Monday, July 12, 2010

Retreat sahkan sokongan Melayu kekal kepada PAS

Sumber:Nazri Abdullah, harakahdaily.net

KUALA LUMPUR, 12 Julai: Pemukiman tiga hari PAS bermula Jumaat hingga Ahad lalu di Port Dickson merumuskan parti itu tidak mengalami penurunan sokongan Melayu seperti yang didakwa pihak tertentu.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata berdasarkan analisis yang dibuat, sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 1995 sehingga PRU 2008, undi Melayu terhadap PAS konsisten dan menyaksikan sedikit peningkatan.


"Pada PRU 1995 undi Melayu kepada PAS sekitar 38 hingga 40 peratus, 1999 kita mendapat lonjakan sehingga 55 peratus ekoran isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari kabinet.

"Pada PRU tahun 2008, sokongan Melayu terhadap PAS antara 42 hingga 46 peratus.

"Ini membuktikan bahawa PAS tidak kehilangan pengundi teras Melayu selama ini," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menolak dakwaan pihak tertentu bahawa PAS mengalami kemerosotan sokongan Melayu ekoran kerjasama parti itu dalam Pakatan Rakyat.

Dakwaan itu dibuat ekoran serangan hebat terhadap PAS oleh Umno ketika parti itu berusaha untuk mengekalkan kedudukannya walaupun sokongan untuk rakan-rakannya dalam BN hilang.

Dalam pilihan raya 2008, sokongan pengundi luar bandar kepada PAS tidak tinggi bukannya kerana mereka Melayu tetapi kerana maklumat dari PAS dan rakan-rakannya tidak sampai kepada mereka.

Mengulas lanjut Mahfuz berkata, PAS memperoleh 45 peratus sokongan Melayu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gantang sewaktu Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin menjadi calon.

"Itu tidak termasuk sokongan Melayu di Kelantan, kalau diambil kira Kelantan, sokongan Melayu lagi la tinggi," tambahnya lagi.

Pemukiman hujung minggu lalu itu disertai ahli Majlis Syura PAS serta Presiden dan AJK PAS pusat yang lain.

Ianya antara lain bagi merangka persedian PAS menghadapi PRU ke-13.

Dalam pada itu retreat tersebut juga merumuskan bahawa yang menghakis kepentingan Melayu seperti termaktub dalam perkara 153 Perlembagaan adalah Umno BN.

Menurutnya, isu memperkenal Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dan isu penukaran sistem kemasukan ke IPT dari kuota ke meritokrasi antara contoh penghakisan hak Melayu oleh Umno BN.

Sehubungan itu jelasnya, atas sebab itu PAS juga memutuskan akan memulakan usaha lebih konstruktif melindungi hak orang Melayu yang termaktub dalam perlembagaan tanpa menafikan hak kaum-kaum lain sebagai warga negara Malaysia.

"Teras kita adalah keadilan kepada siapa yang berhak.

"Semua parti dalam Pakatan Rakyat pada konvensyen lalu sebulat suara telah bersetuju mempertahan apa sahaja yang termaktub dalam perlembagaan," katanya.

Saturday, July 3, 2010

Kerana cintakan ilmu, Nik Razi bergerak ke serata masjid

RAWANG, 2 Julai: Umurnya sudah 65 tahun. Namun kerana kecintaannya kepada ilmu dan pendidikan dia pergi ke serata masjid dan surau untuk mengajar agama sambil mengumpul sumbangan orang ramai untuk pembinaan sebuah pusat pendidikannya sendiri.

Itulah Ustaz Nik Razi Nik Mat, adik bongsu kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Nik Aziz adalah anak kedua dari lima adik beradik itu.

Malam tadi, sebagaimana bulan-bulan sebelum ini, Nik Razi, bekas pensyarah pendidikan Islam UITM itu memberikan kuliahnya di Surau As Siddiqin, Bandar Tasik Puteri dekat sini.

(Gambar: Nik Razi (kiri) memberikan kad sumbangan derma kepada salah seorang jamaah surau As Siddiqin malam tadi)

Selepas sahaja selesai kuliah maghrib itu, beliau mengeluarkan sekotak kad nama yang beliau namakan kad ANB iaitu singkatan kepada Akademi Nun Berhad.

