertemu kembali DTG apabila bermula penulisan tesis PhD. Kali ini, saya dan DTG sudah mempunyai perbezaan yang ketara. Pencapaian, peranan dan kedudukan yang jikalau dibandingkan kami bak langit dan bumi. Beliau dikenali sebagai pakar ekonomi dan menjawat jawatan penasihat di beberapa institusi kewangan terkemuka seperti HSBC Amanah Takaful dan lain-lain. Malah beliau juga mendapat kedudukan dalam Parti Islam Se-Malaysia sebagai anggota Majlis Syura Ulama. Kedudukan sebagai anggota Majlis Syura Ulama adalah sejarah paling besar dari kalangan sejarah sahabat-sahabat yang saya kenali. 

Beliau di lantik bukan kerana kapasitinya sebagai menantu kepada TGHH. Bahkan beliau dilantik oleh Dr. Harun Din pada peringkat awalnya sebagai penyelidik Majlis Syura Ulama selepas Dr. Harun Din berpuas hati dengan kertas-kertas kajian DTG seperti kertas "Pengurusan Tanah Dalam Islam dan Bahayanya Lease Hold kepada masa depan rakyat" dan lain-lain kertas kerja. 

Pada waktu itu, Dr. Harun Din tidak mengetahui yang beliau adalah menantu TGHH sehingga bertahun selepas itu. Itu sememangnya sikap DTG yang saya kenal sejak di Mesir lagi, menyembunyikan identitinya dan humble. Penceritaan pendek ini adalah beberapa cebisan memori saya mengenai Zaharuddin Muhammad a.k.a Din Tok Guru, seorang sahabat yang disegani semenjak bertemu dengannya. Fokus penceritaan saya di sini hanya sebagai pencetus semangat untuk para sahabat yang mengenalinya. Saya dapat melihat keupayaan DTG melangkaui sahabat-sahabat sezamannya. Harapan saya agar persahabatan kami berkekalan dan mendapat keredhaan Allah. Muhammad Atiullah Pensyarah UPSI