Kad itu mengandungi nombor akaun bank serta nama dan alamat akademi pendidikan yang beliau mahu tubuhkan. Melalui kad itu, beliau memohon sumbangan orang ramai untuk membantu beliau mendirikan sekolahnya.

"Sekarang ini sudah kumpul setengah juta (ringgit), kami perlukan satu setengah juta lagi untuk menyiapkan sekolah ini," kata Nik Razi ketika memberikan penerangan tentang sekolah yang menjadi idamannya sebaik sahaja selesai kuliah.

Sekolah yang dinamakan Maahad Tahfiz ICT Nikmatillah yang terletak di Pulau Melaka akan dibina di atas tanah seluas enam ekar berhampiran dengan Maahad Darul Anwar yang kini terletak di sebelah rumah Nik Aziz.

Beliau jangka, persekolahan boleh dimulakan pada tahun 2012 dengan mensasarkan 300 pelajar untuk kumpulan pertama.

Sekolah ini, sebagaimana sekolah agama lain akan membolehkan pelajarnya mengambil peperiksaan SPM dan STAM. Namun, asas agama akan diberikan secukupnya untuk membolehkan para pelajar yang tamat dari sini menjadi pendakwah yang hebat.

Kerana cintakan ilmu, Nik Razi semasa mudanya telah mengembara ke seluruh dunia mencari ilmu termasuklah pusat ilmu Islam iaitu Mesir dan Pakistan serta India. Beliau kini memiliki master dalam pengajian Islam.

Setelah sekian lama menjadi pensyarah di UITM, Nik Razi mengambil pencen pilihan pada tahun 1994 lalu. Selepas pencen, beliau menjadi mudir kepada Maahad Muhammadi (Lelaki) iaitu sebuah sekolah agama terkenal di Kota Bharu.

Selepas tiga tahun kontrak di situ, beliau bertugas di Pondok Moden Kandis sebagai pensyarah kontrak sehingga kini.

Kerana kecintaannya kepada ilmu dan mahu memberikan ilmu yang terbaik itulah Nik Razi bergerak ke segenap surau dan masjid untuk mengumpulkan sumbangan orang ramai bagi merealisasikan cita-citanya itu.

Di samping mengumpulkan sumbangan melalui kupon-kupon khas, beliau juga menjual pelbagai jenis barangan khasnya dari Kelantan termasuk serunding daging untuk tujuan yang sama selepas beliau memberikan kuliah.

"Kalau tak habis barangan itu, saya tidak akan datang lagi mengajar kat surau bulan depan," kata Nik Razi sambil tersenyum bergurau dengan murid-muridnya.

(Gambar: Sebahagian bahan jualan yang dibawa Nik Razi. Keuntungannya digunakan untuk membina sekolah idamannya)

Ketika ditanya Harakahdaily, apakah beliau tidak mendapat bantuan dari kerajaan negeri untuk pembinaan sekolah ini, kerana menteri besarnya adalah abang beliau sendiri, sambil tersenyum Nik Razi berkata:

"Adalah minta tetapi dia (Nik Aziz) kata, kalau beri, nanti orang lain pun akan minta juga. Jadi kena usaha sendiri." Bagi sesetengah pihak, tindakan Nik Aziz ini adalah kerana beliau tidak mahu menampakkan keluarga beliau mengambil kesempatan dengan kedudukan mereka.

Kepada pembaca yang sudi membantu Nik Razi mencapai cita-citanya, bolehlah memberikan sumbangan ke Mayban no akaun 153038986011.

Cek pula boleh ditulis atas nama Dana Modal Kewangan Ain no akaun BIMB Kota Bharu 03036010004548. Untuk sumber wang riba atau interest dan shubhat masukkan ke akaun BIMB 03018020377202.

Himpunan Tak Nak Judi 3 Julai 2010

KUALA LUMPUR, 3 Julai: Lebih 3 000 membanjiri perkarangan masjid negara hari ini bagi menyatakan bantahan tak nak judi kepada kerajaan.

Berucap di perhimpunan tersebut Pengerusi GMJ Cikgu Azmi bin Abd Hamid, Setiausaha Suhaizan Kayat dan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nasruddin Hasan.

Pada himpunan itu juga turut dilancarkan kempen Tak Nak Judi dan buku Tak Nak Judi.

Gerakan Membantah Judi juga tidak akan berkompromi dengan segala bentuk judi yang melibatkan kanak-kanak dan belia sebelum ianya membarah dalam masyarakat.

Azmi berkata, lesen berkaitan judi meliabatkan golongan berkenaan mesti dihentikan serta-merta.

"Ada pun judi yang melibatkan kanak-kanak dan belia, yang itu memang sama sekali kita tidak ada kompromi.

"Sudah sampai masanya generasi muda mesti dibersihkan daripada judi dan sebarang lesen yang berkaitan judi yang membolehkan kanak-anak dan belia terlibat dengan judi, kita mesti hentikan serta merta tanpa kompromi kerana kanak-kanak tidak tahu apa-apa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ringkas selepas selesai merasmikan perhimpunan Tak Nak Judi di perkarangan Masjid Negara petang tadi.

Beliau yang juga presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) turut berkata, pihak GMJ membuat keputusan meneruskan kempen Tak Nak Judi itu untuk memberikan kesedaran secara serius kepada masyarakat tentang bahana judi.

"Kita buat keputusan kempen ini penting kerana kita nak menyebarkan kesedaran yang serius dan bersungguh bahawa judi ini tidak bermanfaat sama sekali baik dari sudut ekonomi, sosial, dan keluarga," katanya.

Justeru katanya, kempen berkenaan yang secara rasminya bermula hari ini akan berterusan sehingga tahun hadapan dengan pelbagai program kesedaran di setiap negeri.

"Yang penting kita mendidik kesedaran ini. Kita tunjukkan semua bukti apa kesan kepada mereka yang terlibat dengan judi. Apa kesan kepada ekonomi dan budaya."

"Jadi kita akan teruskan kempen ini sepanjang tahun sehingga tahun hadapan. Kita akan bagi kesedaran kepada kaum ibu, golongan profesional dan pekerja-pekerja melalui progaram ceramah, edar risalah dn poster dan akan dilakukan di setiap negeri," katanya lagi.

Sebelum itu, seramai kira-kira 3 000 orang membanjiri perkarangan Masjid Negara bagi menyatakan bantahan tak nak judi kepada kerajaan. Himpunan tadi bermula dengan solat Asar berjemaah di Masjid Negara.

Mereka kemudian berhimpun di perkarangan masjid bagi mendengar ucapan dari penganjur dan pimpinan Pakatan Rakyat.Himpunan yang pada mulanya dijadualkan pada jam dua petang itu ditangguhkan ke jam lima petang tadi bagi menghormati majlis pengkebumian Allahyaraham Toh Puan Norashikin Mohd Seth yang merupakan balu kepada bekas timbalan perdana menteri Malaysia, Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman.

Pada perhimpuan tersebut, Mohd Azmi turut melancarkan buku terbitan GMJ, berkaitan kesan judi kepada masyarakat.Golongan muda dilihat mendominasi perhimpunan aman yang dikawal kira-kira 50 anggota polis itu.

Laungan 'Kami tak nak judi, kami benci judi', 'tolak judi, jauhi judi' dan beberapa slogan lagi bergema di perhimpunan itu.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudi Hassan dalam pidatonya berkata, atas dasar agama, GMJ bertanggungjawab menyedarkan rakyat bahawa judi merupakan amalan yang ditolak oleh semua agama, apatah lagi bagi yang beragama Islam.

Turut berucap di himpunan itu termasuk ketua penerangan pemuda PAS, Suhaizan Kaiyat yang juga setiausaha GMJ, Ketua Pemuda PKR Syamsul Iskandar Mat Akin, selain wakil daripada Jemaah Islah Malaysia (Jim), Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan juga Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Mengggamatkan suasana apabila Shamsul melaungkan 'Najib judi, Rosmah judi, Umno pun judi'.Himpunan berkenaan berakhir kira-kira jam enam petang dengan bacaan doa oleh exco pemuda PAS Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz